Sabtu 20 October 2018
A- A A+

Ampuni Aku Tuhan

AMPUNI AKU TUHAN

Tuhanku

Aku umpama sehelai daun
Hijauku sudah berganti kuning
Bergayutan di hujung ranting
Menunggu waktu untuk gugur
Melantai bumi

Tuhanku

Di hujung usiaku yang sejengkal ini
Usah kau lekakan aku dengan Amarahku
Raguku
Keluh kesahku
Iriku
Khianatku
Bicara burukku
Buruk sangkaku
Umpatanku
Fitnahku

Tuhanku

Usah kau lengahkan aku
Untuk menghitung dosa sendiri
Yang menggunung banyaknya
Sedang amalku belum tentu sempurna
Belum tentu Kau terima

Tuhanku

Justeru aku bukan hamba yg soleh
Aku tidak mahu terus hanyut
Memikirkan masalah kehidupan yang tiada habisnya
Menghitung dosa orang lain sedang dosa sendiri dilupakan
Berikan aku waktu merenung kekurangan diri
Tanpa melihat kekurangan orang lain

Tuhanku

Aku tidak takut jika amalku tidak melaut
Kerana yakin Engkau Maha Pengampun
Tapi aku takut andai aku berdosa sesama manusia
Dan dosa-dosa itu terus memagari aku untuk jauh dari syurgaMu

Tuhanku

Hanya satu impianku
Aku ingin mati setelah redhaMu ku perolehi
Biar jalannya terlalu sulit untuk ku lalui
Namun tetap aku gagahi

 

Oleh : AISHAH OMAR

Tarikh : 8 Mac 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking