Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Pandang Ke Timur

Latarbelakang

Dasar Pandang Ke Timur ini telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato`Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982 semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara Barat.
 
Rasional

 
Seperti yang kita sedia maklum, negara Jepun dan Korea adalah merupakan dua buah negara yang begitu pesat membangun, di beberapa bidang, mereka adalah lebih maju dari beberapa negara Barat sendiri. Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta.
 
Objektif

Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk meninggikan kemajuan negara.

Perkara-perkara yang harus ditumpukan melalui dasar ini ialah 'kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran (productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita'.*

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, nilai-nilai dan etika kerja di atas perlu diamalkan kerana ianya dapat membantu menjayakan usaha-usaha pembangunan yang dijalankan.

Dasar Pandang Ke Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan dagangannya dengan rakan-rakan yang ada sekarang. Sebaliknya Kerajaan akan terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan memajukan hubungan perdagangan yang setia selaras dengan kepentingan negara.

Strategi Pelaksanaan

T.Y.T. Perdana Menteri Jepun, Encik Nakasone, semasa dalam kenyataan akhbar bersama dengan Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Jepun pada 23hb. hingga 29hb. Januari, 1983 dan kenyataan bersama Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir dan T.Y.T. Presiden Republik Korea, Encik Chun Doo Hwan semasa Dato' Seri Dr. Mahathir membuat lawatan ke Korea Selatan dari 8hb. hingga 14hb. Ogos, 1983 telah menaruh harapan yang tinggi bahawa Dasar Pandang Ke Timur ini akan mewujudkan kerjasama yang lebih rapat di antara Malaysia dengan kedua-dua negara itu terutamanya dalam bidang ekonomi, perindustrian, latihan-latihan teknikal dan akademik, program kemajuan eksekutif, penyelidikan dan pengurusan.

Selaras dengan dasar ini, Kerajaan telah menyusun strategi dan program bagi meningkatkan kecekapan, kekesanan dan penghasilan kerja yang lebih baik di kalangan pegawai dan kakitangan. Pegawai-pegawai dan pelajar Malaysia telah dihantar ke Jepun dan Korea untuk mempelajari selok belok teknikal dan aspek pengurusan di kedua-dua negara tersebut. Di antara program yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-


   a) Perubahan Struktur
   b) Perubahan Sikap
   c) Latihan dan Kursus

a) Perubahan Struktur


i) Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card)
ii) Penggunaan Tanda Nama (Name Tag)
iii) Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu Kerja (QCC)
iv) Konsep Pejabat Terbuka
v) Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat
vi) Fail Meja dan Manual  Prosedur  Kerja


b) Perubahan Sikap
i) Perkhidmatan Cemerlang
ii) Konsep Bersih, Cekap dan Amanah (BCA)
iii)Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)


c) Latihan dan Kursus
Latihan dan kursus yang dijalankan di bawah Dasar Pandang ke Timur ini adalah seperti berikut:-
 i)   Latihan Perindustrian dan Teknikal
 
 Tujuan program ini adalah untuk melatih pekerja di bidang teknikal dalam usaha meninggikan kecekapan dan menerap nilai kerja yang positif dari Jepun dan Korea dalam meninggikan penghasilan kerja.


 ii)  Program Pengajian Akademik
 
Tujuan program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia untuk menuntut ilmu sains dan teknikal di Jepun dan Republik Korea.


 iii) Program Pengajian Teknikal
 
Program ini adalah menyediakan peluang latihan teknikal lanjutan pada pelajar-pelajar lepasan SPVM dan Politeknik.


 iv)  Program Kemajuan Eksekutif
 
Objektif program ini adalah untuk menyediakan latihan kepada eksekutif-eksekutif dalam mempelajari kaedah pengurusan dan pentadbiran kerajaan dan swasta di Jepun dan Korea. Mereka akan ditempatkan di beberapa firma dan agensi Kerajaan di Jepun dan Korea. Penekanan-penekanan yang di berikan dalam program ini ialah latihan-latihan dalam bidang pengurusan Sogoshosha, Perjawatan, Q.C.C dan pengurusan am.


 v)   Hubungan di antara Institusi-institusi
 
Program ini bertujuan untuk menyalurkan permohonan latihan yang diperlukan oleh Malaysia kepada institusi pengajian tinggi di Jepun dan Korea.


 vi)  Skim Latihan Pembangunan Usahawan
 
Program yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri memberi peluang dan pendedahan, usahawan-usahawan bumiputra terhadap idea baru dan teknologi luar pengetahuan-pengetahuan ini untuk memajukan urusniaga mereka. Program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan peluang 'business contacts' dengan rakan-rakan perniagaan di sana.

Penutup

Sebagai kesimpulannya, Dasar Pandang Ke Timur merupakan satu usaha baik dan positif dari pihak Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini. Melalui kajian yang telah dibuat oleh pihak INTAN, Dasar ini telah memberi kesan yang besar terhadap usaha-usaha di atas dan seterusnya Dasar ini dapat membantu usaha Kerajaan untuk meninggikan prestasi dan daya pengeluaran negara ini. Di samping itu ianya boleh menjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang dinamik dan progresif.