Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Imigresen

Bahagian Imigresen dan Pendaftaran Negara

Berperanan menggubal dasar seperti Dasar Imigresen dan Pasport, Dasar Permit Masuk, Dasar Pekerja Asing dan sumber perundangan utama adalah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Akta Pasport 1966 (Akta 150) Di peringkat antarabangsa unit ini menyelesaikan isu-isu lintas batas antara dua negara, isu-isu pergerakan manusia (movement of natural persons), isu-isu pengedaran dan penyeludupan manusia, perjanjian penghapusan separa keperluan visa antara dua negara, memorandum persefahaman pengambilan pekerja asing dengan negara-negara sumber, pewartaan pintu-pintu masuk melalui laut, darat dan udara, dialog dengan sektor swasta, khidmat pelanggan, memproses rayuan permit masuk, memproses kes pembatalan permit masuk, memproses permohonan pendaftaran institusi pendidikan bagi tujuan mengambil pelajar antarabangsa, memproses permohonan rayuan tahanan pasport, memproses permohonan visa bagi warganegara Serbia Montenegro, memproses aduan awam mengenai hal-hal imigresen dan sebagainya.

Dasar dan Peraturan Pengambilan Pekerja Asing

Adalah menjadi dasar Kerajaan memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tempatan dan mengambil segala usaha untuk mendapatkannya sebelum membenarkan pekerja asing diambil kerana pengambilan pekerja asing bukanlah faktor utama dalam meningkatkan produktiviti negara. Namun dalam ledakan ke arah pemulihan ekonomi negara, keperluan pekerja asing tidak dapat dinafikan. Justeru itu, dasar semasa pengambilan pekerja asing disesuaikan dengan keperluan yang mendesak yang sukar diceburi oleh rakyat tempatan.

Pekerja Asing ditakrifkan sebagai bukan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap (PR), tidak termasuk pegawai dagang (expatriates) dan pekerja tidak mahir atau separuh mahir.

Pengambilan pekerja asing perlulah mengikut saluran-saluran dan peraturan sedia ada dan pihak majikan mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memastikan hanya pekerja-pekerja  diambil secara sah. Pihak majikan juga perlu memastikan pekerja asing menganuti budaya dan etika kerja tempatan untuk menentukan suasana kerja yang harmoni serta menghormati peraturan dan undang-undang negara ini.

Pekerja asing hanya dibenarkan bekerja selama 3 tahun sahaja dan boleh dilanjutkan setahun ke setahun sehingga ke tahun kelima sahaja atas permintaan majikan.


Majikan boleh memohon untuk melanjutkan permit kerja pekerja asing mereka melebihi tempoh lima tahun bagi pekerja asing yang dianggap sebagai pekerja mahir. Walau bagaimanapun, penentuan kemahiran seseorang pekerja asing adalah melalui ujian yang dijalankan oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pekerja asing berkenaan bekerja di negara ini untuk tempoh melebihi lima tahun.

Urusan permohonan pengambilan pekerja hendaklah dibuat secara terus tanpa menggunakan  agen. Semua pekerja asing mesti menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat perubatan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Pihak syarikat yang hendak mengambil pekerja asing hendaklah merujuk kepada Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) untuk mendapatkan pekerja tempatan selepas menjalankan usaha-usaha mengiklankan jawatan-jawatan kosong serta berusaha untuk mengambil terus tenaga kerja daripada luar bandar sebelum dapat dipertimbangkan untuk pengambilan pekerja asing.

Warganegara Malaysia

Pasport Malaysia


Pasport Malaysia dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk perjalanan ke luar negara. Tempoh sah laku adalah selama lima (5) tahun dan tidak boleh dilanjutkan lagi.

Pasport Malaysia Terhad ke Brunei Darussalam

Pasport ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk perjalanan antara Malaysia Timur dan Negara Brunei Darussalam.

Dokumen Perjalanan Terhad

Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dari Semenanjung untuk perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sahaja. Tempoh sahlaku 5 tahun dari tarikh dikeluarkan dan boleh dilanjutkan selama 5 tahun lagi.

Dokumen Perjalanan Kumpulan Menggantikan Pasport

Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia untuk perjalanan secara berkumpulan antara 5 hingga 20 orang ke negara-negara ASEAN sahaja. Tempoh sahlaku dokumen ini hanya untuk 9 bulan dari tarikh dikeluarkan dan sekali perjalanan sahaja.

Pas Sempadan Malaysia – Thailand

Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap Malaysia keturunan Thai yang menetap lebih tiga (3) tahun di Kelantan, Perlis, Kedah atau Perak. Tempoh sahlaku 6 bulan dari tarikh dikeluarkan untuk beberapa kali perjalanan. Tidak boleh dilanjutkan tempoh sahlakunya.

Pas Sempadan Malaysia – Indonesia

Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di dalam Daerah Pentadbiran Pensiangan, Tenom, Sipitang dan Tawau dalam negeri Sabah dan Lundu, Bau, Kuching, Serian, Semanggang dan Lubok Antu dalam negeri Sarawak. Tempoh sahlaku 1 tahun dari tarikh dikeluarkan dan boleh digunakan bagi beberapa kali perjalanan. Kebenaran berada di Indonesia tidak melebihi 30 hari pada setiap kali masuk.

Sijil Perakuan Cemas

Dokumen ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dalam keadaan tertentu, biasanya kes kehilangan passport di luar negara, penghantaran pulang dengan perbelanjaan kerajaan atas sesuatu sebab dan Pasport Mlaysia tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh yang diperlukan. Sah untuk sekali perjalanan dan untuk negara-negara tertentu sahaja bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Sijil Perakuan Taraf

Dokumen ini dikeluarkan kepada seseorang yang mempunyai tuntutan sebagai warganegara Malaysia yang berada di luar negara untuk masuk ke Malaysia. Permohonan boleh dikemukakan melalui penaja di mana-mana Pejabat Imigresen di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan mengemukakan bukti-bukti tuntutan kewarganegaraan. Tempoh sahlaku 6 bulan dari tarikh dikeluarkan dan boleh dilanjutkan dengan memberi sebab atau alasan yang munasabah.

Kad Perjalanan Perniagaan APEC

Kad Perjalanan Perniagaan APEC adalah merupakan satu inisiatif Pertubuhan Ekonomi Asia Pasifik dalam usaha untuk membantu ahli-ahli perniagaan yang sering berurusan dengan negara-negara APEC. Kad ini membantu menjimatkan masa dan kos ahli-ahli perniagaan di dalam memenuhi keperluan visa dan syarat-syarat masuk ke negara-negara APEC.


Pemastautin Tetap

Permit Masuk

Permit masuk merupakan permit yang dikeluarkan kepada pelawat yang bukan warganegara Malaysia untuk memasuki Malaysia. Mereka yang dikeluarkan Permit Masuk dikecualikan daripada memohon pas jenis lain samada untuk bekerja atau sebab-sebab lain.

Surat Akuan Pengenalan (SAP/SAPT)

Surat Akuan Pengenalan adalah satu dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada Pemastautin Tetap Malaysia yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (Stateless). Tempoh sahlaku 5 tahun dari tarikh dikeluarkan dan boleh dilanjutkan 5 tahun lagi.