Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Urbanisasi Negara

Latarbelakang

Setakat ini tidak ada dasar Urbanisasi Negara yangkomprehensif  dan  yang telah diistiharkan secara rasmi oleh kerajaan. Walaubagaimanapun  terdapat  beberapa strategi  dan  pendekatan  berhubung dengan pembangunan bandar terutamanya dalam  konteks  pencapaian  matlamat pembangunan negara yang berasaskan DEB.

Kerajaan menganggap bahawa proses urbanisasi yangdi rancang dan dikawal adalah merupakan  satu  strategi penting  untuk mencapai matlamat DEB di samping memupuk perseimbangan ekonomi di antara bandar dan luarbandar. Selaras   dengan  ini  kerajaan  telah  menubuhkan  dua Jawantankuasa Tertinggi, satu dianggotai oleh ahli-ahli politik dengan  dipengerusikan  oleh  Timbalan  Perdana Menteri  dan satu lagi dianggotai oleh pegawai- pegawai Tadbir dengan dipengurusikan oleh Ketua  Pengarah  Unit Perancang   Ekonomi. Tugas kedua-dua jawatankuasa in ialah  untuk  merancang   dan   merangka   satu   dasar Urbanisasi Negara yang lengkap dan komprenhensif.

Rasional

Pembangunan bandar yang seimbang adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk satu sistem ekonomi yang bersepadu.  Ini akan  tercapai melalui  pengurangan  jurang  perbezaan  antara wilayah supaya  faedah   daripada   pembangunan   ekonomi   dan perkhidmatan   asas  bandaran  dapat  diagihkan  secara meluas dan saksama di seluruh negara.   Dalam  hal  ini pembentukan   dasar   urbanisasi   negara   akan  dapat mengwujudkan pembangunan pusat-pusat bandar yang  lebih teratur  dalam  satu  rangkaian pusat-pusat bandar yang lebih padat dan  yang  mengandungi  bandar-bandar  yang berbeza dari segi saiz dan peranannya.

Rantaian perhubungan antara bandar dengan luarbandar yang lebih berkesan bukan sahaja membolehkan lebih ramai isi rumah luarbandar menyertai kegiatan-kegiatan berasaskan bandar yang mempunyai daya pengeluaran   yang tinggi tetapi juga dapat mempercepatkan proses pemodenan kawasan-kawasan luarbandar.

Objektif

Selaras dengan usaha kerajaan untuk membentuk satu Dasar  Urbanisasi  Negara; objektif-objektif dasar yang khusus sedang dirangka. Dalam hal ini faktor-faktor berikut  yang  berkaitan  dengan  proses urbanisasi dan hubungannya dengan  pembangunan  ekonomi  akan  diambil kira:-


(i)  Proses demographi dan urbanisasi.


(ii) Keadaan perkaitan yang rapat yang wujud di antara proses pembangunan sosio-  ekonomi dengan proses dan pola-pola urbanisasi


(iii) Kesan 'spatial' berikutan dengan perlaksanaan dasar dan program di peringkat  negara dan wilayah.


(iv)Dimensi-dimensi khusus dari segi proses perbandaran


(v) Peralatan-peralatan dasar (Policy Instrument) yang telah dirangka untuk mencapai matlamat DEB.


Strategi Pelaksanaan

Dalam  usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara melalui proses pembangunan bandar yang dirancang dan dikenalpasti maka kerajaan telah merangka beberapa strategi khusus.  Di antaranya ialah:

(i)   Mempastikan pembangunan bandar dengan lebih seimbang dari segi pembangunan fizikal, susunan kaum dan penyertaan dalam pembangunan bandar melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti tanah, pengangkutan, perumahan, tenaga manusia dan infrastruktur sosial.


(ii)   Mempercepatkan proses pembandaran di kawasan luarbandar dengan cara melibatkan peneroka-peneroka di sekim pembangunan tanah dan penduduk-penduduk di kawasan in-situ dalam kegiatan-kegiatan ekonomi bandar melalui perkembangan perkhidmatan,perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil. Penyertaan tersebut adalah bertujuan untuk mengurangkan pengaliran pendapatan kekawasan lain dan juga untuk menerapkan unsur-unsur pembangunan bagi mempergiatkan ekonomi tempatan.


(iii)   Mempastikan pembangunan secara teratur di pusat-pusat bandar yang sedia ada dengan mengambilkira keadaan tempatan. Selaras dengan tujuan ini pelan-pelan struktur bagi pusat-pusat utama dan pelan-pelan tempatan bagi umpulan-kumpulan pusat-pusat bandar kecil akan disediakan. Pelan-pelan ini akan menjadi garispanduan bagi pembangunan dan pembaharuan semula bandar di samping meningkatkan kecekapan dalam perancangan-perancangan kawasan-kawasan bandar.


(iv)   Mempercepatkan pembangunan bandar didalam kawasan-kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah dengan cara mengkaji kemungkinan-kemungkinan memperluaskan liputan dan bidang penglibatan sektor swasta selaras dengan usaha menggalakkan pembangunan kegiatan-kegiatan bandar terutamanya pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan dalam kawasan-kawasan pembangunan wilayah berkenaan.


(v)   Memperkenalkan konsep memperbandarkan kampung-kampung dengan cara pengelompokan kampung-kampung kecil yang terletak berdekatan bagi dijadikan bandar kecil atau pusat pembangunan desa di mana kegiatan-kegiatan perindustrian kecil, perniagaan dan pertanian secara komersial dapat diwujudkan.


Pencapaian

Sungguhpun pencapaian dari segi pelaksanaan  dasar dan masalah yang berbangkit tidak dapat ditukarkan oleh kerana  dasar urbanisasi negara yang komperhensif masih dalam peringkat persediaan, beberapa  pencapaian  telah dihasilkan  berikutan  daripada  perlaksanaan  strategi pembangunan  bandar  tertentu  sepertimana  yang  telah dihuraikan di atas.

Dalam usaha untuk mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang terutama dari segi pembangunan fisikal, susunan kaum dan penyertaan  dalam  kegiataan-kegiataan ekonomi perbandaran, Kerajaan telah dapat mewujudkan lapan Lembaga Kemajuan Wilayah  di kawasan-kawasan pinggiran yang kurang maju (frontier regions) dan tidak kurang daripada 32 kawasan projek pembangunan pertanian secara berpadu (IADP'S) di kawasan-kawasan tradisional (traditional agriculture areas.)

Kesan daripada kejayaan pelaksanaan usaha-usaha ini telah  dicerminkan  oleh  peningkatan  kepada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di semua negeri.

Walaubagaimanapun strategi kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan bandar di dalam kawasan-kawasan  Lembaga  Kemajuan  Wilayah agak kurang berjaya. Walaupun 30 daripada 36 buah bandar baru telah dapat diwujudkan, bilangan penduduk di bandar-bandar ini pada akhir tahun 1983 hanya berjumlah 89,400 orang. Ini merupakan hanya 30.3% daripada matlamat yang ditetapkan untuk sehingga 1985. Strategi kerajaan untuk membandarkan kawasan-kawasan luarbandar terutama di rancangan-rancangan Felda dan kawasan-kawasan In-Situ yang  mundur,juga kurang berjaya. Walaupun bilangan penduduk di kawasan-kawasan ini tidak menjadi masalah tetapi usaha untuk meluaskan kegiatan ekonomi perbandaran seperti perkembangan      perkhidmatan, perdagangan dan runcit serta industri-industri kecil amat terbatas. Ini menyebabkan pengaliran  keluar pendapatan di samping tenaga pekerja ke lain-lain kawasan terutama ke bandar-bandar yang sedia ada.

Sebagai satu usaha untuk membaiki keadaan ini kerajaan telah membentuk satu strategi yang baru iaitu 'Halacara Baru Dalam   pembangunan Kampong dan Luarbandar'. Usaha ini melibatkan pembentukan pusat-pusat pembangunan desa melalui proses penyatuan kampung-kampung yang berdekatan di samping menggalakkan penyatuan tanah-tanah pertanian yang tidak ekonomik dari  segi saiz dan pertumbuhan industri-industri kecil kampung.  Setakat ini kerajaan telah pun  mengenalpasti sebanyak 27 kampong terutama di negeri-negeri kurang maju untuk melaksanakan program ini.

Selaras dengan usaha untuk mempastikan wujud pembangunan secara teratur di bandar-bandar yang sedia ada kerajaan telah mengenalkan konsep 'Pelan  Struktur' dan 'Pelan Tempatan' (Akta Perancang Bandar dan Desa, 1976). Setakat ini banyak bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur,Ipoh, Johor Bharu, dan Kota Bharu telah mempunyai pelan strukturnya sendiri.

