Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Menghadkan 10 Subjek Dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2010 : Impak Dan Pendapat Yang Berbeza.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang  juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan telah memutuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2010 tidak lagi boleh mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran telah mendapat pelbagai reaksi.

Perbincangan mengenainya telah dibuat di peringkat Kementerian Pelajaran dan keputusan itu juga sekali gus membawa perubahan dalam sistem penggredan mata pelajaran. Calon perlu memastikan mereka membuat pilihan subjek elektif secara tepat bersesuaian dengan minat dan cadangan kerjaya yang ingin diceburi kerana cara ini dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang dirancang,  sekiranya lulus cemerlang semua subjek terbabit.


Pada asasnya Kementerian telah menetapkan enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Agama Islam atau Moral. Namun demikian pelajar yang berada dalam tiga aliran iaitu agama sains, agama dan sains hanya perlu mengambil empat ke lima mata pelajaran teras. Pelajar agama sains hanya perlu mengambil empat mata pelajaran teras kerana mereka tidak perlu mengambil Sains dan Pendidikan Agama Islam.


Berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 yang mendudukinya seluruh negara. Hanya 10 peratus yang mengambil lebih 10 subjek.  Perubahan ini akan menunjukkan 90 peratus pelajar yang kekal dalam 10 subjek atau kurang akan memperlihatkan angka yang sama tahun ini.


Perkembangan ini sudah tentu memberikan impak positif dalam kaedah pengajaran guru di sekolah kerana mereka boleh menumpukan khusus kepada 10 subjek berkenaan. Di samping itu juga ia boleh mengurangkan kos kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam subjek pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah,

Kekemasan pelaksanaan peperiksaan 10 subjek dalam SPM ini sedang diperincikan oleh pegawai di Kementerian berkenaan. Sekumpulan ahli akademik dan profesional telah memulakan kajian terhadap cadangan kerajaan untuk menghadkan jumlah subjek yang boleh diambil pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Antara aspek yang dikaji ialah perbandingan tahap kecemerlangan pelajar termasuk mengkaji apakah pelajar yang memperoleh 21A itu cemerlang, tetapi mereka yang skor A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil tidak cemerlang. Dalam kajian yang dibuat itu juga, kementerian tersebut ingin mendapatkan kepastian tujuan sebenar pelajar berkenaan mengambil lebih daripada 10 subjek dan rasionalnya mengambil subjek bertindih dan skor A.

pelajar

Pelajar diwajib mengambil subjek teras.

Kerajaan memutuskan semua pelajar kecuali aliran Sains Agama hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun depan.


TUJUAN PELAKSANAAN DASAR
• Pelajar diwajib mengambil subjek teras tetapi dalam masa yang sama mereka boleh mengambil subjek-subjek elektif tetapi tidak boleh lebih 10.


• Kementerian mahu pelajar yang dilahirkan serba boleh iaitu bukan setakat bijak dalam akademik tetapi mampu menguasai kemahiran lain terutama berkaitan aktiviti kemasyarakatan.


• Sekiranya pelajar mengambil empat subjek teras bermakna ada enam lagi subjek (untuk elektif), jadi dia boleh memilih subjek bahasa Tamil, Mandarin atau agama.


• Pelajar aliran agama pula hanya perlu mengambil lima mata pelajaran teras dan begitu juga pelajar aliran sains kerana mereka tidak perlu mengambil Pendidikan Agama Islam dan Sains. Ini bertujuan untuk mengelakkan wujudnya pertindihan.


• Langkah tersebut juga akan memudahkan pihak Kementerian memastikan subjek-subjek teras diberi tumpuan sepenuhnya oleh pelajar.


• Pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk penentuan calon yang layak dibuat secara telus dapat dipilih dengan cara terbaik bergantung kepada keputusan pelajaran yang  diambil.


• Pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut.


• Peraturan baru kementerian mendorong calon SPM dan ibu bapa peka  dengan syarat kemasukan ke universiti serta tidak melakukan ‘kesilapan’ itu kerana kecemerlangan subjek teras dan mata pelajaran dengan nilai tambah, dapat menjamin bidang pilihan masing-masing.


