Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia

logo_buatan_msia

MENTALITI PENENTU KEJAYAAN KEMPEN BELILAH BARANGAN MALAYSIA


JUMAAT lalu, kerajaan melancarkan kempen Belilah Barangan Malaysia Pilihan Bijak, serentak di tiga lokasi berasingan seluruh negara untuk menggalakkan rakyat menggunakan barangan tempatan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkannya di Mydin Mall USJ Subang Jaya.


Di Sarawak pula, pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Patinggi Abdul Taib Mahmud di Boullevard, Kuching, manakala di Sabah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan di pusat beli-belah 1Borneo, Kota Kinabalu.

boh_120-1


Pelancaran kempen terbaru itu, selepas kali pertama diadakan pada 1998, menandakan komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengutamakan barangan tempatan.


Kempen itu dianggap bertepatan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan diramal bertambah gawat dalam tempoh mendatang ini.


Dengan membeli barangan tempatan, ia bukan saja menyekat aliran wang ke luar negara, tetapi lebih penting menggalakkan pembangunan industri atau perusahaan tempatan.


Rakyat negara ini mempunyai banyak pilihan produk tempatan. Daripada barangan elektronik, keperluan rumah dan perhiasan, sehinggalah kepada barangan keperluan harian seperti makanan.


Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasil dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.


Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar. Sebabnya, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.


Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap ego yang sememangnya pun tidak menguntungkan.


Demikian juga sikap prejudis memandang rendah barangan tempatan, ia perlu dibuang jauh dari sudut pemikiran kita dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Boleh” dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.


Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.


Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran.


Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.


Yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan.


Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.


Kita perlu memulakan usaha, kita perlu mencuba dan mempraktikkannya sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika melancarkan kempen berkenaan, Jumaat lalu.


Dalam ucapannya itu, Datuk Seri Abdullah mahu rakyat mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan.


Kenyataan Perdana Menteri itu seharusnya menginsafkan kita semua, kerana dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak.


Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

 

 

 

 

Sumber: BERNAMA

Belilah Baranagn Buatan Malaysia

Selama ini kerajaan dan menteri hanya menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia dalam usaha mengatasi kesan kejatuhan nilai ringgit di samping mengurangkan bahan import.

Bagaimanapun, katanya, rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi memudahkan mereka membuat pilihan.

"Berikutan itu, Fomca dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara sedang mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna.

"Senarai itu diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (Fama) dan syarikat terbabit," katanya di sini, hari ini.

Marimuthu berkata, Fomca sejak dulu lagi menggalakkan tiga amalan diberi perhatian dalam pergerakan penggunaan iaitu beli barangan buatan Malaysia, amalan menabung atau berjimat cermat serta tidak membeli secara sewa beli.

"Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu," katanya.

Berikutan itu, katanya, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang.

"Langkah Fomca itu dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barang buatan tempatan, serta kurang bergantung kepada produk import," katanya.

Beliau juga berkata tabiat pembaziran dan berbelanja melebihi kemampuan pendapatan dikalangan rakyat negara ini yang turut menyimbang kepada penurunan ringgit disebabkan merek mudah memperolehi kemudahan kredit.

Berikutan itu, rakyat perlu mengubah tabiat berbelanja dengan mengamalkan tabiat berhemat dalam perbelanjaan seperti menabung untuk mengurangkan kesan hutang.

sumber: www.smartgeneration.com.my

AMANAT TAHUN BARU 2009
Y.B. DATO' SHAHRIR BIN ABDUL SAMAD
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI
DAN HAL EHWAL PENGGUNA
TARIKH: 6 JANUARI 2009


Timbalan Ketua Setiausaha (Konsumerisma dan Pengurusan)
Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Agensi, Pengarah-Pengarah Negeri
dan seterusnya anggota Kementerian yang saya hormati sekalian.


Alhamdulillah syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izinNya, dapat kita berkumpul pada pagi ini. Hari ini merupakan hari keenam kita melangkah ke tahun baru 2009 dan menjadi tahun pertama saya meraikan tahun baru bersama warga Kementerian. Selamat Tahun Baru saya ucapkan dan berharap anda semua berada dalam penuh keazaman untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal kita tempuh pada tahun ini dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai penjawat awam untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.


Pendahuluan
Y.B. Menteri berpendapat KPDNHEP telah dapat mendidik orang awam mengenai tugas-tugas serta peranan Kementerian dalam pembangunan negara. Hakikat ini dapat dilihat dari sokongan orangramai dan media terhadap usaha yang dijalankan oleh Kementerian. Y.B. Menteri mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian atas sokongan yang diberi kepada beliau.


Peranan Kementerian
Peranan KPDNHEP perlu dikaji semula kerana tanggungjawab Kementerian bukan hanya penguatkuasaan sahaja. Kementerian ini wajar dianggap sebagai "Kementerian Ekonomi" yang mempunyai peranan yang penting dari segi sumbangan kepada sektor permintaan domestik yang menjadi semakin penting dalam ekonomi negara. Dengan bertambahnya kepentingan permintaan domestik dalam ekonomi negara, peranan KPDNHEP juga bertambah penting. Sehubungan ini, pegawai-pegawai KPDNHEP harus memberi lebih perhatian kepada peranan pembangunan ini di masa hadapan.


Pembangunan Minda Masyarakat
KPDNHEP memainkan peranan penting dalam pembangunan minda dan pemikiran masyarakat yang merupakan perkara lebih sukar jika dibandingkan dengan pembangunan fizikal. Y.B. Menteri berpendapat kepentingan KPDNHEP tidak seharusnya diukur dari segi saiz bajet atau jumlah projek fizikal Kementerian. Peranan dan kepentingan KPDNHEP wajar diukur dari segi pembangunan minda dan pemikiran masyarakat juga. Dalam hal ini, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan permintaan domestik dalam pembangunan ekonomi negara merupakan salah satu pencapaian yang penting bagi Kementerian.
KPDNHEP juga boleh menyumbang kepada pendidikan. Y.B. Menteri berpendapat pendidikan mengenai konsumerisme harus dimulakan di peringkat sekolah. Tujuannya ialah untuk menyediakan genarasi akan datang untuk mudah hidup dalam masyarakat konsumer.


Sokongan Media
Pihak media telah memberi sokongan kepada Kementerian dalam usaha-usaha menerajui isu konsumerisme.  Y.B. Menteri memaklumkan perhimpunan bahawa pihak media bersedia membantu Kementerian dalam usaha membangunkan konsumerisme dari segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita konsumerisme. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh Kementerian dari segi memberi pendedahan kepada pihak media terhadap fungsi dan tanggungjawab Kementerian. Usaha untuk memberi pendedahan kepada pihak media dan juga orang ramai ini harus diteruskan.


Cabaran Tahun 2009
Pada tahun 2008, isu inflasi merupakan isu utama yang perlu ditangani oleh KPDNHEP. Bagi tahun 2009 pula, tekanan inflasi dijangka akan berkurangan. Namun ini tidak bermakna peranan KPDNHEP tidak penting lagi dalam tahun 2009. Di sebaliknya, KPDNHEP dijangka akan memikul tanggungjawab lebih berat dari segi membangunkan ekonomi domestik ekoran dari kemelesetan ekonomi yang sedang dialami oleh negara-negara maju. Malaysia tidak terkecuali dari kemelesetan tersebut. Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara akan terus mapan, KPDNHEP perlu berusaha untuk mewujudkan suasana kondusif yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi negara.


Kempen Beli Barangan Malaysia
Sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara, KPDNHEP akan melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia pada 16 Januari 2009. Kempen ini akan dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru itu, Pejabat-Pejabat Negeri dan Cawangan-Cawangan KPDNHEP harus memainkan peranan masing-masing untuk menjayakan kempen tersebut.


Harga Barang Dan Kebajikan Rakyat
Y.B. Menteri menyaran supaya pegawai-pegawai KPDNHEP memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, terutamanya mereka di luar bandar, dan tidak berpegang kepada kepercayaan bahawa penentuan harga harus diserahkan kepada kuasa pasaran bebas sahaja. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barang tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik, skala ekonomi yang besar dan persaingan yang sengit, penduduk sentiasa dapat menikmati harga yang lebih munasabah. Tetapi penduduk-penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran  yang kurang efisien. Pegawai-pegawai KPDNHEP perlu memberi perhatian kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Isu ini akan juga menjadi salah satu tugas utama Kementerian dalam tahun 2009.


Dasar Mengenai Lesen Pemborong
Kementerian perlu mengkaji semula dasar pelesenan pemborong untuk menentukan sama ada pemborong telah memainkan peranan demi manfaat orang ramai, terutamanya dari segi mengedarkan barang-barang perlu kepada penduduk-penduduk di kawasan luar bandar dan dalaman. Pihak pemborong wajar sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan pengedaran mereka perlu disampaikan kepada penduduk ini.


Penyebaran Maklumat
Y.B. Menteri menyaran supaya pegawai/kakitangan KPDNHEP memainkan peranan lebih giat dari segi menyebarkan maklumat mengenai peranan dan bantuan Kerajaan kepada rakyat. Masih ramai penduduk tidak sedar kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan untuk mereka yang miskin atau mereka sedang menghadapi masalah. Dengan maklumat secukupnya, ini akan dapat membantu mereka menanganai masalah yang dihadapi. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kakitangan KPDNHEP untuk menyebarkan maklumat penting kepada orang ramai, termasuk fungsi dan peranan KPDNHEP.


Y.B. Menteri menyaran kepada warga KPDNHEP supaya terus bekerjasama dan berusaha untuk menyempurnakan tugas-tugas Kementerian bagi tahun 2009.

UCAPAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI
DAN HAL EHWAL PENGGUNA
TARIKH: 6 JANUARI 2009

Iktiraf ciptaan tempatan - Rakyat jangan sangsi barangan buatan Malaysia – PM


PUTRAJAYA 8 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat mengubah sikap dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka.


Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak- anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import.


Sehubungan itu, beliau mahu institusi kerajaan, swasta dan rakyat mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti.


Abdullah berpendapat, rakyat Malaysia agak sangsi untuk menggunakan produk tempatan tetapi akan menggunakan barangan import tanpa ragu-ragu terhadap kualitinya.


‘‘ Kita bersikap pemaaf apabila barangan import yang kita beli ada kecacatan tetapi kurang memaafkan apabila melibatkan barangan buatan tempatan.


“ Mari kita ubah sikap kita dan bersedia untuk mengiktiraf keupayaan pencipta kita sendiri dan produk mereka,” katanya ketika berucap melancarkan IRIS Oxy-Hydrogen Mobile Incinerator, di sini hari ini.


Insinerator bergerak mesra alam yang dijanakan oleh gas oksigen dan hidrogen itu dibangunkan oleh syarikat tempatan, IRIS Corporation Bhd. dan merupakan teknologi pertama seumpamanya di Malaysia.


Insinerator itu merupakan insinerator generasi baru yang boleh melakukan pembakaran bebas toksik terhadap sisa pepejal dan cecair domestik.


Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi IRIS Corporation Bhd., Tan Sri Razali Ismail dan Pengarah UrusannAya, Datuk Tan Say Jim.


Pada majlis tersebut, Abdullah turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pembelian antara IRIS Corporation dan PTJ Technology Co. Ltd. of Thailand yang telah memesan satu unit insinerator bergerak itu.


Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu menukar sikap mereka yang lebih suka membeli teknologi tinggi yang direka oleh negara lain seperti Jepun dan Korea dan percaya tentang kebaikannya.


Beliau berkata, ini kerana peralatan berkenaan sebenarnya boleh dibekalkan oleh rakyat Malaysia sendiri.


Bagaimanapun beliau sedar bahawa terdapat produk di negara ini yang masih belum mencapai tahap teknologi yang lebih tinggi berbanding produk luar negara.


‘‘ Kita belum sampai lagi (tahap itu) kerana ada alat canggih kita kurang sempurna. Tetapi apa yang boleh kita boleh buat dan yang penting bagi kita ialah institusi kerajaan dan swasta memberi ruang dan peluang untuk anak tempatan memperkenalkan teknologi mereka,” katanya.


Dengan cara itu, menurut Abdullah, syarikat tempatan akan menerima maklum balas daripada pengguna mengenai sebarang kekurangan dan kelemahan produk tersebut.


‘‘ Setelah itu, produk tersebut akan ditambah baik dan diperelokkan supaya nanti alat itu bertambah canggih dan lebih tinggi kapasitinya.


‘‘ R&D tidak dapat berkembang jika hasilnya tidak diberi pengiktirafan dan kerelaan untuk mencuba pakai,” katanya.


Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak memberi galakan kepada pembangunan kemajuan sains dan teknologi terutama berhubung kait dengan pelbagai produk peralatan dan jentera yang dapat digunakan oleh rakyat negara ini.


‘‘ Kalau kita tidak sedia membeli atau mencuba pakai, maka penyelidikan dan pembangunan (R&D) anak tempatan tidak dapat berkembang dan mereka akan rasa kecewa serta tidak ada keyakinan,” katanya.


Mengenai insinerator bergerak mesra alam yang dibangunkan oleh IRIS Corporation itu, Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana produk berteknologi tinggi itu dihasilkan oleh anak tempatan.


Beliau juga yakin produk tersebut mempunyai potensi untuk berkembang maju.


‘‘ Apa yang menggembirakan, sebelum kita beli Thailand sudah beli dulu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Isu semasa : Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia

Kempen beli produk Malaysia perlu sokongan menyeluruh


KEMPEN Beli Barangan Buatan Malaysia yang buat pertama kali dilancarkan pada 1984, kini dihidupkan kembali oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertujuan meningkatkan permintaan domestik terhadap barangan buatan tempatan dan merangsang ekonomi negara.
Untuk menjayakan kempen itu, masyarakat pengguna, penjual, pengilang dan media perlulah membantu kerajaan dengan bersungguh-sungguh agar kempen kali ini benar-benar membuahkan hasil yang diharapkan.


Pertama, pengguna perlu terlebih dulu mengubah sikap dan tanggapan terhadap barangan buatan tempatan. Kita tidak boleh menafikan masih ramai rakyat Malaysia terutama golongan pertengahan dan atasan yang lebih cenderung untuk membeli barangan import. Jika sikap sedemikian berterusan, kempen yang dijalankan kerajaan ini akan terbantut.


Dengan membeli barangan tempatan, kita bukan sekadar menyokong industri tempatan malah membantu melestarikan ekonomi negara. Membeli barangan tempatan sekurang-kurangnya mengurangkan pengaliran wang negara keluar. Membeli dan menggunakan barangan tempatan adalah tindakan awal yang perlu kita ambil untuk bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.


Kedua, masyarakat peniaga juga perlu memainkan peranan untuk menjayakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Peniaga perlu membuktikan bahawa mereka juga memiliki semangat cintakan negara. Sebagai contoh, pasar raya boleh bertindak memperluaskan pemasaran produk tempatan, mengadakan rak yang khusus bagi memperagakan produk itu atau memberikan mata ganjaran setiap kali pembeli membeli barangan tempatan. Kesemua ini juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial peniaga.


Ketiga, pengilang atau pengeluar juga tidak boleh lari daripada memainkan peranan mereka. Pengeluar perlu memberi tumpuan lebih serius terhadap kualiti produk, pembungkusan, penjenamaan, kos pengilangan dan pengedaran. Kesemua ini perlu bagi meyakinkan pengguna tempatan bahawa produk tempatan juga setaraf dengan produk import.

Keempat, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta KPDNHEP negeri juga boleh menyemarakkan lagi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia pada peringkat daerah dan negeri. Tindakan perlu diambil agar kempen dijalankan tidak hanya hangat di sekitar Lembah Klang semata-mata tetapi turut tersebar ke seluruh negara.


Antara yang boleh dibuat ialah dengan membantu pengedaran dan pemasaran produk tempatan dengan memperbanyakkan lagi tapak niaga sementara khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau peniaga kecil. Di samping itu, tindakan boleh diambil untuk memastikan kedai dan pasar raya di bandar masing-masing turut serta berkempen dengan bersungguh-sungguh, menggalakkan PKS menggunakan logo buatan Malaysia secara meluas untuk barangan mereka, memperbanyakkan lagi program untuk mendidik masyarakat pengguna memahami kepentingan mengutamakan produk tempatan dan mempromosi produk tempatan yang kurang dikenali tetapi berpotensi.


Akhir sekali, peranan dan pengaruh pihak media tidak boleh diperkecilkan. Media perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat untuk turut serta menyokong Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.


Apabila kita membelanjakan wang kita dengan membeli produk tempatan, kita akan memastikan wang kita terus berada di Malaysia. Kita juga boleh memastikan wang kita tidak digunakan oleh syarikat-syarikat asing untuk bersekongkol dengan negara tertentu bagi mengebom sesebuah negara atau menyokong peperangan.


DR SHAIFUL ANNUAR KHALID,
UiTM Perlis.

Sumber: Berita Harian

Abdullah Minta Rakyat Utamakan Barangan Buatan Malaysia

SUBANG JAYA 16 Jan. — Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat mengutamakan barangan buatan Malaysia dan mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan.

Beliau berkata, walaupun banyak barangan buatan Malaysia diterima baik di luar negara kerana ia bermutu tinggi tetapi di Malaysia sendiri masih ada yang tidak berminat dengan barangan tempatan sebaliknya memilih barangan luar negara.

“Cubalah...kalau kita tidak cuba kita tidak tahu. Apabila mencubanya kita akan lebih sayang dan akan menjadi pengguna yang setia,” katanya ketika melancarkan kempen belilah barangan Malaysia pilihan bijak di Mydin Mall USJ di sini hari ini.

