Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Hubungan Antarabangsa Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Tahun 2009 menjadi tahun aktif bagi hal ehwal antarabangsa Malaysia dengan Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anifah Aman pula sebagai Menteri Luar.

Perdana Menteri memikul peranan sebagai duta terulung Malaysia dan dalam masa lapan bulan menerajui negara, Najib meninggalkan kesan yang baik dalam kehadirannya di persada antarabangsa dan memupuk hubungan baik dengan pemimpin global termasuk Presiden Amerika Syarikat, China serta Perancis.

Berhampiran tanah air pula, pemimpin Malaysia itu mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Asean dan keakraban beliau dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono membantu meredakan hubungan dua hala yang bergolak disebabkan pelbagai isu merangkumi pertikaian budaya sehinggalah kepada pekerja Indonesia di Malaysia.

Najib juga beberapa kali mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thai, Abhisit Vejjajiva, dan kedua-dua pemimpin menggariskan komitmen mereka untuk membawa keamanan ke wilayah bergolak di selatan Thai dengan melakukan lawatan bersama dan menamakan semula jambatan yang merentasi Sungai Golok sebagai Jambatan Persahabatan Malaysia-Thailand.

Anifah juga melaksanakan dengan aktif tugas beliau sebagai menteri dan dalam bulan pertama memegang jawatan, beliau berada di Washington dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton.

Najib memulakan tugas pertama beliau di luar negara selaku Perdana Menteri dengan melawat Indonesia pada April dan memperoleh komitmen Jakarta untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala serta menyelesaikan apa jua pertikaian menerusi rundingan.

Hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu diuji berikutan laporan mengenai penderaan pembantu rumah warga Indonesia yang mengakibatkan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.

Selain itu, sentimen anti Malaysia disemarakkan selepas sebuah syarikat penerbitan Singapura memaparkan tarian "Pendet" dari Bali dalam sebuah video mengenai pelancongan Malaysia yang disiarkan oleh Discovery Channel yang telah pun memohon maaf atas kesilapan itu.

Anifah kemudian berkunjung ke Jakarta untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya Dr Hassan Wirajuda, dan turut mendapatkan jaminan terhadap keselamatan beratus-ratus pelajar Malaysia di Indonesia.

Hubungan dua hala kekal utuh seperti yang digambarkan oleh Susilo yang memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk dilawatinya pada Oktober selepas mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua.

Semasa lawatan Susilo itu, Najib menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isu remah yang dibangkitkan oleh pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara, sebaliknya akan terus memperkukuhkan hubungan akrab yang telah pun sedia terjalin.

Susilo ketika memberikan respon, berkata jika timbul masalah, ia mesti diselesaikan secara bijaksana dan bersesuaian bagi mengekalkan hubungan serta kerjasama yang baik.

Dalam satu lagi peristiwa penting, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-35 tahun hubungan diplomatik dengan pemimpin tertinggi kedua-dua negara saling berbalas kunjungan. Lawatan Najib ke Beijing pada awal Jun, iaitu yang pertama di luar Asia Tenggara, menggariskan kepentingan strategik kuasa ekonomi global itu dalam dasar luar negara beliau.

Beliau diberikan sambutan meriah di Beijing ketika menjejaki semula langkah bersejarah bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang berjabat tangan dengan Mao Zedong bagi memeterai hubungan diplomatik pada 1974, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara yang mewujudkan hubungan dengan China.

Hubungan KL-Washington juga diperkukuhkan menerusi pertemuan yang jarang diadakan antara kedua-dua pemimpin di Washington dan menyusul kemudian, panggilan telefon yang juga jarang diterima, daripada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke KL.

Obama menelefon pada 26 Jun bagi mendapatkan bantuan Malaysia untuk mengusahakan ke arah Semenanjung Korea yang bebas nuklear, memperluaskan dialog antara Washington dan Teheran serta kemungkinan untuk Malaysia menjalankan peranannya dalam proses pembinaan semula Afghanistan.

Pada awal Oktober, dalam lawatan pertamanya ke Perancis dan Eropah selaku Perdana Menteri, Najib mengadakan pertemuan dengan Presiden Nicolas Sarkozy serta Perdana Menteri Perancis Francois Fillon, dan kemudian pada 6 Okt, berucap di Persidangan Agung ke-35 Unesco, iaitu yang pertama oleh seorang pemimpin Malaysia.

Beliau menggesa kalangan antarabangsa supaya bersama-sama mengatasi tiga cabaran utama -- memastikan keamanan yang berpanjangan, adil dan saksama untuk sepanjang masa, mewujudkan reka bentuk baru kewangan global serta menguruskan perubahan iklim.

Pada Disember, Najib kembali semula ke Eropah untuk menyertai pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen di mana beliau berikrar bahawa Malaysia akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus namun ini tertakluk kepada penerimaan pemindahan teknologi dan pembiayaan yang mencukupi daripada negara maju dan ekonomi perindustrian.

Najib turut mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Republik Korea, Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Mesir, Sidang Kemuncak Asean ke-15, Sidang Kemuncak Asia Timur keempat di Thailand dan Sidang Kemuncak Komanwel di Trinidad and Tobago.

Pada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-17 di Singapura pada November, Najib meninggalkan kesan yang baik di persada antarabangsa melalui pemahaman beliau dalam isu antarabangsa serta ekonomi dan beliau digambarkan oleh banyak pihak sebagai "Bintang Apec".

Malaysia juga meneruskan sokongan terhadap perjuangan penduduk Palestin melalui persidangan khas Dewan Rakyat pada 12 Jan bagi mengutuk pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Kuala Lumpur menganjurkan Sesi ke-12 Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) pada November dan negara anggota berikrar untuk meningkatkan perdagangan dan mewujudkan piagam bagi perkumpulan berkenaan.

Rundingan damai yang diusahakan oleh Malaysia antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) diteruskan di ibu negara Malaysia dan berakhir dengan sebuah keyakinan bahawa perjanjian akan dimeterai menjelang awal April bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak beberapa tahun.

Beberapa pemimpin lain turut melawat Malaysia tahun ini, antaranya Perdana Menteri Australia Kevin Rudd, Perdana Menteri Syria Mohammed Naji Otri, Perdana Menteri New Zealand John Key, Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani dan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew.

Sumber: Bernama