• Usaha mengehadkan pengambilan kepada 10 mata pelajaran mampu membangunkan potensi murid secara lebih intensif dan komprehensif. Ini kerana guru dan murid mempunyai lebih banyak masa untuk mengseimbangkan antara kegiatan akademik dan aktiviti kokurikulum.


• Enam mata pelajaran itu seperti tercatat dalam Akta Pendidikan 1996 bukan saja wajib dipelajari, malah dijadikan subjek teras peperiksaan SPM kerana ia asas pembinaan modal insan dan jati diri rakyat Malaysia.


• Langkah ini adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan tekanan peperiksaan. Ia sekali gus menolak pandangan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.


• Cara ini membolehkan pembangunan potensi pelajar dalam jurusan yang dipilih dibangunkan secara lebih intensif dan komprehensif.
• Pengurangan bilangan subjek teras membolehkan calon mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut selain melegakan kebimbangan sesetengah pihak terhadap keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pelajar mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran dalam SPM.


ALIRAN SAINS
Bagi calon aliran sains, subjek teras dikurangkan kepada lima dengan Sains dikecualikan kerana mereka boleh mengambil mata pelajaran elektif sains tulen seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik.


ALIRAN AGAMA
Subjek teras untuk calon aliran agama juga dikurangkan kepada lima dengan Pendidikan Islam dikecualikan yang secara langsung mengelakkan pertindihan dengan mata pelajaran elektif dalam aliran pendidikan itu.

Antaranya adalah Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah. Calon aliran agama sains pula hanya mempunyai empat subjek teras dengan mata pelajaran Sains dan Pendikdikan Islam di kecualikan.

Pelajar dan guru juga mempunyai masa mencukupi untuk aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani, rohani dan emosi pelajar serta seimbang.

ALIRAN AGAMA SAINS
Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya boleh mengambil 10 mata pelajaran mulai tahun depan, namun pengecualian diberikan kepada mereka daripada aliran agama sains.


Kerajaan membuat keputusan itu selepas mempersetujui rayuan pentadbir sekolah menengah agama yang tidak dapat melaksanakan perubahan serta-merta dan memohon agar calon aliran agama sains dibenarkan mengambil maksimum 11 subjek yang menjadi amalan selama ini.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan keputusan itu, pelajar aliran agama sains dibenarkan mengambil 11 mata pelajaran, tetapi hanya untuk tahun 2010 sahaja.


Kelonggaran itu terpaksa diberikan kepada pelajar aliran tersebut kerana pengambilan 11 mata pelajaran di dalam SPM telah menjadi amalan sejak sekian lama.


Subjek ‘teras’ yang menjadi citra mereka selama ini, iaitu Bahasa Arab Tinggi, Al-Quran dan Sunnah,serta Syariah Islamiah.


Satu daripada tiga subjek ini terpaksa digugurkan jika Kementerian Pelajaran kekal dengan keputusan mereka atau mungkin boleh diselesaikan dengan menggabungkan Al-Quran dan Sunnah serta Syariah Islamiah sebagai satu subjek atau ditukar terus kepada Pengetahuan Agama Islam.

Lazimnya pelajar sains-agama akan mengambil subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah, Fizik, Kimia, Biologi dan diiringi tiga subjek berkenaan; sebelum dibenarkan mengambil Tasawur Islam, English for Science & Technology (EST), Geografi serta Bahasa Arab Komunikasi.


Sesetengah sekolah agama membenarkan pelajar sains-agama menggugurkan subjek Biologi, tetapi dimestikan mengambil Prinsip Akaun dan turut dibenarkan mengambil mata pelajar Sains meskipun sekiranya mereka sudah memilih Kimia, BiologisertaFizik.

Sesetengah pelajar Melayu mengambil Tasawur Islam sedangkan Pengetahuan Agama Islam sudah menjadi subjek teras semata-mata bagi mendapatkan tambahan A, sedangkan pelajar bangsa lain mengambil mata pelajaran elektif dengan nilai tambah seperti Bahasa Mandarin dan Muzik.

