Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Rancangan Malaysia Kelapan

rmk-8i2

Menara Kuala Lumpur mercu lambang kemegahan Malaysia

Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8: 2001-2005)

Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang meliputi tempoh 2001 – 2005 merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), 2001 – 2010. Dasar Wawasan Negara (DWN) yang juga terkandung dalam RRJP3 menentukan arah pembangunan negara dalam dekad pertama abad ke-21.

RMK-8 menggabungkan strategi, program dan projek yang dirangka bagi mencapai objektif DWN, iaitu pertumbuhan mapan dan pengukuhan daya tahan ekonomi serta mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saksama. Dasar dan strategi dalam tempoh RMKe-8 memberi tumpuan untuk mencapai pertumbuhan mapan dengan berdaya tahan.


Teras RMK-8 adalah mengubah strategi pertumbuhan daripada strategi yang didorong oleh input kepada strategi yang didorong oleh pengetahuan. RMK-8 akan memberi lebih tumpuan kepada inisiatif sektor swasta sementara sektor awam akan menyediakan rangka dasar institusi yang kondusif serta perkhidmatan berkualiti bagi membantu pembangunan sektor swasta. Dalam usaha meningkatkan daya saing negara, penekanan khusus akan diberi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menerusi pembangunan sumber manusia, peningkatan aktiviti dan P&P serta penggunaan teknologi terkini terutamanya ICT.

Dasar Wawasan Negara (DWN)

RMK-8 juga turut memperkenalkan Dasar Wawasan Negara (DWN) yang menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dengan objektif utama mencapai perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama. DWN juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Bagi merealisasikan objektif ini, DWN akan merangkumi teras kritikal seperti berikut:-
• Membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan.
• Menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang juga tersemat dengan nilai positif dan meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi
• Mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan memperkukuhkan sumber pertumbuhan, institusi kewangan dan korporat serta pengurusan ekonomi makro
• Mempertingkatkan daya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
• Membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan sebagai satu langkah strategik untuk meningkatkan nilai ditambah bagi semua sektor ekonomi dan mengoptimumkan daya pemikiran rakyat
• Mengukuhkan pembangunan sumber manusia untuk menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan
• Meneruskan pembangunan alam sektor yang mapan untuk meneguhkan pertumbuhan jangka panjang.

rmk-8iii3

RMK-8 merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3)

Strategi dan Pelaksanaan Program RMK-8

Antara yang diberi penekanan dalam Rancangan ialah meneruskan pengurusan ekonomi makro yang mantap. Malaysia akan meneruskan matlamat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan kadar inflasi yang rendah dan akaun luar negara serta belanjawan yang mapan.

Dalam tempoh RMK-8 melalui pelaksanaan langkah-langkah untuk meningkatkan potensi keluaran, pertumbuhan ekonomi disasarkan pada kadar 7.5 peratus setahun. Usaha diambil bagi meningkatkan kecekapan dalam penggunaan modal, melaksanakan pelaburan berkualiti dan produktif serta meningkatkan produktiviti buruh dan sumbangan TFP kepada pertumbuhan ekonomi.

Usaha juga diteruskan dengan menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam negeri dan menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti. Ia bertujuan bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam negeri supaya ekonomi dapat dibangunkan berasaskan strategi pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan dalam negeri dan mengukuhkan daya tahan ekonomi.

Kerajaan juga memperluaskan penggunaan ICT dalam semua sektor ekonomi bagi mempercepatkan proses pertumbuhan. Syarikat Multinasional (MNC) akan terus diberi galakan untuk mengukuhkan rantaian dengan industri dalam negeri melalui penggunaan lebih banyak input tempatan.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), penswastaan terus dilaksanakan bagi membantu pertumbuhan ekonomi. Bagi memastikan orang awam mempunyai peluang penyertaan yang saksama dalam entiti yang diswastakan, entiti yang dikorporatkan yang berjaya secara komersial akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 98 projek telah diswastakan yang terdiri daripada 47 projek sedia ada dan 51 projek baru. Daripada jumlah projek baru yang diswastakan, 49 projek adalah dalam sektor pembinaan, pengangkutan serta elektrik dan gas. Projek yang telah siap dibina adalah Lebuhraya Damansara-Puchong, menaiktaraf Jalan Sungai Besi dan tiga Penjanakuasa Elektrik Persendirian iaitu di Sandakan, Karambunai dan Batu Sapi di Sabah, Sistem Monorel di Kuala Lumpur, Hubungan Kereta Api Ekspres (ERL) dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pembangunan 10,000 unit rumah guru dan projek bekalan air Fasa III di Selangor.

rmk-82

Syarikat Multinasional(MNC) terus diberi galakan untuk mengukuhkan rantaian dengan industri dalam negeri melalui penggunaan lebih banyak input tempatan

Pencapaian RMK-8

Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dalam masa lima belas tahun lalu, negara berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus setahun antara 1991 dengan 2005. Pertumbuhan ini dapat dilihat peningkatan lebih sekali ganda pendapatan isi rumah daripada RM 1,169 sebulan dalam tahun 1990 ke RM 3,249 sebulan dalam tahun 2004.

Semua sektor ekonomi negara menampakkan kemajuan termasuklah pengembangan sektor ekonomi baru seperti Sains, Teknologi dan Komunikasi (ICT). Hasil pertumbuhan ini, jumlah ekspot negara meningkat pada kadar purata 13.5 peratus setahun dalam tempoh 1991 hingga 2005 menjadikan negara kita negara pedagang yang ke-18 terbesar dunia. Dari segi sosial negara terus memperlihatkan kemajuan. Kadar kemiskinan menguncup daripada 22.8 peratus pada tahun 1990 kepada 5.7 peratus pada tahun 2004. Keperluan asas seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta perumahan lebih banyak disediakan, demikian juga dengan perkembangan prasarana dan utiliti.

Program penswastaan akan terus dilaksanakan dalam tempoh RMK- 8 memandangkan sumbangannya dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti entiti yang diswastakan dan memberi manfaat kepada orang awam serta menggiatkan pembangunan ekonomi. Ini selaras dengan mencapai matlamat teras RMK-8 untuk mengekalkan pertumbuhan dan daya saing bagi menghadapi perkembangan globalisasi dan liberalisasi.

Pengurusan berhemat ekonomi makro bagi memastikan penggunaan sumber yang optimum dan cekap serta usaha memperkukuhkan daya tahan sistem kewangan diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan. Strategi untuk menangani cabaran utama dalam tempoh Rancangan termasuk meningkatkan produktiviti, menambah penawaran tenaga manusia yang berkualiti dan meningkatkan pembangunan sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan.

Bagi membolehkan negara membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, ekonomi negara perlu beroperasi pada sempadan pengeluaran yang lebih tinggi dan mempercepatkan peralihan daripada pertumbuhan yang didorong oleh input kepada pertumbuhan didorong oleh produktiviti. Pada masa yang sama, tumpuan juga diberi bagi meningkatkan kualiti hidup melalui penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih baik termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan, perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki dan perkhidmatan lain yang berkaitan.