Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Tokoh Pendidikan

Zainal Abidin Bin Ahmad ( ZA’BA )Pendeta Yang Bersemangat Waja.

pk11_3_2f

ZA’BA merupakan seorang tokoh cendekiawan dan patriot Melayu yang ulung dan yang amat prihatin terhadap masalah umat Melayu dalam pelbagai bidang terutama bahasa, pendidikan, agama dan ekonomi.

Dilahirkan pada 16 September 1895 dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak Melayu pertama di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 dan memperolehi keputusan yang cemerlang, malah beliau menjadi pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam Ilmu Hisab, karangan Bahasa Inggeris dan Geografi Fizikal.

Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan semasa bertugas sebagai guru pada tahun 1916 dan mengajar bahasa Melayu di beberapa buah sekolah di Johor dan Perak. Beliau telah menghasilkan beberapa majalah berbahasa Melayu seperti Utusan Melayu, Lambaga Melayu dan Pengasuh yang memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu. Selain itu, beliau turut menghasilakn dua buah karya klasiknya tentang seni karangan dan tatabahasa Melayu, iaitu Ilmu Mengarang Melayu (1927) dan Pelita Bahasa(1934).  ZA’BA merupakana seorang pemikir, pejuang dan penulis yang prolifik. Beliau menghasilkan karyanya dengan menggunkan bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau juga turut berjaya menghasilkan ratusan makalah dan tidak kurang daripada 20 judul buku, termasuk Canai Bacaan(1924) dan Umbi Kemajuan (1932). 

Selain bergiat dalam bidang penulisan, beliau juga pernah menjadi penterjemah berita dan juruhebah untuk pemerintahan Inggeris di Radio Malaya Singapura dan penterjemah bahasa Melayu di Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau juga turut memikul tugas sebagai guru bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies, University of London pada tahun 1949/50. Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari universiti tersebut ketika berusia 52 tahun dan kemudian beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat di UM Singapura.

Memandangkan sumbangannya yang luar biasa terhadap bahasa dan persuratan, pada tahun 196, beliau telah dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga suatu gelaran unik iaitu Pendeta Bahasa yang bermaksud ilmuan bahasa yang ulung. Pada tahun 1973, beliau mendapat anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat oleh UKM. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pemikir bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu, beliau merupakan pengasas Jabatan Pengajian Melayu di UM Singapura. Dari jabatan inilah kemudian tertegaknya Jabatan Pengajian Melayu, UM Kuala Lumpur yang kini berkembang menjadi Akademi Penyajian Melayu.

ZA’BA yang merupakan seorang tokoh terbilang dalam bidang persuratan telah meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.

 

aminuddinbaki2

Aminuddin Baki : Tokoh Pendidik dan Pemikir Bangsanya

Aminuddin Baki telah diiktiraf sebagai perancang pendidik yang bijaksana dan berpandangan jauh di Asia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO). Beliau telah terlibat dalam penggubakan beberapa dasar pendidikan negara untuk menghasilkan satu sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu yang keluar daripada sistem pendidikan yang diasaskan oleh penjajah yang berat sebelah.

Beliau di lahirkan di Chemor, Perak pada tahun 1926 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor sehingga darjah lima dan kemudiannya di Sekolah Anderson, Ipoh dari tahun 1936 hingga 1945. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura dan memerolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di University of London dan dianugerahkan Postgraduate Certificate of Education.

Beliau telah bergerak cergas dalam kegiatan yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar Melayu di Semenanjung seperti Persatuan Penuntut-Penuntut Melayu Victoria Institution pada tahun 1945. Kecenderungan beliau menggerakkan pelajar Melayu supaya bersatu mendapatkan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan tinggi dilanjutkan ketika beliau menuntut di Singapura. Pada tahun 1950, Aminuddin Baki telah dipilih menjadi Yang Dipertua GPMS dimana beliau telah meniup semangat orang Melayu untuk memberikan perhatian yang serius kepada pendidikan.

Beliau juga dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) setelah sekembalinya dari  melanjutkan pelajaran di London. Semasa menjadi pensyarah, beliau telah membuka fikiran penuntutnya untuk melihat peranan Islam dalam pembentukan tamadun dunia dan peri pentingnya memperoleh pengetahuan dengan banyak membaca. Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan Negara dengan penglibatannya dalam menyiapkan Penyata Razak (1955-1957) dan Laporan Rahman Talib (1960-1963). Penyata dan Laporan ini penting dalam pembinaan dasar pendidikan negara sehingga hari ini. Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi dan Pelajaran Aneka Jurusan.

Pada usia 30-an, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran (sekarang dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran) Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1965. Kesimpulannya, kejayaan pendidikan tinggi kebangsaan pada hari ini antaranya disumbangkan oleh Aminuddin Baki. Perhatian dan perjuangannya kepada pendidika tinggi orang Melayu sangat dihargai. Penglibatannya dalam perancangan menyiapkan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib dan keaggotaannya dalam pelbagai bidang jawatankuasa yang lain memberikan pengalaman yang besar dan penting dalam melaksanakan tugasnya sebagai penasihat pelajaran. Jasanya yang besar kepada perkembangan dasar pendidikan negara telah diabadikan dalam pelbagai bentuk seperti penamaan sekolah, kolej dan institusi pendidikan.

 d16

Ungku Omar Bin Ungku Ahmad : Saintis yang Berjiwa Pendidik

Ungku Omar ialah pendidik dan saintis terkenal di Malaysia. Beliau sering menyatakan bahawa kemunduran orang Melayu di kawasan luar bandar ada hubung kait dengan tahap kesihatan yang  membimbangkan. Oleh hal yang demikian, beliau telah memberikan perhatian kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk luar Bandar. Penglibatannya dalam bidang penyelidikan sains dan perubatan mendapat pengitirafan antarabangsa seperti World Health Organization (WHO) dan diterima sebagai ahli College of Pathologist, London dan ahli kehormat College of American Pathologist, Amerika Syarikat. Beliau juga ahli jawatankuasa Sains Kemasyarakatan UNESCO dan ahli Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMEC).