Pelancaran kempen itu dilakukan serentak di 1 Borneo, Kota Kinabalu dan di Boulevard, Kuching. Pada majlis itu Abdullah turut melancarkan logo Beli Barangan Malaysia, yang baru. Kempen itu pertama kali dilancarkan pada tahun 1998.

Abdullah berkata pengilang dan pengusaha di negara ini mengeluarkan pelbagai jenis barangan seperti makanan, solekan, perhiasan, ubat-ubatan, kraftangan dan pakaian.

Sumber: Bernama

Aktifkan Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia


KEMPEN Belilah Barang Buatan Malaysia dilancarkan pada 4 April 1984 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan pelbagai tujuan termasuklah menjana ekonomi industri tempatan tidak kira industri berat, sederhana mahupun industri kecil.


Ketika krisis ekonomi melanda negara 1998, dalam program Bersama Perdana Menteri 14 Julai 1998, antara lain ketika beliau ditanya oleh Presiden FOMCA, Prof. Dr. Hamdan Adnan mengenai langkah yang dimainkan oleh kerajaan mendepani krisis tersebut,


Perdana Menteri menjelaskan bahawa pada tahun 1998 juga dilancarkan satu kempen yang bernama Kempen Ekspo Cintailah Malaysia di mana sebanyak 400 gerai barangan tempatan dipamerkan untuk tontonan orang ramai dengan harapan dapat memperkenal dan menarik minat orang ramai terhadap barangan tempatan.


Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia sebenarnya tidak mati begitu sahaja kerana pelbagai program dan aktiviti dilakukan untuk memberi kesinambungan terhadap kempen tersebut, cuma orang ramai yang seolah-olah lupa akan kempen tersebut kerana kempen itu digembar-gemburkan ketika adanya sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Peladang dan juga ketika negara menghadapi krisis ekonomi seperti sekarang.


Tegasnya, ketika ekonomi pulih dan stabil, ramai antara kita yang tidak memandang atau memperlekeh barangan tempatan hinggalah mengalih perhatian terhadap barangan import. Oleh itu, dengan mudah pula kita membantu mengukuhkan ekonomi negara lain dengan cara membeli barangan buatan mereka tanpa memikirkan kesan di sebaliknya


Sewajarnya kempen Belilah Barang Buatan Malaysia diaktifkan semula supaya masyarakat kita menghargai barang-barang yang kita hasilkan apatah lagi ada antara barang-barang tersebut yang berkualiti dan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Maka, apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu melancarkan semula kempen ini seluruh negara 16 Januari ini.


Rasa-rasanya tindakan ini tepat pada masanya demi mengawal pengaliran keluar wang kita ke negara luar, kecuali barang-barang yang memang tidak cukup bagi keperluan domestik.


Sejak dulu lagi, kempen ini secara simboliknya mahu mendidik pengusaha di negara kita memberanikan diri, mengubah persepsi dan meningkatkan keupayaan meneroka bidang yang selama ini dikuasai oleh orang luar, terutamanya barang-barang berasaskan perkilangan.


Kempen ini juga sebenarnya memberi dorongan kepada pengusaha tempatan meningkatkan kualiti barang yang dihasilkan supaya setanding atau menyaingi barangan dari luar, diyakini oleh masyarakat tempatan agar terus menyokong industri tempatan.


Tidak dinafikan juga bahawa sokongan masyarakat negara kita terhadap barangan tempatan sangat penting untuk menentukan jatuh bangun industri dan juga barangan tempatan.


Contohnya, jika sesuatu barang yang kita keluarkan mendapat sambutan menggalakkan, bermakna kita menghidupkan industri tempatan manakala di pihak industri pula, mereka tentulah melipatgandakan usaha untuk mengekalkan industri mereka, melebarkan perniagaan dan menambah baik mutu barangan yang dikeluarkan dengan harapan dapat memuaskan hati pengguna.


Menyokong industri tempatan bermakna kita dapat menyumbang ke arah kemantapan ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuklah peluang pekerjaan yang dapat dinikmati oleh penduduk tempatan.


Kadar pengangguran yang dapat kita kurangkan akan mengecilkan juga risiko jenayah dan segala macam budaya yang menghimpit remaja masa kini.


Namun, tidak semestinya kempen ini menolak seratus-peratus barangan dari luar. Masalah cita rasa, kuasa beli dan keinginan memenuhi keperluan yang memang tidak ada di negara kita memerlukan kita bergantung juga kepada barangan dari luar.


Apa-apa pun, kempen ini akan dapat membendung tabiat menggila penduduk negara kita terhadap barangan dari luar. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen.

M. JASNI MAJED

Bukit Kapar, Selangor

Sumber: Utusan Malaysia