Ahad 21 April 2019
A- A A+

10 DiPilih Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR

muhyidin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 10 sekolah terdiri daripada sekolah berprestasi tinggi, sederhana dan lemah serta merentasi pelbagai latar belakang sosio-ekonomi sebagai Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.


Beliau berkata Yayasan AMIR, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah memilih 10 sekolah masing-masing lima di Johor dan Sarawak sebagai projek perintis bagi program itu.

Lima sekolah di Johor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda (2), SK Kampung Layau, Kota Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaa (Tamil) Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Semenchu, Kota Tinggi dan SMK Gelang Patah, manakala lima sekolah di Sarawak ialah Sekolah Menengah Sains Kuching, SK Kg Empila, Samarahan, SK Combine, SK Tabuan dan SMK Bandar Kuching (2).

Projek ini adalah di peringkat awal, dan bagi mempermudahkan urusan untuk memantau sekolah yang ada dalam satu negeri, jika di seluruh negara mungkin soal pemantauan dan untuk menentukan standard, kualiti pengajaran dan pengurusan itu akan lebih sukar.

Beliau berkata pemilihan Sekolah Amanah tidak hanya bertumpu kepada sekolah berprestasi tinggi tetapi turut melibatkan sekolah berprestasi sederhana dan lemah bagi tujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik murid.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata lima daripada sekolah yang dipilih itu merupakan sekolah berprestasi rendah, tiga (sederhana) dan dua berprestasi tinggi.

Beliau berkata selain Khazanah, terdapat beberapa syarikat lain dan institusi perbankan yang berminat menyertai program itu dengan mengambil sekolah-sekolah lain sebagai Sekolah Amanah.

Ia akan dilaksanakan selepas pelaksanaan projek pertama itu yang akan dijadikan sebagai penanda aras dalam melaksanakan program berkenaan, katanya.

Muhyiddin berkata sekolah yang terpilih melalui program itu akan tetap mendapat bantuan kerajaan dan Yayasan AMIR akan membantu mempertingkatkan proses pembelajaran pelajar.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata Sekolah Amanah bukan sekolah elit tetapi merupakan sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan terpilih yang diurus secara usahasama oleh sektor swasta dan pentadbir sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, dari segi pengurusan sekolah, kementerian akan memberikan kebebasan kepada pentadbir, guru-guru dan pihak swasta dalam bidang tertentu seperti kurikulum, kewangan dan perolehan, pengurusan staf serta carta alir pelaporan, di samping menyediakan garis panduan akauntabiliti yang jelas bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan tugas.

Sementara itu pada sidang media sama, Azman berkata Lembaga Pengarah Khazanah memperuntukkan RM100 juta bagi tempoh lima tahun untuk melaksanakan program itu.

Beliau berkata pemilihan sekolah di Johor dan Sarawak dibuat berikutan operasi Khazanah yang banyak menjalankan program pembangunan di selatan Semenanjung iaitu di kawasan Iskandar Malaysia, Johor.



Sumber: Disunting daripada Utusan Malaysia, 10 Disember 2010

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking