Selasa 19 March 2019
A- A A+

Dapat 8A walau buta 2 minggu sebelum SPM

 

Dapat 8A walau buta 2 minggu sebelum SPM

Kehilangan penglihatan secara tiba-tiba dua minggu sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak menghalang Khairulimran Adam, 18, dapat A dalam semua lapan mata pelajaran yang diambil.

Khairulimran, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, Johor Bahru, mendaftar untuk mengambil sembilan kertas dalam SPM tetapi terpaksa menggugurkan Pendidikan Seni Visual yang memerlukan calon melukis sendiri bagi menjawab subjek berkenaan.

Malah dia terpaksa menggunakan khidmat jurubaca dan jurutulis disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan mata buta walaupun pada peperiksaan percubaan sebelumnya dia menjadi antara pelajar cemerlang dengan keputusan 7A 2B. Ketika mengambil keputusan peperiksaan SPM semalam, Khairulimran tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila mendapat tahu dia mencatat keputusan semua A dalam lapan mata pelajaran.

"Alhamdulillah. Saya tidak sangka dapat keputusan cemerlang. Ini semua berkat pertolongan keluarga, guru dan rakan saya. Guru dan rakan banyak membantu dengan memberi nota rakaman suara dan video menerusi aplikasi WhatsApps dan Telegram," katanya.

Khairulimran berkata, dia masih menjalani rawatan dan penglihatan juga semakin pulih tetapi masih kabur.

Katanya, dia tidak menyangka mencatatkan keputusan cemerlang kerana menghadapi cabaran untuk menjawab setiap kertas peperiksaan terutama karangan, selain mengambil masa agak lama untuk menjawab setiap soalan.

"Ketika peperiksaan, saya dibantu oleh pengawas peperiksaan yang akan membacakan soalan kepada saya serta menuliskan jawapan bagi setiap soalan. "Saya menghadapi cabaran ketika menjawab soalan karangan. Agak susah bagi saya kerana kadang-kadang saya bercakap laju dan membuatkan pengawas kurang faham dan sukar untuk menulis ayat yang saya mahu.

"Kadang kala saya berhenti agak lama untuk mengingat kembali idea sehingga lupa apa nak jawab. Saya reda dengan keadaan saya dan saya sentiasa percaya bahawa Allah yang menolong saya," katanya.

Khairulimran berkata dia berhasrat menyambung pelajaran dalam kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan mencapai cita-cita sebagai seorang pensyarah.

Sementara itu, ibunya, Khairul Bariah Abdul Aziz, 53, berkata dia tidak mengharapkan yang sempurna dan bersyukur dengan pencapaian anaknya itu.

"Bagi membantu Imran, saya akan membacakan nota kepada Imran bagi membolehkan dia memahami dan mengingati setiap mata pelajaran.

"Proses ini banyak terhenti kerana Imran cepat penat sehingga menyebabkan demam, sekali gus menjejaskan kesihatannya," katanya.

Bagi pengetua sekolahnya, Andi Noor Munawwarah Bachok, pula berkata Imran disenangi semua guru dan pelajar sekolah itu kerana dia suka membantu rakan, selain aktif dalam kelas. "Apabila Imran tiba-tiba hilang penglihatan, guru dan pelajar membantu dan menyokongnya supaya dia tidak mudah patah semangat dan kita mahu dia berjaya," katanya.

Sumber : Berita Harian Online 15 Mac 2018

Kemaskini sehingga: 16 Mac 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking