Jumaat 22 February 2019
A- A A+

Agensi Angkasa mahu contohi NASA

 

satelit2

Menerokai dunia sains angkasa

Dalam bidang sains angkasa, Malaysia memanglah tidak boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan-rakannya di negara Asia yang lain seperti Jepun, China dan India.  Bagaimanapun, perkembangan yang berlaku dalam masa lima hingga enam tahun lalu menyaksikan betapa Malaysia tidak boleh lagi dipandang sebelah mata dalam bidang ini.

Sebagai sebuah negara kecil, pencapaian Malaysia dalam bidang ini adalah sesuatu yang membanggakan.  Pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia (Measat) pada 1996 adalah langkah pertama Malaysia ke arah menerokai dunia sains angkasa secara lebih serius.

Ini diikuti dengan pelancaran mikrosatelit negara yang pertama iaitu TiungSAT-1 pada 26 September 2000 di Baikonur Cosmodrrome, Kazakhtan.  Bagaimanapun satelit TiungSAT yang diberi sempena nama burung tiung ini bukanlah hasil buatan Malaysia sepenuhnya.

TiungSAT-1 kepunyaan Astronoutic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia ini direka dan dibina dengan kerjasama syarikat pembina satelit United Kingdom, Surrey Satellite Technology Ltd. (SSTL).

Tugas utama TiungSAT ini adalah untuk mencerap bumi selain untuk tujuan komunikasi.  Imej-imej yang diambil daripada TiungSAT-1 ini akan digunakan sebagai penunjuk bagi sebarang kejadian ribut besar, kebakaran hutan serta lokasi tumpahan minyak di perairan negara.

Malah kamera yang terdapat di satelit TiungSAT-1 bernilai RM28 juta ini juga mampu membantu memantau keadaan jerebu, komposisi biomass, guna pakai tanah, sumber mineral dan pemetaan.

Bagaimanapun kejayaan meletakkan TiungSAT-1 di angkasa dua tahun lalu, membawa bersamanya kesan sampingan penting iaitu pemindahan teknologi penerokaan angkasa kepada rakyat di negara ini.

Melalui TiungSAT-1, kita telah berjaya melatih jurutera dan saintis tempatan dalam pelbagai bidang sains angkasa khususnya dalam bidang pembinaan, reka bentuk dan juga pelancaran satelit.  Projek TiungSAT-1 juga berjaya melahirkan saintis-saintis tempatan dalam bidang pembangunan perisian elektronik pintar, pelancaran mikrosatelit serta operasi pengorbitan.

Justeru, penubuhan Agensi Angkasa Kebangsaan (AAK) pada Mac 2002 dan mula beroperasi awal Julai tahun yang sama, bukan sahaja kena pada masanya tetapi sebenarnya satu kesinambungan usaha yang perlu ada untuk memacu negara dalam bidang sains angkasa.

AAK di bawah pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman mempunyai tanggungjawab pertama yang paling penting iaitu membina satelit pertama seratus peratus buatan negara dan bukan lagi dengan bantuan negara asing seperti mana TiungSAT-1.

Keperluan kepada TiungSAT-2 itu semakin mendesak kerana jangka hayat TiungSAT-1 hanya tinggal setahun dua sahaja lagi.  Ini kerana mikrosatelit yang dilancarkan pada 2000 itu hanya boleh beroperasi antara tiga hingga empat tahun sahaja. Selepas tempoh tersebut, TiungSAT masih boleh berkomunikasi dengan stesen bumi, tetapi kuasa daripada sel solarnya akan menjadi semakin lemah.



Justeru, tugas pertama AAK kini pastinya ialah untuk membina TiungSAT-2 sebelum 2004.  AAK nampaknya tidak mempunyai banyak masa lagi. Bagaimanapun, kita yakin negara sudah pun mempunyai tenaga pakarnya yang tersendiri dalam bidang ini.

Kita juga mempunyai hubungan yang baik dengan hampir semua agensi penyelidikan angkasa dunia termasuk Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, European Space Agency, German Space Agency dan China Space Agency.

Saintis dan jurutera negara kini sedang mendalami teknologi aplikasi sains dan teknologi angkasa di negara-negara yang mempunyai kepakaran.

Contohnya, beberapa orang saintis negara kini sedang mendapatkan khidmat kepakaran daripada kerajaan Korea Selatan bagi mendalami ilmu menghasilkan kamera kecil beresolusi tinggi untuk diletakkan pada mikrosatelit.

Ini tidak termasuk usaha serius kerajaan menyediakan generasi pelapis melalui penghantaran pelajar ke luar negara untuk mendalami bidang aeroangkasa sejak beberapa tahun lalu.

Selain soal melahirkan satelit negara, AAN juga menyimpan cita-cita besar untuk melahirkan seorang angkasawan negara.  Cita-cita ini juga bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita lihat pencapaian negara dalam bidang ini sejak tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, kewujudan AAK dan juga pelantikan Mazlan untuk mengetuai badan berprestij itu bukan semata-mata akan ditumpukan kepada menghasilkan satelit dan juga merealisasikan cita-cita melahirkan angkasawan tempatan.

Banyak lagi isu-isu berbangkit yang perlu ditangani oleh AAK jika kita mahu melihat teknologi aplikasi sains angkasa hidup subur di negara ini.

Antaranya ialah meneruskan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang ini, menambahkan lagi bilangan saintis dan pakar melalui usaha sama latihan dan pemindahan teknologi serta menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan bidang aeroangkasa.

Seperkara lagi yang lebih penting sekarang ialah membangun dan menggalakkan satu generasi masa depan yang meminati dan sedar mengenai kepentingan bidang ini kepada negara secara keseluruhan.

Ini kerana kepentingan teknologi angkasa meliputi pelbagai aspek kehidupan daripada bidang komunikasi hinggalah kepada pemantauan bumi yang sangat penting kepada negara dalam mengurus dan juga membuat keputusan berhubung perkara penting melibatkan perubahan global, kesan kemusnahan alam sekitar, sumber laut, makanan, air, biodiversiti, bencana alam dan sumber-sumber bahan mentah.

Teknologi angkasa juga penting untuk membantu kerajaan dalam membuat perancangan penduduk dan juga keselamatan negara.

Dengan segala kesungguhan yang ditunjukkan kini, kita yakin Malaysia akan menonjol setanding dengan negara-negara yang lebih awal menceburi bidang ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, Malaysia juga pada satu hari nanti bukan sahaja mampu menghasilkan satelitnya sendiri, tetapi juga mampu memiliki pusat pelancar miliknya sendiri di negara ini.

Hanya masa yang akan menentukan segalanya dan kita yakin, masa yang kita nantikan itu akan menjelma dalam masa yang terdekat ini.

 

Sumber : Utusan Malaysia,

17 Julai 2002.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking