Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Wanita Gemuk Sukar Hamil?

pregnant   PANTAU berat badan jika telah disahkan mengandung, jangan pula mahu berdiet untuk kuruskan badan.

 
TERMA obesiti merujuk kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 30 peratus lebih dari yang sepatutnya. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja apabila individu tersebut kurang melakukan aktiviti, pemakanan yang tidak sihat dan boleh jadi juga masalah berkaitan dengan penyakit yang ada di dalam tubuh individu terbabit.

Jika dilihat pada luaran, ada segelintir masyarakat mentafsirkan golongan obesiti ini sebagai si tembam, memang ada kalanya nampak comel lebih-lebih lagi jika ia dialami oleh wanita. Tapi awaslah jika wanita obesiti itu berkahwin, ada sedikit berita buruk menanti mereka.

Satu kajian yang telah dilakukan menemui fakta bahawa wanita obesiti berisiko sebanyak 28 peratus untuk tidak mengandung dan jika mengandung pun kandungan mereka tidak berjaya ke peringkat kelahiran.

Kajian tersebut telah dibuktikan oleh seorang penyelidik dari Jabatan Obstetrik, Ginekologi dan Biologi Reproduktif Universiti Michigan Amerika Syarikat, Barbara Luke.

Luke telah melakukan kajian ke atas hampir 50,000 wanita yang menggunakan teknologi reproduktif. Kajian tersebut telah diterbitkan pada bulan November tahun lalu.

Kata Luke, tidak mengejutkan jika mereka yang mengalami obesiti sukar hamil kerana tubuh wanita itu tidak bersedia untuk pembesaran janin. Bagaimanapun tidak mustahil untuk wanita obesiti menjadi seorang ibu jika dia berjaya menurunkan berat badan dan menjaga kesihatan dengan sebaiknya.

Sebagai sebahagian dari kajian tersebut, Luke juga melihat bagaimana teknologi reproduktif dapat membantu wanita obesiti untuk mengandung. Luke turut membandingkan keputusan wanita dengan berat badan normal (BMI 18.5-24.9), wanita yang mengalami berat badan berlebihan (BMI 25-29.9), obesiti kelas 1 (30-34.9), kelas 2 (35-39.9) dan kelas (40 dan ke atas).

Beliau mendapati wanita yang mengalami obesiti pada kelas 3 mempunyai sebanyak 35 peratus risiko untuk tidak mengandung. Obesiti kelas 2 pula sebanyak 28 peratus tidak boleh mengandung dan sebanyak 3 peratus untuk wanita yang mengalami berat badan berlebihan.

"Kalau adapun antara mereka yang boleh mengandung, kebarangkalian untuk kelahiran pra matang meningkat sebanyak dua kali ganda," ujar Luke yang pernah dianugerahkan pingat dari Program Saintifik atas kajiannya tentang wanita obesiti dan mengandung oleh Persatuan Antarabangsa Perubatan Reproduktif di Atlanta Oktober tahun lalu.

Apabila wanita obesiti sukar untuk hamil maka kerisauan atau kebimbangan akan lahir di fikiran mereka, natijahnya ia hanya akan lebih memburukkan lagi keadaan.

Dari kes yang berjaya bersalin pula, jumlah kelahiran pra matang juga meningkat.

"Jadi jika anda merancang untuk memiliki zuriat dapatkanlah bentuk badan yang sepatutnya. Cuba amalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan tidak meminum arak dan ingatlah berat badan adalah satu perkara yang amat perlu diberi perhatian," kata Luke.

Apa yang anda boleh lakukan?

*Kurangkan berat badan sebelum mengandung. Jika anda telah merancang untuk mengandung pada satu masa terdekat, jumpalah dengan doktor anda. Dia akan memberikan anda nasihat tentang berat badan yang sepatutnya yang boleh dicapai menerusi diet dan senaman.

*Pantau berat badan anda. Jika anda telah disahkan mengandung, jangan pula anda mahu berdiet untuk kuruskan badan.

*Senaman. Ia perlu dilakukan secara rutin walaupun setelah anda mengandung. Tanya pakar senaman dan doktor tentang senaman yang sesuai terutama ketika mengandung.