Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

GEOGRAFI

Malaysia merupakan sebuah Negara Bangsa yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia meliputi 13 buah Negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak) dan 1 Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada 3 buah Wilayah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

LOKASI
Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang terletak di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai dua kawasan utama yang terpisah oleh Laut China Selatan iaitu Semenanjung Malaysia (bersempadankan Thailand di utara dan Singapura di selatan) dan Malaysia Timur (bahagian utara Pulau Borneo yang bersempadan dengan Indonesia di selatan dan Brunei di utara). Malaysia terletak berhampiran dengan garisan Khatulistiwa iaitu pada Garisan Lintang 1˚ dan 7˚ Utara dan Garisan Bujur 100˚ dan 119˚ Timur. Keluasan Malaysia meliputi 329,960.22 km2.

IKLIM
Malaysia mengalami cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Purata suhu harian di seluruh Malaysia ialah antara 21˚C hingga 32˚C. Lazimnya, iklim Malaysia dipengaruhi oleh angin yang bertiup dari Lautan Hindi (Angin Monsun Barat Daya-Mei hingga September) dan Laut China Selatan (Angin Monsun Timur Laut-November hingga Mac). Hujan tahunannya adalah 80 peratus setahun iaitu antara 2000mm hingga 2500mm.


FLORA DAN FAUNA
Kawasan hutan di Semenanjung Malaysia terdiri dari hutan hujan tropika. Struktur hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia adalah satu profil yang berlapis. Lapisan-lapisan itu terdiri daripada pokok-pokok renjong, silara utama, tumbuhan tingkat bawah dan tumbuhan permukaan tanah. Pokok-pokok dilapisan renjong dapat mencapai ketinggian 60m hingga 70m. Kebanyakan pokok-pokok ini adalah daripada famili Dipterocarpaceae dan Leguminosae. Diterocarpaceae sering dikaitkan dengan kumpulan pokok-pokok balak komersial seperti balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya. Lapisan silara utama pula terdiri daripada tumbuh-tumbuhan berbagai-bagai famili seperti kedondong, kandis, penarahan dan kelat yang tingginya antara 20m hingga 40m. Di tingkat bawah pula, terdapat pokok-pokok kecil dan palma yang hidup subur di bawah silara tersebut. Di lantai hutan pula terdapat anak-anak pokok, palma-palma kecil, tumbuhan renek dan herba.

Hutan hujan tropika di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kelas iaitu hutan-campuran dan hutan dominan tunggal. Hutan campuran seperti hutan dipterokarpa tanah pamah terdiri daripada berbagai-bagai famili tumbuhan manakala hutan dominan tunggal dapat dilihat pada jenis hutan dominan tunggal spesies kapur (dryobalanops aromatica) seperti yang terdapat di Kanching, Selangor. Ia adalah campuran spesies yang berbeza-beza dari segi komposisi flora dan ia berubah mengikut habitat. Berdasarkan ketinggian kawasan di atas aras laut, hutan ini juga boleh dikelaskan kepada hutan dipterokarpa pamah, hutan dipterokarpa bukit, hutan dipterokarpa atas, hutan oak-gunung dan hutan ericaceous gunung. Dipterokarpa merupakan kumpulan pokok-pokok berdamar famili dipterokarpa yang terdapat di lapisan sudur hutan dan di bahagian silara utama hutan.

Hutan dipterokarpa pamah meliputi semua hutan atau rimba di kawasan tanah dan di kaki-kaki bukit sehingga ketinggian 30m. Hutan dipterokarpa bukit pula adalah hutan di bukit-bukit antara ketinggian 30 hingga 762m manakala hutan antara ketinggian 762 hingga 1200m adalah hutan dipterokarpa atas. Hutan oak-gunung adalah hutan antara paras ketinggian 1200 hingga 1500m. Hutan yang melebihi 1500m adalah hutan ericaceous gunung. Keluasan kawasan berhutan bagi Semenanjung Malaysia adalah seluas 5.79 juta hektar iaitu 44 peratus keluasan Semenanjung dengan 4.89 juta hektar adalah Hutan Simpanan Kekal. Sarawak masih mengekalkan 80 peratus hutannya dengan keluasan hutan kekal sebanyak 6 juta hektar dan 1 juta hektar adalah kawasan perlindungan kekal. Manakala di Sabah seluas 4.7 juta hektar atau 63 peratus keluasannya dilitupi hutan dengan keluasan Hutan Simpanan Kekal melebihi 3.6 juta hektar atau lebih kurang 49 peratus daripada keluasan negeri Sabah.   

Hutan hujan Malaysia menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi flora dan fauna dari sekecil-kecil organisme mikroskopik dan bakteria hinggalah kepada spesies-spesies besar seperti mamalia, ikan dan burung. Hingga kini lebih kurang 17,631 spesies tumbuhan merangkumi 377 alga, 1,387 briofit, 1,600 paku-pakis dan sekutunya, 61 gimnospirm, 4,180 monokot dan 10,026 dikot telah direkodkan. Spesies fauna yang direkodkan meliputi 480 mamalia, 742 burung, 242 amfibia, 567 reptilia, 590 ikan air tawar, 1,967 kupu-kupu dan 1,073 kumbang daun.

Antara spesies mamalia yang tinggal di hutan Malaysia ialah orang utan, harimau, gajah, badak sumbu, tapir, kerbau liar, musang, harimau bintang, beruang dan dua jenis rusa iaitu sambar dan kijang. Harimau belang Malaysia adalah spesies kucing terbesar di dunia dan hanya ditemui di Asia Tenggara terutama di Malaysia. Ia berasal dari Famili Felidae dalam order karnivor. Harimau Siberia merupakan sub-spesies yang terbesar dan boleh membesar sehingga 3.3 meter panjang dan seberat 300kg. Manakala Harimau Sumatra merupakan sub-spesies terkecil dengan secara puratanya bersaiz 2.4 meter panjang dan seberat 120 kg. Haiwan istimewa lain yang terdapat di Malaysia ialah monyet belanda. Selain itu, terdapat lebih 600 spesies burung direkodkan di Semenanjung Malaysia dan 580 spesies di Borneo.

Ikan air tawar merupakan antara ikan yang terkenal di Malaysia dan ia terdiri daripada ikan kelisa, ikan patin, ikan tilapia, sebarau, toman dan haruan. Habitat ikan laut dalam di perairan Malaysia amat menarik dengan pelbagai jenis ikan seperti lionfish yang juga dikenali sebagai zebrafish dan clown fish. Terumbu karang yang telah wujud lebih 450 juta tahun menjadi ekosistem marin yang paling kaya. Ia menjadi habitat kepada lebih sejuta spesies hidupan laut. Kepadatan ikan di kawasan berkenaan adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding di laut luas.

Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada dua belas negara mega kepelbagaian biologi dunia telah menggariskan hala tuju dalam melestari dan memulihara kepelbagaian biologi Negara menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan pada tahun 1998.

 

Sumber : Malaysia 2013/2014