Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kulapuk Bahaya Pada Kanta Lekap

Kulapuk adalah sejenis kulat. Spesies kulapuk Fusarium dikaitkan dengan jangkitan kulat berkaitan kanta lekap, yang dikenal pasti di Singapura dan Hong Kong baru-baru ini. 56 orang di Singapura dan 16 orang di Hong Kong didiagnos dengan jangkitan ini.

Biasanya, kulapuk tidak membahayakan kornea kecuali jika terdapat luka atau kerosakan pada lapisan epitelial. Apabila ini berlaku, kulapuk dengan filamen panjangnya akan memasuki stroma kornea yang terdiri daripada gentian kolagen. Filamen akan tumbuh di sepanjang kolagen dan sebaik melekat di situ, amat sukar membuangnya. Di peringkat ini, pakar surgeri mata mungkin perlu menanggalkan seluruh kornea dan menggantinya dengan kornea baru melalui pembedahan pemindahan. Ini akan menjejaskan penglihatan dengan ketara.

Jangkitan kulat amat berbeza daripada jangkitan bakteria. Jangkitan bakteria boleh dirawat dengan mudah menggunakan antibiotik topikal. Kulapuk akibat jangkitan kulat lebih sukar untuk dirawat kerana ia tumbuh di dalam kornea tanpa disedari. Simptom seperti mata merah, mata berair dan mata sensitif kepada cahaya mungkin tidak akan dialami.

Bagi mencegah kulapuk di dalam mata apabila memakai kanta lekap, patuhilah prosedur pembersihan yang betul seperti disyorkan pengeluar produk. Ini boleh mengurangkan pencemaran pada kanta lekap. Amalkan juga tabiat mencuci tangan yang baik.

Keberkesanan disinfektan larutan serba guna kini semakin ditekankan. Bagaimanapun, biarpun larutan serba guna mampu membersihkan kanta lekap daripada bakteria, ia mempunyai sedikit impak saja ke atas kulat yang sudah melekat pada mata anda. Larutan yang mempunyai kuasa disinfeksi yang berlebihan juga boleh mengancam keutuhan struktur permukaan kornea. Oleh itu, pemilihan larutan serba guna yang memenuhi kriteria disinfeksi FDA/ISO dan membantu mengekalkan keutuhan dinding epitelial kornea adalah penting untuk mencegah jangkitan kulat.

Cara Pemakaian Kanta Lekap Yang Betul

Setelah membeli larutan serba guna yang sesuai, amalkan cara pemakaian kanta lekap yang betul.

  • Cuci dan keringkan tangan betul-betul sebelum memakai atau menanggalkan kanta lekap.
  • Gosok setiap permukaan kanta lekap perlahan-lahan selama sekurang-kurangnya 10 saat  sebelum membilas dan menyimpannya di dalam larutan serba guna.
  • Selepas memakai kanta lekap, bersih dan biarkan bekas kanta lekap kering dengan sendiri.
  • Gantikan larutan serba guna di dalam bekas kanta lekap anda dengan yang baru setiap hari.
  • Gantikan bekas menyimpan kanta lekap anda sekali setiap tiga bulan.
  • Buangkan larutan kanta lekap yang tamat tempoh.
  • Jangan memakai kanta lekap melebihi masa ditetapkan.
  • Berhenti memakai kanta lekap jika mengalami simptom luar biasa dan dapatkan rundingan perubatan jika perlu.