Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Arowana - Ikan Hiasan Berharga

IKAN Arowana atau Scleropages formousus ialah sejenis ikan hiasan yang sangat popular dan agak tinggi harganya. Disebabkan aktiviti penangkapan yang berleluasa sejak 70-an sehingga kini, jumlah populasinya di habitat asal semakin berkurangan dan pupus. Oleh kerana itu spesies ikan ini telah dilindungi sebagai spesies kawalan untuk diimport dan dieksport di bawah Convention on the International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) .

arowana01  baby20arowanaarowana03

Di Malaysia, aktiviti penternakan ikan Arowana juga turut dijalankan secara komersial untuk tujuan eksport ke pasaran antarabangsa dan antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Perikanan. Secara semula jadi, ikan ini membiak sekali dalam setahun iaitu pada Jun hingga Ogos di habitat asalnya.

Arowana matang boleh membiak apabila mencapai umur empat setengah atau lima tahun dengan berat di antara satu hingga dua kilogram. Semasa proses mengawan, induk jantan dan betina akan berpasangan dan berenang beriringan selama beberapa minggu namun proses mengawan hanya akan berlaku apabila keadaan sesuai.


Induk jantan akan melengkungkan badannya dan menghimpit badan induk betina dan pada peringkat ini, telur dari induk betina akan keluar dan akan disenyawakan oleh induk jantan. Telur akan di eram oleh ikan jantan selama dua bulan sehingga anak yang dihasilkan boleh berenang bebas dan bersaiz kira-kira 6-7 sentimeter.


Ikan Arowana boleh membiak di dalam kurungan secara semula jadi tanpa memerlukan suntikan hormon aruhan pembiakan. Musim pembiakan di dalam kurungan tidak begitu ketara kerana kurang dipengaruhi oleh persekitaran semula jadi. Namun, aspek pemakanan perlu diberikan perhatian sebaik saja anak ikan mulai berenang bersendirian walaupun masih terdapat sedikit yolk di bahagian bawah perutnya.


Kelewatan memberi makanan akan menyebabkan anak ikan mencederakan sesama sendiri. Asuhan anak ikan diperlukan selama dua hingga tiga bulan sehingga anak ikan mencapai saiz 15-20 sentimeter dan sesuai dipasarkan. Bagaimanapun, eraman telur oleh induk jantan secara kaedah pembiakan semula jadi di dalam kolam akan mengurangkan kadar hidup anak Arowana.

arowana04  arowana05 arowana06

Justeru, kaedah terbaik bagi menjamin peratusan hidup anak ikan yang tinggi ialah menerusi kaedah in vitro. Pengeraman In-Vitro Menerusi kaedah ini, telur ikan yang sedang dieram oleh induk jantan dan masih mempunyai yolk sac dikeluarkan secara manual dan diasuh di dalam akuarium berukuran 90 x 45 x 45 sentimeter.


Pengudaraan diberikan secukupnya dengan suhu ditetapkan pada tahap di antara 27 hingga 28 darjah Celcius dengan memasang pemanas elektrik. Kedalaman air adalah kira-kira 20 sentimeter dan melalui kaedah ini kadar peratusan hidup anak ikan adalah tinggi berbanding kaedah eraman semula jadi. Arowana sesuai membiak dalam iklim khatulistiwa dengan suhu di antara 26 hingga 33 darjah Celsius.


Bagi pembiakan dalam kolam, jenis tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat 55 peratus hingga 60 peratus adalah amat sesuai. Bekalan air diperlukan sepanjang tahun dari sumber semula jadi sama ada air bukit, sungai, empangan dan tasik. Kualiti air yang diperlukan adalah seperti berikut: Suhu air: 29 hingga 31 darjah CelciuspH: 6.5-8.5Oksigen terlarut: 5ppmAlkaliniti: 60-100 ppmCaCO3Jumlah keliatan: 100ppmBacaan piring Secchi: 30 sentimeter Ammonia: 1ppm. Aspek lain yang turut diberi perhatian dalam aktiviti penternakan ialah pembinaan dan penyediaan kolam. Antaranya:


Pemilihan Tapak
Tapak yang sesuai ialah kawasan yang tidak mengalami banjir, jauh dari kawasan industri dan punca pencemaran, tiada persaingan aktiviti pertanian dan perindustrian serta mempunyai prasarana yang lengkap.Pembinaan kolamBentuk kolam yang sesuai ialah segi empat dengan nisbah kecerunan ban 2:1.


Bagi memudahkan pengurusan, keluasan kolam yang sesuai ialah di antara 0.2-0.4 hektar dengan kedalaman air 0.75-1.2 meter. Dasar kolam hendaklah rata dan cerun ke arah saluran air keluar. Pembinaan kolam takungan di antara 20 hingga 30 peratus dari jumlah keseluruhan kolam adalah digalakkan bagi menjamin punca bekalan air yang mencukupi dan proses rawatan air dilakukan jika perlu.


Pengapuran
Kolam yang dibina hendaklah dipastikan menepati parameter kualiti tanah dan air serta sesuai bagi aktiviti ternakan. Pengapuran diperlukan jika keadaan tanah berasid dan jenis-jenis kapur yang sesuai ialah kapur pertanian, kapur abu sejuk, kapur abu panas dan dolomite.


Pembajaan
Baja organan dan bukan organan sesuai digunakan dan kepekatan nitrogen dan fosforus yang sesuai ialah masing-masing 0.95ppm dan 0.15ppm. Terdapat beberapa kaedah ternakan ikan Arowana yang dicadangkan antaranya ialah ternakan kolam tanah.Berikut adalah keperluan asas dalam melaksanakan sistem ternakan berkenaan.


Ternakan Induk
Untuk tujuan pembiakan, induk Arowana jantan dan betina diternak dalam kolam yang telah disediakan terlebih dahulu dengan aspek sumber air semula jadi di beri perhatian yang utama. Arowana jarang dijangkiti penyakit namun, pemerhatian perlu sentiasa dilakukan supaya induk Arowana sentiasa sihat.


Taburan
 Sebanyak 20 ekor induk berumur empat tahun dipelihara di dalam dua buah kolam ternakan tanah bersaiz 0.2 hektar dengan nisbah jantina 1:1. Pemakanan Bagi  induk ikan, makanan perlu diberi dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang dengan jenis makanan rumusan terapung yang mengandungi protein sebanyak 35 peratus atau makanan jenis hidup seperti cengkerik, anak ikan dan udang gantung.


Anak ikan yang telah berenang bebas dalam akuarium pula perlu diberi makan anak-anak ikan jenis lain seperti Gambusia affinis yang bersaiz 1-2 cm. Pemerhatian berkala ke atas ikan Arowana dewasa atau induk hendaklah dilaksanakan dengan menumpukan kepada ciri-ciri proses Arowana mengawan dan dilakukan secara kaedah menangkap menggunakan pukat. Telur yang sedang dieram oleh Arowana jantan hendaklah dikeluarkan untuk eraman selanjutnya menggunakan kaedah in-vitro yang dijalankan dalam tangki akuarium.


Pungutan Hasil
Bagi ternakan secara semula jadi, anak ikan perlu ditangkap apabila mula dilihat berenang bebas dan disimpan di dalam tangki auarium dengan saiz bersesuaian. Bagi kaedah in-vitro pula, anak ikan yang berenang bebas tanpa yolk sac perlu diasingkan bagi mengelakkan ia di makan oleh ikan lain dan diberi makanan hidup sehingga mencapai saiz 5-7 cm sebelum dipasarkan.


Pasaran
Harga ikan meningkat berdasarkan saiz namun bagi pasaran tempatan, harga ikan berbeza mengikut lokasi dan secara puratanya bagi ikan yang berkualiti di antara RM250 hingga RM900 pada saiz 6-9 inci.Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu mestilah berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga Permit CITES.


Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan ke atas projek ini agak besar yang mana kos bagi memulakan ternakan Arowana di atas tanah seluas 0.25 hektar dianggarkan sebanyak RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum. Pulangan atau hasil pula hanya akan diperoleh pada


Nilai pasaran ikan Arowana juga dipengaruhi oleh cita rasa peminat ikan tersebut namun ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi pasaran antarabangsa.Secara umumnya ketika ini tidak ramai yang mampu menceburi bidang pengeluaran benih ikan ini kerana modal permulaan dan operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang agak lama untuk membiak iaitu kebiasaannya pada umur lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.

sumber : http://kebunwarisan.blogspot.com/2008/03/panduan-pembenihan-ikan-arowana.html

Keuntungan Lumayan Ternak Arowana
EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga. Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.


Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah. Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.


Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut. Katanya lagi  kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,  sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.


Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian. Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain. Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.


Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya. Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan.


Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan. Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.
Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.


Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat. Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur. Ketika ini beliau  menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta.


Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.


Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,
Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.


Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular. Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi Jabatan Perikanan menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan.


Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun. Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.


Info

Taksonomi Arowana

Kelas: Pisces

Order Clupeiformes

Suborder Osteoglossoidei

Famili Osteoglossidae

Genus : Scleropages sp.

Spesies: Scleropages formosus


Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.


Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah:


• Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.
• Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.
• Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil

Jenis Arowana
Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.
•  Arowana Emas
Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.
Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.
Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.
• Arowana Merah
Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.
• Arowana Hijau
Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita..


PPPAT Glami Lemi Fokus Kajian Arowana


BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat. Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan. Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.


Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan. Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.


Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.
Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.


PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.
Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;


• Menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar
• Mengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.
• Memelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi

Objekitif PPPAT
• Mewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar
• Mewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran
• Menjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar
• Meningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.
• Meningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara
• Pemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik
Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.

Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.
Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.


PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.


Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.


Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.
Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport. Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.