Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Keistimewaan dan Kemudahan Kepada Golongan Orang Kurang Upaya

Sukan

Majlis Paralympik Malaysia telah ditubuhkan bagi menggalakkan sukan dan rekreasi di kalangan orang kurang upaya. Jabatan dan NGOs bersama-sama menganjur dan menggalakkan orang kurang upaya di dalam berbagai-bagai bidang sukan dan riadah. Kejohanan Sukan Paralympik Malaysia bagi Orang Kurang Upaya/ Jemputan ASEAN diadakan dua tahun sekali. Skim insentif bagi ahli-ahli sukan orang kurang upaya dan hadiah-hadiah berbentuk kewangan kepada pemenang atlit-atlit di Kejohanan-kejohanan Sukan Antarabangsa disediakan.


Kegiatan Kesenian dan Kebudayaan

Untuk menggalakkan orang kurang upaya menyertai berbagai-bagai kegiatan kesenian dan kebudayaan, satu kumpulan Kesenian Orang Kurang Upaya ditubuhkan dan satu tabung juga dilancarkan bagi memudahkan kumpulan ini menjalankan aktiviti dan latihan.


Kemudahan Pendidikan

Kementerian Pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan kelas khas kepada kanak-kanak cacat pengelihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program pendidikan dijalankan di sekolah khas pendidikan dan melalui program integrated di sekolah biasa. Kerajaan juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian pendidikan. Bagi Pelajar yang berjaya mereka akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM300.00 sebulan.

Kemudahan Akses di Bangunan Awam

Satu Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk memastikan orang kurang upaya ada akses tanpa halangan dalam menggunakan kemudahan-kemudahan awam. Akses orang kurang upaya kepada kemudahan-kemudahan dalam dan luar bangunan telah dimasukkan dalam pindaan kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Dalam hubungan ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan berbagai kemudahan diwujudkan bagi membolehkan mereka yang kurang upaya bergerak bebas. Satu daripada pencapaian ini ialah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang Urusetianya ialah SIRIM telah merangka “ Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke Bangunan Awam” yang mana telah menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan kehendak-kehendak bangunan untuk orang kurang upaya di mana bangunan baru diwajibkan mempunyai kemudahan akses kepada orang kurang upaya. Antaranya termasuklah “ram” dan “railings”, laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.


Kemudahan Dan Galakan Pelepasan Cukai

Kerajaan juga memperluaskan potongan cukai berganda dalam tahun 1981 kepada majikan-majikan mengambil pekerja kurang upaya dan dalam tahun 1991. Kerajaan pula menambahkan bagi pelepasan pengecualian cukai bagi ibubapa yang mempunyai anak kurang upaya di bawah umur 18 tahun. Kerajaan juga memberi ribet cukai kepada pembayar cukai bagi membeli alat-alat khas bagi kegunaan sendiri atau kegunaan anak dan ibubapa yang kurang upaya;


Sebagai galakan berterusan bagi memelihara orang kurang upaya dan sebagai pelepasan tambahan kepada potongan diri RM5,000 dan potongan untuk isteri RM3,000, Kerajaan telah meluluskan pelepasan tambahan sebanyak RM5,000 diberi kepada pembayar cukai yang kurang upaya dan sebanyak RM2,500 lagi kepada pasangan yang kurang upaya mulai tahun 1995.


Kemudahan Pengangkutan Awam

Jabatan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya. Antaranya Sistem Penerbangan Malaysia memberi tambang murah sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, Keretapi Tanah Melayu memberi tambang konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas TRANSNASIONAL memberi konsesi 25% daripada harga tambang dan PUTRA-LRT juga telah memberi konsesi tambang kepada golongan kurang upaya.

Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan

Orang kurang upaya dikecualikan daripada bayaran rawatan di Hospital Kerajaan termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.


Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan

Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran ke atas perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan (passport Antarabangsa) kepada golongan kurang upaya.


Kemudahan Peluang Pekerjaan

Komitmen kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya terbukti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 yang telah dikeluarkan dimana kouta 1% peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan orang kurang upaya.

