Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kesihatan Anak: Ibu Merokok Berisiko Dapat Anak Hiperaktif

Perasaan marah, cemas dan gusar sering membelenggu ibu bapa setiap kali menerima panggilan atau surat daripada pihak sekolah yang mengatakan anak mereka nakal, tidak mendengar ajaran guru malah mendapat keputusan yang lemah di dalam kelas. Sifat anak yang tidak boleh duduk diam dan asyik bermain kemungkinan disebabkan sejenis sindrom dipanggil hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).

ADHD biasanya lapan peratus ke 10 peratus dikesan bagi kanak-kanak yang sudah bersekolah. Lelaki adalah tiga kali ganda lebih ramai menghidap ADHD berbanding kanak-kanak perempuan. Ibu bapa boleh memastikan anak mengalami ADHD jika mereka kelihatan lebih bertenaga daripada biasa, cepat gelisah serta hilang tumpuan.

Pakar Pediatrik berkata kanak-kanak ADHD gemar bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu tugas. Kanak-kanak ini boleh memahami dan berfikir, tetapi tidak mengendahkannya. Sememang lumrah semua kanak-kanak bersikap begini, tetapi bagi ADHD, perangai mereka agak luar biasa nakal daripada kebiasaannya, terutama jika berminat terhadap sesuatu perkara baru. Kelemahan bagi kanak-kanak ini ialah mereka sukar bergaul dengan masyarakat serta lemah dalam akademik.

Berkelakukan Pelik

Penghidap ADHD mempunyai fungsi otak yang mengawal aktiviti berbeza daripada normal. Ini membuatkan mereka sering berkelakuan pelik dan kelam kabut. Pengkaji dan doktor mengatakan ADHD berpunca daripada genetik tetapi tidak diketahui sebab utama yang mampu mengesahkan bagaimana ADHD boleh terjadi kepada manusia. ADHD berlaku apabila ada perubahan kimia yang dipanggil neurotransmitters pada otak manusia. Cairan kimia ini berfungsi menghantar pesanan antara sel saraf ke otak. Bagi individu yang kekurangan kimia ini akan menunjukkan simptom ADHD.

Ada beberapa pendapat pakar mengatakan saiz otak ADHD lima ke 10 peratus lebih kecil daripada otak normal. Beberapa kajian dilakukan dan mendakwa merokok ketika mengandung boleh menyebabkan anak berisiko mendapat ADHD. Selain itu risiko lain ialah kelahiran pra matang, bayi dilahirkan dengan berat badan berkurangan dan kecederaan pada otak ketika di dalam perut ibu.

Pelbagai kontroversi mempengaruhi jumlah sebenar kanak-kanak yang menghidapi ADHD. Diagnosis dan perangkaan membuktikan antara tiga hingga lima peratus kanak-kanak menghidap ADHD setiap tahun. ADHD bukan sejenis penyakit berjangkit, tetapi sindrom seumur hidup bagi mereka yang mengalami situasi kronik.

Apa yang membimbangkan 35 peratus daripada kanak-kanak ADHD lebih bersikap degil, sering membantah dan melanggar peraturan. Selain itu 18 peratus daripada mereka lalai, tidak puas dengan apa yang ada, tertekan, masalah dalam pelajaran dan bersosial serta hilang rasa hormat terhadap diri sendiri. Kira-kira 25 peratus lagi kanak-kanak ADHD, cepat risau, takut dan panik, menyebabkan jantung mereka berdegup laju, berpeluh, sakit perut dan cirit birit. Walaupun ADHD tidak mengkategorikan mereka yang lemah dalam pelajaran, tetapi sindrom ini boleh menyebabkan gangguan terhadap penumpuan ketika sesi pembelajaran. Ini sekali gus boleh menjejaskan prestasi di sekolah.

 Rawatan

ADHD tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal. Caranya dengan bantuan ibu bapa dan orang sekeliling. Rawatan ADHD juga dikatakan lebih baik dengan gabungan perubatan dan terapi. Amat penting menetapkan rawatan terapi yang spesifik dan sesuai untuk kanak-kanak ini. Susulan rawatan yang sistematik sangat membantu kembali normal. Segala maklumat perkembangan mereka boleh didapati melalui ibu bapa, guru dan kanak-kanak itu sendiri.

Masalah kanak-kanak yang menghidap ADHD adalah rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam merawat mereka. Perawatan alternatif semakin menjadi perhatian, termasuk makanan tambahan dan herba, manipulasi kiropratik dan perubahan diet. Walaupun memakan serat dan nutrisi asas lain adalah baik dalam proses merawat ADHD, tidak banyak kajian mengesahkannya. Bagaimanapun tidur yang cukup terbukti dapat membantu mengurangkan simptom ADHD.

Kanak-kanak ini mungkin diberikan terapi tambahan bergantung kepada simptom dan apa yang diperlukan mereka. Ibu bapa perlu selalu berwaspada terhadap setiap tindakan yang boleh membahayakan diri kanak-kanak itu. Beritahu doktor jika ada sebarang perubahan yang berlaku.

Sumber Maklumat: Berita Minggu