Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Buang Air Besar Berdarah

Penyakit buasir memang begitu kerap berlaku di kalangan masyarakat moden yang stres. Umum sudah amat mengetahui tanda utama buasir iaitu pendarahan di dalam najis dari rektum. Sebenarnya permasalahan ini adalah lebih penting dari persoalan tentang buasir itu sendiri kerana terdapat bermacam-macam penyebab atau penyakit lain selain buasir yang juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam najis.

Rektum adalah sebahagian daripada usus besar yang terletak di atas lubang dubur (anus). Ia digunakan oleh usus untuk menyimpan najis sebelum sampai masa yang sesuai untuk dibuang. Pendarahan di dalam najis berlaku apabila sel-sel darah merah normal yang terletak di dalam saluran dan pembuluh darah, telah keluar dari dinding-dinding usus dan mengalir serta bertakung di dalam rongga-rongga usus. Darah yang berwarna merah cerah menandakan pendarahan itu berlaku dari bahagian pembuluh darah arteri dan terletak di bahagian yang sangat hampir dengan lubang dubur seperti usus sigmoid ataupun rektum.

Manakala, darah yang berwarna merah gelap diandaikan berpunca dari sumber pendarahan yang lebih dalam iaitu bahagian awal usus besar seperti sekum ataupun bahagian akhir usus kecil iaitu ileum. Walaupun tidak dianggap begitu oleh kebanyakan pesakit, najis yang berwarna hitam pekat seperti tar di jalanan adalah juga sejenis pendarahan usus. Darah boleh bertukar dari kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim-enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel-sel darah yang keluar dari dinding- dinding perut ataupun usus kecil.



Punca Pendarahan Rektum

Pendarahan di dalam najis adalah sesuatu perkara yang amat dramatik bagi mereka yang belum pernah mengalaminya. Lebih dramatik jika pendarahan itu berlaku dengan banyak sekali. Pesakit di kalangan ini sepatutnya terus berjumpa doktor ataupun pakar gastroenterologi dengan serta-merta. Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor untuk mengesan punca atau penyakit yang menyebabkan pendarahan itu sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih.



Terdapat juga penyakit dalaman yang telah mengubah kecairan darah dengan menyebabkan sel-sel darah menyerap keluar dari dinding-dinding usus ke dalam rongganya seperti kanser sel darah, leukemia. Gangguan kepada sistem yang mengawal kecairan darah juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat seperti Warfarin oleh pesakit jantung. Kebiasaannya, jika pesakit mendapati pendarahan di dalam najis itu berwarna merah cerah; dan ia keluar dahulu ataupun selepas najis, lazimnya perdarahan ini adalah disebabkan oleh buasir.

Sementara itu, pendarahan yang berwarna merah gelap dalam kuantiti yang sedikit dan bercampur-baur dengan najis menimbulkan syak tentang penyakit kanser usus. Seterusnya, pendarahan hitam pekat selalunya disebabkan oleh penyakit radang di saluran esofagus, perut ataupun usus kecil (duodenum). Ia juga boleh disebabkan oleh ulser ataupun kanser di dalam organ-organ tersebut.

Rawatan

Umumnya, penyakit-penyakit keradangan usus seperti kolitis dan proktitis hanya dirawat dengan ubat-ubatan. Sementara itu, penyakit kanser usus harus menjalani pembedahan major sebelum dibantu oleh rawatan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi. Buasir pula boleh dirawat secara ubatubatan di peringkat awal dan apabila ia menjadi serius harus dihapuskan dengan beberapa kaedah termasuk Rubber Banding dan juga pembedahan.



Sumber Maklumat: Mingguan Malaysia