PROFIL MALAYSIA

Profil Malaysia

Malaysia ialah sebuah negara dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Asia Tenggara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan. Berkeluasan seluas 330,534 kilometer persegi, Malaysia terbahagi kepada dua kawasan utama yang terpisah oleh Laut China Selatan iaitu Semenanjung Malaysia (bersempadan Thailand di utara dan Singapura di Selatan) dan Malaysia Timur (bahagian utara Pulau Borneo yang bersempadan dengan Brunei di utara dan Indonesia di selatan). Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur manakala Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan. Pada tahun 2018, penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah sebanyak 32.4 juta orang.

Ringkasan Sejarah Malaysia

Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana pemimpin yang berwibawa, sistem pentadbiran dan pemerintahan yang cekap di samping kedudukannya yang strategik berada di titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. British telah campur tangan dalam semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa orang individu bangkit menentang penjajah antaranya Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dhoby dan beberapa orang tokoh yang lain.

Pada era 1920-an dan 1930-an, kesedaran politik muncul dan semangat nasionalisme membangun di kalangan penduduk Tanah Melayu yang telah mula mendapat pendidikan. Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media cetak seperti akhbar, majalah cerpen dan novel untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka yang telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dengan matlamat untuk mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942 menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu berakhir pada tahun 1945 setelah menyerah kalah ekoran pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah melancarkan serangan menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan dan turut membunuh tiga orang pengurus ladang getah Eropah di Sungai Siput, Perak. Lantaran itu, pada bulan Jun 1948, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu.

PKM tidak Berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) atau BMA adalah pada antara Perang Dunia II dan Penubuhan Malayan Union. Pada 1 April 1946, British menubuhkan Malayan Union. Walau bagaimanapun, gagasan ini mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana penghapusan institusi diraja dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menaikkan semangat perjuangan penduduk Tanah Melayu. Beliau telah menubuhkan Parti Perikatan pada 1952 bertujuan untuk menubuhkan kerajaan dan mentadbir sendiri Tanah Melayu. Parti Perikatan ini dianggotai oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 adalah untuk membincangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Sekembalinya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London, Tunku telah membuat pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan tarikh kemerdekaan secara rasminya adalah pada 31 Ogos 1957.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mencadangkan penggabungan lima buah jajahan iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk membentuk sebuah negara yang baharu. Pada 9 Julai 1963, wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju membentuk sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 kecuali Brunei yang tidak menyertai penubuhan ini.

Back to top button
Close