PENCAPAIAN DASAR SEHINGGA 1990

Oleh kerana Dasar Urbanisasi Negara tidak mempunyai program yang khusus dan menyeluruh maka sukar untuk kita mengukur dengan  tepat prestasi perlaksanaannya.Dalam  mengukur  prestasi  proses  urbanisasi dua aspek di ambil kira iaitu :-

1. Penyusunan Semula Masyarakat


(i)   Perlaksanaan pembangunan bandar masih lagi tertumpu di bandar-bandar utama sahaja di mana banyak peluang-peluang pekerjaan diwujudkan. Akibatnya bumiputera ketinggalan dalam persaingan dengan bukan bumiputera yang sememangnya telah menguasai kependudukan dan ekonomi bandar-bandar utama. Dengan ini perseimbangan kaum dalam pembahagian ekonomi dan penyusunan masyarakat tidak tercapai.


(ii)   Peningkatan penduduk di kawasan bandar telah bertambah dari 28.6% pada tahun 1970 kepada 37.5% pada tahun 1980 dan dijangka akan meningkat 44.7% pada dekad 90. Dari peratus pertambahan ini, bumiputera telah bertambah sebanyak 14%.


(iii)   Hasil dari penghijrahan penduduk bandar dan perluasan pengkelasan semula sempadan bandar saiz sederhana seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Taiping,penduduk bandar telah meningkat 23% lebih cepat dari penduduk luar bandar.


(iv)   Sehingga akhir tahun 1985,pelan-pelan struktur bagi Kuala Lumpur dan Johor telah disediakan, sementara itu 12 lagi pelan-pelan struktur di antaranya pelan struktur Seberang Perai, Seremban, Kuala Terengganu dalam peringkat penyediaan.

 
(v)   Strategi pembangunan bandar baru di kawasan di Lembah Kemajuan Wilayah juga didapati kurang berjaya. Peluang pekerjaan yang bukan pertanian hanya sedikit sahaja dapat diwujudkan di kawasan-kawasan bandar baru. Begitu juga dengan pertumbuhan penduduk,hingga akhir tahun 1985 penduduk bandar baru kurang 1/3 daripada penduduk bandar keseluruhannya.


(vi)   Dalam usaha UDA untuk menyusun semula masyarakat melalui program pembangunan semula, UDA telah berjaya membangunkan semula beberapa kawasan bandar seperti kawasan Bangsar Utama, kawasan Jalan Raja Abdullah dan juga kawasanTanjung Tokong dan Bukit Jambul di Pulau Pinang.


2. Pengagihan dan Perseimbangan Ekonomi


(i)   Sumbangan ekonomi bandar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat dari 66% pada tahun 1970 kepada 70% pada tahun 1980. Pertumbuhan ini dijangka akan meningkat melebihi 70% pada dekad 90. Jelas terbukti ekonomi bandar telah memberi sumbangan besar kepada KDNK.


(ii)   Sehingga akhir tahun 1988, hasil perangkaan dibuat menunjukkan bahawa hampir keseluruhan ekonomi bandar tertumpu di beberapa kawasan bandar utama seperti Butterworth dan Pasir Gudang. Ini menunjukkan pengagihan ekonomi bandar dan luar bandar tidak berlaku secara seimbang.


(iii)   Secara keseluruhannya,pendapatan di antara bumiputera dengan bukan bumiputera dalam sektor pembuatan, pembinaan, perniagaan, kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan masih menampakan perbezaan yang ketara. Pendapatan min bumiputera adalah lebih rendah dari pendapatan min bukan bumiputera


(iv)   Ketidakseimbangan juga wujud di antara wilayah. Wilayah-wilayah yang sedia maju seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor masih mempunyai KDNK per kapita yang tinggi jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain seperti Wilayah Utara atau Wilayah Timur.


(v)   Dalam hal mengseimbangkan ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, proses urbanisasi telah berjaya menambah pemilikan equiti bumiputera dalam sektor koporat dari tahun 1970 - 1988 sebanyak 17% sementara bukan bumiputera sebanyak 21.7%.


Penutup

Pembangunan bandar yang  ada  dan yang akan diadakan selaras dengan usaha pembentukan satu Dasar Urbanisasi Negara yang komprehensif amatlah penting bagi menjamin pencapaian kepada matlamat pembangunan negara. Hasrat kerajaan ialah untuk mempastikan supaya proses urbanisasi, corak dan tahap pembangunan matlamat DEB secara lebih berkesan lagi.

Setelah melihat perkembangan ekonomi dan pengaruh kependudukan membuktikan bahawa satu dasar urbanisasi yang komprehensif  haruslah dilaksanakan dengan segera untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan DEB.Tanpa dasar yang lengkap akan menyebabkan pertumbuhan bandar yang tidak seimbang dan seterusnya tidak membantu pembangunan negara sepenuhnya. Penumpuan aktiviti sosioekonomi di beberapa bandar tertentu sahaja juga akan merugikan penduduk bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.