Bagi Sektor Swasta, Jawatankuasa Penggalakan Pengajian Orang Cacat Di Sektor Swasta telah ditubuhkan dalam tahun 1990 di bawah Jabatan Buroh Semenanjung Malaysia telah mewujudkan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta yang merupakan suatu garis panduan kepada agensi kerajaan, majikan, pertubuhan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan pertubuhan orang kurang upaya serta orang kurang kurang upaya sendiri untuk pendaftaran dan penempatan kerja orang kurang upaya bekerja di sektor swasta.

Bagi orang kurang upaya, mereka boleh membuat pendaftaran di mana-mana pejabat buruh di negeri dan daerah )



Kemudahan Membeli Kereta Dan Motorsikal Nasional

Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 50% ke atas pembelian kereta atau motorsikal nasional bagi orang kurang upaya yang berkeupayaan memandu dan tidak berkeupayaan memandu.

Bagi orang kurang upaya yang berkeupayaan memandu, setiap permohonan mestilah disertakan dokumen berikut:-

  • Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya;
  • Kad Pengenalan;
  • Lesen Memandu yang sah;
  • Maklumat Kenderaan - Model, No.Enjin, No.Chasis dll.

Bagi golongan orang kurang upaya yang tidak berkeupayaan memandu, mereka boleh mendapat kemudahan tersebut dengan syarat Pihak kedua ( Ibubapa/isteri) boleh memandu bagi pihak mereka. Setiap , permohonan mestilah disertakan dolumen berikut:-

  • Lesen memandu - pihak kedua;
  • Kad Pengenalan - pihak kedua;
  • Maklumat yang menyokong hubungan antara penama dan pihak kedua;
  • Kad Pengenalan;
  • Kad Pengenalan OKU;
  • Maklumat Kenderaan – Model, No.Enjin, No.Chasis dll.

Kemudahan Alat Ganti Orang Kurang Upaya

Kerajaan memberi pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan orang kurang upaya.

Pencen Terbitan

Kerajaan melalui JPA menyediakan pencen terbitan kepada anak/tanggungan penjawat awam yang meninggal dunia.

Kemudahan Mendapat Latihan dan Pemulihan

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan program latihan kepada kanak-kanak kurang upaya dengan menyediakan program latihan kemahiran dan pemulihan diri di Institusi-institusi Jabatan. Buat masa ini perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan ini kepada kategori kurang upaya anggota dan akal (bermasalah pembelajaran) sahaja.

Kemudahan Geran Pelancaran

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga membantu golongan kurang upaya yang berpendapatan kecil atau yang ingin menjalankan perniagaan kecil dengan menyediakan peruntukkan geran pelancaran berkadar maksimum RM2,000

Sumbangan Kepada Program-Program OKU

Jabatan menggalakkan penyertaan aktif dan sumbangan daripada sektor swasta/ korporat untuk memainkan peranan yang lebih besar dan positif bagi kebajikan orang kurang upaya selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menuju ke arah masyarakat penyayang menghadapi Wawasan 2020 dan menepati Dasar Kebajikan Masyarakat Negara.

Kemudahan Telekom

Syarikat Telekom Malaysia telah menyediakan insentif/kemudahan kepada golongan orang kurang upaya seperti berikut:-

  • Bayaran Sewa bulanan di kecualikan kepada golongan kurang upaya.
  • Panggilan 103 (operator) tidak dikenakan sebarang caj
  • Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan secara percuma.

Bagi orang kurang upaya berumur 19 tahun dan ke atas mereka layak memohon menggunakan maklumat sendiri dan bagi mereka berumur 18 tahun dan ke bawah mereka juga boleh memohon perkhidmatan bagi pihak keluarga mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak STMB.

Takaful Malaysia Berhad

Menyediakan Insuran(Perlindungan) bagi OKU yang merangkumi Perlindungan bagi:-

  • Kemalangan;
  • Kematian - urusan pengkebumian;
  • Keilapan Kekal (kurang upaya/disability) akibat penyakit;
  • Keilapan Kekal akibat kemalangan;
  • Perbelanjaan perubatan kecederaan akibat kemalangan

Syarat-syarat permohonan:

  • Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat;
  • Berdaftar dengan mana-mana persatuan.