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada tahun 1931 dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Tangkak, Pontian dan Segamat, Johor. Beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Inggeris di Keluang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Seterusnya beliau memperolehi ijazah dalam bidang perubatan di UM Singapura pada tahun 1957. Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Setelah itu, beliau meneruskan pelajaran dalam bidang Patologi dan memperolehi diploma dalam bidang tersebut daripada Royal College of Physicians London dan Royal College of Surgeon. Seterunya beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah dari University of London pada tahun 1965 dengan tesis bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes”.

Beliau telah menjadi Pengarah Institute of Medical Research (IMR) pada tahun 1965 dan turut menghasilakn sebuah jurnal antarabangsa yang terkenal iaitu Journal of Clinical Pathology. Beliau menggunakan pelbagai medium untuk mendidik masyarakat luar bandar tentang perlunya menjaga kesihatan seperti berceramah di radio sehingga dikenali sebagai “Doktor Radio”. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan UKM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Beliau telah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perubatan di universiti khususnya di UKM. Selain itu, beliau turut menekankan penggunaan bahasa Melayu di falkuti sastera dan agama, sains, kedoktoran, kejuruteraan, pertanian dan ekonomi kerana ramai pelajar Melayu daripada sekolah kebangsaan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga mengemukakan konsep universiti Islam di Malaysia dalam satu kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Peradaban Islam se-Malaysia. Beliau mencadangkan bahasa Melayu , Arab dan Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti Islam yang dicadangkan. Selain mengajar bahasa Arab dan pengajian Islam, Universiti Islam Malaysia mengajarkan disiplin lain seperti perdagangan, kejuruteraan dan teknologi, undang-undang dan perubatan.

Jasanya yang besar dalam bidang pendidikan telah diabadikan bukan sahaja dengan anugerah bintang kebesaran tetapi juga namanya diabadikan di IPT seperti Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak yang merupakan politeknik yang tertua di Malaysia.

 

ungku_aziz

Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Hamid : Pentadbir dan Pemikir Pendidikan Tinggi

Profesor Diraja Ungku Aziz ialah seorang tokoh akademik dan ekonomi yang sangat sukar disaingi apatah lagi ditandingi di negara ini. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik memegang jawatan penting di UM iaitu Ketua Jabatan Ekonomi dan apabila jabatan itu dinaiktarafkan menjadi fakulti, beliau ialah orang pertama yang menjadi dekannya; professor Ekonomi dan naib canselor.

Ungku Aziz yang berdarah diraja dilahirkan pada 28 Januari 1922 di London, England. Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru kemudian meneruskan pengajian di Raffles College (1940-1941) dan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Sejarah dan bahasa Inggeris. Beliau meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi  di Waseda University, Tokyo dengan mendapat Ijazah Doktor Ekonomi pada tahun 1964.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah ekonomi di UM Singapura, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, pensyarah kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, UM Kuala Lumpur, Dekan Fakulti Satera UM, diikuti dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM. Seterusnya beliau dilantik sebagai naib canselor selama dua dekad bermula 1 Oktober 1968 hingga 22 Februari 1988,. Beliau dianugerahkan Profesor Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 17 Jun 1978.

Sumbangan beliau yang pertama ialah penubuhan Akademi Islam. Berdasarkan kertas kerja yang dibuat Profesor Diraja Ungku Aziz, senat universiti dalam mesyuaratnya pada 29 Julai 1976 telah menubuhkan Lembaga Pengajian tentang Nilam Puri dengan Ungku Aziz sebagai pengerusinya. Tujuannya untuk menimbang penerapan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ke dalam UM. Hasil cadangan itu tertubuhnlah Akademi Islam UM. Kedua, penubuhan Institut Pengajian Tinggi pada tahun 1979 dengan menekankan kepada projek HAWA, Projek Pengajian Tinggi dan Pekerjaan. Dan pengajaran Kursus Sarjana Falsafah : Falsafah Penyedlidikan. Seterusnya penubuhan Pusat Asasi Sains pada tahun 1977 atas kesedaran beliau akan kekurangan pelajar peribumi dalam fakulti sains di UM. Keempat pula ialah penubuhan Pusat Bahasa UM pada 3 Mac 1972 sebagai sebuah organisasi perkhidmatan bahasa dan bertanggunjawab dalam menjalankan kursus bahasa yang sesuai dengan kehendak fakulti dan pusat-pusat lain di UM.

Ungku Aziz telah diberikan ijazah kehormat oleh beberapa universiti, antaranya Doctor of Humane Letters, University of Pittsburgh (1971); Doctor of Education, Chulalongkorn University, Bangkok (1977); Doctors of Laws, Waseda University, Tokyo(1982); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UKM (1986); Doctor of Laws, University of Buckingham (1987); professor Emeritus, UM (1988); Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi, UM. Beliau turut mendapat pengiktirafan oleh kerajaan seperti Ordre des Arts et Des Lettres oleh Kerajaan Perancis (1965); Anugerah Yayasan Tun Abdul Razak (1978); Japan Foundation Award (1981); Soka Education Award (1987); International Academic Prize of the 4 Fukuoka Asian Cultural Prizes (1993); Anugerah Melayu Terbilang oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (2005) dan Anugerah Tuanku Syed Putra (2007).

 

Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007) -Penerbit USM, 2007