CADANGAN DAN PANDANGAN ORANG RAMAI
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sedia mendengar apa jua cadangan serta pandangan daripada pihak luar antaranya parti-parti politik berhubung keputusan kerajaan itu. Tan Sri Muhyiddin berkata pihaknya sedia maklum keputusan berkenaan menimbulkan rasa bimbang di kalangan sesetengah pihak termasuk dibantah oleh MIC baru-baru ini.


• Sesetengah pihak pula bimbang pelajar pintar tidak diberi pilihan untuk mempamerkan kepintaran mereka. Biasanya pelajar yang mengambil subjek lebih atas inisiatif sendiri dan tidak menyusahkan guru. Mereka pergi tuisyen diluar atau sekadar membaca buku. Apa yang perlu dibuat ialah supaya jadual peperiksaan tidak bertindih.


• Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan beberapa pihak seperti MIC yang mendakwa pelajar tidak boleh lagi menduduki kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil secara serentak serta perlu memilih salah satu mata pelajaran sahaja


• Sesetengah calon SPM khususnya pelajar Melayu sengaja mengambil sebanyak mungkin subjek elektif, tanpa nilai tambah bagi memastikan mereka tetap mendapat 10A meskipun gagal matapelajaran teras.


• Keputusan menghadkan bilangan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek disifatkan sebagai cadangan baik yang dapat mengurangkan beban pelajar selain memantapkan lagi kecemerlangan dalam bidang  yang diambil.


• Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata antaranya membolehkan pelajar menikmati zaman remaja mereka dan tidak tumpukan kepada akademik semata-mata.


• Sekiranya jumlah mata pelajaran terlalu banyak, pelajar bukan saja perlu menghabiskan lebih masa untuk belajar, sebaliknya ada yang mungkin terpaksa mendapatkan tuisyen bagi subjek tertentu.


• Selain tekanan fizikal dan emosi pelajar, ibu bapa juga mungkin menghadapi beban kewangan, terutama jika mempunyai ramai anak  masih bersekolah.


• Pengerusi Pergerakan Akademik Malaysia, Dr Wan Abdul Manan Wan Muda, berkata had 10 mata pelajaran bagi SPM sudah memadai.


• SPM menjadi pengukur keupayaan pelajar untuk memasuki peringkat akademik lebih tinggi dan 10 mata pelajaran sudah cukup untuk penilaian.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula mencadangkan kerajaan membenarkan pelajar India mengambil sehingga 11 mata pelajaran bagi memberi peluang kepada mereka mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil atau Kesusateraan Tamil.


• Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Prof Datuk Dr T Marimuthu, berkata pelajar yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya mampu mengagihkan masa yang terhad untuk setiap subjek dan tahap kefahamannya juga tidak mendalam.


• Keputusan mengehadkan pengambilan mata pelajaran harus memberi penekanan kepada subjek teras yang menjadi asas pendidikan lanjutan dan bidang kerjaya yang mendapat permintaan tinggi dalam ekonomi semasa.


• Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berpendapat kebebasan pelajar untuk memilih jumlah mata pelajaran tidak wajar dikekang kerana ia mencabuli hak seseorang mendapatkan ilmu atau meningkatkan kemahiran.


• Pendapat yang dibuka kepada umum mengenai isu itu akan berlarutan kerana walaupun berapa bilangan mata pelajaran yang dicadangkan tentu ada pro dan kontra. Akibatnya, ia menjadi perbincangan yang tidak berkesudahan. Jadi eloklah keputusan segera dibuat supaya kita tidak membuang masa kerana banyak lagi isu pendidikan yang lebih penting perlu diberi perhatian.


• Keputusan itu meyakinkan masyarakat kerana sudah pasti kerajaan mempunyai alasan kukuh. Ia akan memudahkan sekolah dan ibu bapa membuat perancangan yang lebih berkesan dalam menentukan aliran dan mata pelajaran yang akan diambil oleh pelajar.


