Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pelestarian Alam Menghindar Bencana

Pelestarian alam menghindar bencana

MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang dianugerahkan akal untuk menilai baik dan buruk sesuatu. Sebagai insan yang menghuni alam jagat ini, Tuhan menyediakan pelbagai kemudahan serba lengkap dengan penuh hikmah dan manfaatnya.

Apa saja yang ada di bumi ini untuk kemudahan manusia. Begitulah dengan alam sekitar yang dihiasi kawasan hijau berbukit-bukau dan bergunung-ganang.

Ia ditumbuhi pelbagai spesies pokok sebagai kawasan tadahan hujan dan penyerap haba.

Tetapi manusia selalu lupa dan lalai dengan apa yang dianugerahkan Allah. Dalam mengejar arus pembangunan, kadang-kadang faktor kepentingan menjaga alam sekitar seakan-akan dikorbankan. Justeru, banyaklah tragedi menimpa manusia lantaran meninggalkan amanah Tuhan dalam menjaga alam ini sebaik mungkin.


Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan peristiwa menyayat hati kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Selangor baru-baru ini.


Kejadian ngeri itu ulangan tragedi Highland Tower yang menyembah bumi 15 tahun lalu.

Kebanyakan peristiwa tanah runtuh yang mengakibatkan rumah tertimbus dan mengorbankan manusia berlaku di kawasan lereng bukit yang dibangunkan untuk tujuan tertentu seperti projek perumahan.

Sesungguhnya menebus guna kawasan bukit atau hutan seolah-olah mengundang bencana.

Ini kerana alam sekitar adalah amanah Allah kepada manusia dan dianugerahkan untuk dijaga serta dimanfaatkan dengan bijaksana.

Namun, manusia selalu rakus dan lalai dengan amaran Allah. Itulah ‘bayaran’ yang terpaksa ditanggung akibat kealpaan kita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (Surah An-Naziaat ayat 30-33)

Demikian Allah ciptakan untuk kemudahan dan kesenangan manusia di bumi ini.

Sehubungan itu, kita perlu insaf apa saja di bumi ini bukan dijadikan begitu sahaja oleh Allah, sebaliknya terdapat hikmah dan manfaatnya.

Sebab itulah Allah memberi peringatan yang jelas kepada umat manusia supaya menjaga dan memelihara khazanah di bumi dengan baik.

Ini sebagaimana terdapat dalam Firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya.” (Surah Al-A’Araat ayat 56).

Daripada ayat itu, Allah memberi amaran kepada manusia agar tidak merosakkan apa yang Allah ciptakan. Ini kerana semua itu terhampar untuk manfaat manusia untuk kehidupan tenteram dan sejahtera.

Tetapi, masa berubah, manusia semakin mengejar pembangunan material sehingga seolah-olah tidak lagi mengingati peringatan Allah dalam al-Quran.

Manusia tidak lagi amanah untuk memelihara dan menjaga alam sekitar. Kawasan bukit dan lereng gunung yang sebelum ini indah dan hijau mata memandang bertukar wajah dan fungsi

Deretan kawasan perumahan dibina manakala di lereng bukit dan gunung dijadikan lebuh raya.

Sebenarnya mengejar pembangunan dan kemajuan memang dituntut Islam. Malangnya manusia bertindak melampaui batas dan rakus dalam menggunakan khazanah alam tanpa memikirkan kesan buruk kemudian hari.

Inilah fenomena yang lazim berlaku.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim).

Maksudnya alam ini dipenuhi kawasan pokok hijau dan cantik pemandangannya dan menjadi tugas manusia untuk menjaga dan memelihara agar keadaan itu kekal untuk manfaat manusia.

Kawasan bukit atau gunung menyediakan sumber air dan mempunyai sistem ekologi untuk manusia.

Atas dasar mengaut keuntungan, elemen alam diketepikan malah amaran Allah dipandang remeh.

Ingatlah, Allah mengingatkan implikasi sikap rakus manusia membawa kepada kerosakan di bumi. Ia jelas terpapar dalam Surah Ar-Rum ayat 41: “Sudah timbul kerosakan di darat dan lautan disebabkan perbuatan tangan manusia.” Sebagai manusia, kita perlu selalu mengambil peringatan Allah dengan insaf supaya kejadian buruk seperti tanah runtuh tidak berulang.

Sebaliknya, manusia mesti memakmurkan sumber alam dengan mengikut garis panduan Islam.

Allah berfirman dalam Surah Hud, ayat 51 bermaksud: “Dia menciptakan bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.”

Yang menjadi pemakmur ialah manusia yang dijadikan sebagai khalifah di bumi.

Dalam perspektif pembinaan tamadun Islam, hubungan manusia dengan alam menjadi satu prinsip utama selain hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia.

Manusia seharusnya menjadi makhluk pemakmur sebagaimana yang diamanahkan Allah dan mengelakkan menjadi ‘makhluk perosak’ kepada apa yang terbentang di bumi ini.

Sebenarnya banyak peristiwa berlaku sepatutnya menginsafkan manusia, tetapi begitulah sikap manusia yang mudah lupa.

Lantas sikap lalai dan rakus kembali berleluasa menguasai jiwa. Oleh itu, tugas melestarikan alam sekitar menjadi tanggungjawab manusia supaya dapat hidup tenteram, aman dan sejahtera sepanjang masa serta dapat mewariskannya kepada generasi akan datang.

Beringat sebelum kena. Janganlah sudah terantuk baru terngadah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan baring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka.” (Surah Ali Imran ayat 190-191).

Sumber Maklumat:
Harian Metro, 2 Januari 2009