Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Keracunan Makanan

Keracunan Makanan Boleh Dielak

Resmi kita, apabila memilih tempat-tempat makan mahupun restoran - tinjau dahulu dari jauh, ramai atau tidak pengunjungnya. Kalau ramai, maknanya sedaplah makanan yang disediakan. Sebaliknya, jika lengang sahaja, `mesti tak sedaplah tu', begitu kesimpulan mudah yang dibuat.

Setelah berpuas hati dengan hasil tinjauan dan dalam pada kaki mengatur langkah menghampiri premis berkenaan untuk menjamu selera, tiba-tiba mata kita tersorot insiden ini.

``Arggkkkhhh... ptuih!'' Dengan tidak semena-mena pengendali makanan tidak kira sama ada tukang masak, pelayan, juruwang mahupun pemilik premis meludahkan air liur atau kahaknya sesuka hati.

Seorang pekerja yang lain pula mengorek hidung dan telinganya sambil menggaru-garu kepala atau bahagian-bahagian lain anggota badannya. Salah seorang daripada mereka juga, kukunya kalau secara kiasannya, nah! Panjang sedepa.

 

hati-3

Tidak kurang juga yang mengamalkan kelakuan buruk seperti merokok, bersin dan berbual-bual semasa sedang menyediakan makanan. Sesekali ada kelibat seekor kucing yang keluar dari longkang tetapi rupa-rupanya tikus mondok bersaiz gergasi, menumpang lalu di situ. Jika demikianlah senarionya, anda mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mendapat keracunan makanan.

 

 

Bahaya Toksin

Tanggal 16 Januari 2005, seramai 126 pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Semambu, Kuantan, Pahang terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan kerana dipercayai mengalami keracunan makanan. Mereka mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati nasi lemak, nasi ayam dan kari ayam yang memang agak berlainan rasanya, tidak seperti kebiasaannya, berdasarkan maklumat awal mangsa.

Enam daripada mereka yang sedang menjalani program induksi itu terpaksa ditahan di wad pemerhatian khas untuk rawatan lanjut. Menurut Dr. Abd. Rahim, pencemaran makanan utama terbahagi kepada tiga jenis iaitu, Biologi; bakteria, virus, fungus, kulat dan yis; Fizikal; benda atau bahan asing seperti rambut, cebisan kaca, paku dan lain-lain; Kimia; racun serangga, racun rumpai, bahan pencuci kimia, aditif makanan seperti pengawet yang berlebihan.

Beliau berkata, makan makanan atau meminum minuman yang mengandungi toksin atau racun semula jadi seperti sesetengah jenis kulat, cendawan, makanan laut dan sebagainya merupakan antara beberapa punca utama berlakunya keracunan makanan.

"Gejala yang dialami adalah berbeza bagi setiap orang. Ia bergantung kepada jenis racun atau bakteria, jumlah racun atau bakteria yang termakan, umur dan daya ketahanan tubuh seseorang,'' kata Dr. Abd. Rahim.

Tambahnya, tanda-tanda dan gejala biasanya mulai timbul beberapa jam selepas memakan makanan yang tercemar atau beberapa hari kemudian. Ditanya mengapakah kes-kes keracunan makanan berlaku, beliau berkata, rata-ratanya ia disebabkan oleh sikap pengendali makanan yang tidak mengamalkan kebersihan diri baik ketika menyedia, menghidang mahupun menjual makanan.

``Mereka tidak mengendahkan kebersihan persekitaran luar dan dalam premis makanan selain membiarkan sahaja makanan terdedah kepada serangga atau haiwan lain dan pencemaran fizikal. Menggalakkan amalan pelanggan mengambil sendiri makanan tanpa kawalan atau konsep layan diri juga boleh meningkatkan risiko keracunan makanan,'' kata Dr. Abd. Rahim.

Katanya, keracunan makanan dapat dielakkan jika pengguna tidak melanggani atau dalam kata lain, ``pakat-pakat memboikot premis makanan yang kotor''.

Orang ramai juga disarankan agar tidak memakan makanan dalam tin kemik atau berkarat, paket bocor, menggelembung, rosak dalam apa jua bentuk serta tamat tempoh penggunaannya.

Cara paling berkesan untuk mencegah keracunan makanan yang boleh dikatakan dilaporkan terjadi dari semasa ke semasa, adalah dengan melindunginya daripada tercemar.

keracunanpttecindo1fyusuf

Keracunan makanan menyebabkan ketidakselesaan perut

Langkah-langkah Mengawasi Punca Pencemaran:

Manusia

  • Membasuh tangan dengan bersih terutamanya selepas ke tandas, memegang bahan mentah, membuang sampah sarap atau sisa-sisa makanan
  • Memastikan peralatan yang rosak, sumbing atau retak tidak digunakan lagi
  • Sentiasa menudung makanan yang dihidang
  • Tidak menyediakan makanan terlalu awal
  • Belajar tidak menjamah atau mengambil makanan dengan tangan yang kotor.
  • Bahan mentah
  • Bahan-bahan mentah terutama daging atau hasilnya harus disimpan pada suhu rendah (kurang 40 Celcius)
  • Bahan mentah harus disimpan berasingan daripada makanan yang sudah dimasak dan sedia untuk dimakan.
  • Ini dapat mengelakkan pencemaran silang dari bahan mentah ke makanan yang sedia dimakan.
  • Gunakan peralatan seperti pisau dan papan memotong berasingan bagi mengelakkan pencemaran silang
  • Cuci bahan mentah dengan teliti untuk mengeluarkan kekotoran dan bendasing pada permukaannya
  • Basuh tangan secara teliti setelah memegang bahan mentah seperti daging mentah sebelum mengendalikan makanan yang sedia dimakan seperti kuih-muih dan salad.

Serangga dan Haiwan

  • Makhluk perosak seperti lalat, lipas, tikus, burung dan binatang peliharaan adalah pembawa habuk, kekotoran dan bakteria
  • Kawalan serangga dan haiwan ini akan membantu mengurangkan pencemaran makanan secara berkesan.

Bekalan air

  • Jika air yang digunakan tidak diperoleh secara langsung dari sumber utama, contohnya dari tangki yang terdedah atau menggunakan sambungan paip getah, pencemaran boleh berlaku melalui kebocoran ini.

Sisa dan bahan buangan

  • Bahan buangan mengandungi makanan yang sedang mereput, sisa kulit kupasan dan bahan organik yang menjadi sumber bakteria hidup dan membiak dengan mudah
  • Bekas sisa dan sampah sarap yang terdedah atau melimpah akan menarik haiwan dan serangga perosak seperti tikus, burung, lalat dan lipas.