• Sejak sistem peperiksaan terbuka diperkenalkan, di samping memenuhi syarat pengambilan mata pelajaran teras, calon SPM boleh mendaftar seberapa banyak mata pelajaran elektif dalam peperiksaan. Akibatnya, ada calon mengambil 15 hingga 20 subjek.


• Pelajar yang mendaftar mata pelajaran yang tidak ditawarkan di sekolah, belajar sendiri di waktu persekolahan..Ini menyebabkan pelajar berkenaan tidak menerima pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna.


• Kerajaan perlu memastikan empat subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditentukan kelak mengutamakan pembentukan jati diri dan rasa tanggungjawab pelajar kepada negara.


• Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, cadangan kerajaan itu perlu dilihat selari dengan konsep teras asas untuk melahirkan masyarakat yang cintakan negara.  Pemilihan empat mata pelajaran teras tersebut juga bakal membuka lebih banyak peluang kepada pelajar itu sendiri untuk memilih subjek elektif kegemaran mereka.


• Empat mata pelajaran itu perlu benar-benar 'kuat' dan menjamin semangat jati diri pelajar terhadap rasa patriotisme kepada negara.


•Felo Penyelidik Utama Institut Alam Tamadun Melayu, Prof. Dr. Nik Anuar Nik Mahmud menjelaskan, cadangan kerajaan itu disifatkan sebagai satu usaha melahirkan produk lulusan SPM yang lebih berkualiti. pelajar sendiri akan memberi penumpuan kepada 10 mata pelajaran yang enam daripadanya dipilih sendiri oleh mereka.


• Negara bakal mempunyai lulusan SPM yang mempunyai kepakaran di dalam subjek tersendiri. Pelajar terbabit akan lebih mengutamakan pelajaran kerana belajar subjek yang mereka minat.


• Jika sebelum ini negara boleh berbangga dengan pencapaian anak Malaysia memperolehi 19A atau 20A, selepas ini tidak lagi. Negara mampu mengasah potensi modal insan dalam bidang-bidang khusus yang terbaik, baik bagi diri pelajar, sekaligus memajukan negara.


• Peranan sistem pendidikan ialah untuk mengenal pasti dan mengasah potensi insan agar setiap orang melakukan perkara yang terbaik bagi mereka. Matlamatnya ialah untuk mewujudkan kemajuan, keseimbangan dan ketertiban dalam negara.


• Dengan menetapkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan SPM, sistem pendidikan kita sebenarnya berada pada landasan yang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


• Para pelajar tidak akan dibebankan dengan sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga mengabaikan aspek perkembangan potensi jasmani, emosi dan rohani mereka.

KESIMPULAN
Keputusan dalam menghadkan pengambilan 10 mata pelajaran dalam peperiksaaan Sijil pelajaran Malaysia telah mendapat pelbagai reaksi berbeza. Keseluruhannya masyarakat bersetuju dengan pelaksanaan ini yang mempunyai impak yang baik kepada pelajar dan guru-guru. Kita sering mendengar keluhan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk beriadah dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran hidup dan sosial mereka kerana terpaksa menghadiri tuisyen demi tuisyen atau melakukan kerja rumah yang bertimbun.


Terdapat pellajar yang terganggu emosi mereka kerana bebanan akademik yang melampau dan harapan ibu bapa yang menggunung terhadap mereka. Seharusnya pelajar memberi tumpuan juga kepada perkembangan potensi dalam aspek kemahiran hidup, sahsiah dan sosial mereka melalui kegiatan ko-kurikulum, kerohanian dan sukan. Transformasi pendidikan yang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan insan kamil.


Di negara-negara yang lebih maju, seperti di Singapura, para pelajar biasanya mengambil tujuh atau lapan mata pelajaran dalam peperiksaan GCE "O" Level, yang setara dengan peperiksaan SPM. 10 mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran adalah lebih daripada mencukupi.


Adalah lebih baik sistem pendidikan kita mengasah potensi ilmiah pelajar secara mendalam dalam bidang-bidang yang tertentu daripada membiarkan mereka membuat pilihan secara rawak.