Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Rancangan Malaysia Kesembilan

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006-2010)

rmk---9-2isiap

Bidang bioteknologi dan ICT akan dipertingkatkan demi menjamin negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang

Rancangan Malaysia Kesembilan telah dibentangkan pada 30 Mac 2006 yang lalu dengan objektif utamanya ialah “Mengukuhkan Perpaduan Nasional” bertemakan “Bersama Ke Arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. RMK-9 juga dilaksanakan dengan hasrat untuk membina kemakmuran, merupakan antara rancangan pembangunan negara yang penting dalam sejarah negara, memandangkan negara kini berada pada titik pertengahan dalam perjalanan ke arah tahun 2020.

 Strategi utama yang dilaksanakan dalam RMK-9 ialah memantapkan bidang perkhidmatan, pembuatan dan pertanian baru. Selain itu, perjalanan RMK-9 perlu melalui kelima-lima teras yang telah digarap dalam Rancangan ini. Tumpuan juga turut diberi dalam aspek pembangunan modal insan yang mana ia merupakan usaha berterusan yang mampu mencorak ke arah kegemilangan negara. Dengan modal insan yang baik dan berkualiti ia mampu mencapai matlamat RMK-9.

 Daripada jumlah keseluruhan peruntukan, sejumlah RM 200 bilion telah diagih-agihkan mengikut sektor. 44.9 peratus akan diagih kepada projek pembangunan di bawah sektor ekonomi, 37.5 peratus sosial, 10.6 peratus sektor keselamatan dan 6.9 peratus sektor pentadbiran am. Dari segi sub-sektor pendidikan dan latihan akan diperuntukkan peratusan terbesar iaitu 20.6 peratus, selaras dengan keazaman kerajaan untuk meningkatkan kualiti modal insan. Sub-sektor pengangkutan akan diperuntukkan sebanyak 15.9 peratus, kemudahan awam dan tenaga, 10.9 peratus; perdagangan dan perindustrian 9.9 peratus; pertanian 5.7 peratus; kesihatan 5.4 peratus dan perumahan 5.0 peratus.

 Lima Teras RMK-9

 Sebagai panduan bagi perjalanan seterusnya, kerajaan telah menggubal dan akan melaksanakan Misi Nasional- satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh lima belas tahun akan datang. Misi Nasional akan menumpukan usaha negara kepada bidang-bidang utama yang akan membawa kepada pencapaian Wawasan 2020. Misi Nasional yang dirangka merangkumi lima teras utama.

rmk---9-2siap

 Strategi utama yang dilaksanakan dalam RMK-9 ialah memantapkan bidang perkhidmatan, pembuatan dan pertanian baru

 MISI NASIONAL YANG DIRANGKA MERANGKUMI LIMA TERAS UTAMA:

 Teras Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi.

 Melalui teras ini, Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan nilai tambah sektor ekonomi sedia ada, serta mewujudkan aktiviti berasaskan pengetahuan dan peluang pekerjaan dalam bidang ICT, bioteknologi, nanoteknologi dan perkhidmatan. Di samping itu, Kerajaan akan turut mewujudkan persekitaran kondusif bagi sektor swasta menerajui pembangunan ekonomi negara.

Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’.

Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian. Sejajar dengan teras ini, Kerajaan akan melaksanakan usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan vokasional. Persekitaran yang menggalakkan akan diwujudkan untuk menjana lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pada masa yang sama, penekanan akan diberi kepada usaha memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Teras Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan yang berterusan secara membina dan produktif

Kerajaan mendokong matlamat untuk membasmi kemiskinan, menjana pembangunan lebih seimbang, serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara adil dan saksama.

Teras keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup.

Kerajaan akan terus menyediakan keperluan asas seperti air, tenaga, perumahan, pengangkutan dan kemudahan lain, namun penekanan harus diberikan kepada usaha menangani isu-isu berhubung penyenggaraan, penaiktarafan dan keberkesanan penggunaan sumber.

Teras kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Kejayaan perancangan terletak pada keupayaan untuk melaksana. Untuk itu, Kerajaan komited menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam di semua peringkat. Di samping itu, Kerajaan juga akan menangani isu-isu berhubung rasuah dan integriti di dalam sektor awam dan swasta, mahupun di kalangan masyarakat umum.

PROGRAM PEMBANGUNAN WILAYAH

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tiga pembangunan wilayah koridor telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Wilayah yang terbabit ialah:-

·        Wilayah Ekonomi Koridor Utara

·        Wilayah Ekonomi Pembangunan Iskandar

·        Wilayah Ekonomi Koridor Timur

 Wilayah Ekonomi Koridor Utara

Wilayah Ekonomi Koridor Utara meliputi negeri-negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan wilayah-wilayah di Perak Utara. Kawasan ini berpotensi untuk menjadi pusat industri asas tani yang moden dan berskala besar di samping industri-industri teknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi dan automotif.

Tunjang utama projek pembangunan Wilayah Koridor Utara ialah pembuatan atau perkilangan, pertanian dan perkhidmatan. Berikut senarai projek-projek yang akan dilaksanakan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara:-

·        Jambatan Kedua Pulau Pinang

·        Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM3 bilion

·        menghubungkan Batu Kawan dengan Batu Maung, Jambatan

·        dengan jajaran sepanjang 24 kilometer itu dijangka siap 2011.

·        Pusat Pemakanan Utama

·        Pusat Pemakanan Tambahan (Penubuhan Zon Khas Makanan)

·        Pusat Pemprosesan Halal Berintegrasi?

·        Pusat Akuakultur

·        Program Sekolah Angkat di kawasan luar bandar yang miskin

·        Pusat Kecemerlangan Barat dan Kolej Komuniti akan dibangunkan

·        Lebuhraya Rentas Pedalaman Kedah

·        Lebuhraya Tunjang Sentral

·        Lebuhraya Ekspres Utara-Selatan

 Wilayah Ekonomi Pembangunan Iskandar Malaysia

Wilayah Pembangunan Iskandar di Selatan Johor merupakan projek pembangunan terancang yang paling besar dalam sejarah negara. Berlandaskan kekuatan kawasan Selatan Johor dari segi lokasi, Wilayah Pembangunan Iskandar akan dibangunkan untuk menjadi destinasi antarabangsa bagi pelaburan, perniagaan, industri, pelancongan dan kebudayaan. Berikut senarai projek-projek yang akan dilaksanakan di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia:- 

·        Pembinaan Kompleks Jabatan-Jabatan Kerajaan Persekutuan Negeri Johor

·        Pelabuhan Tanjung Pelepas

·        Lapangan Terbang Senai (Hab Penerbangan Senai)

·        Bandaraya Cyber Berteknologi Tinggi

·        Pelabuhan Tanjung Langsat (Hab Bahan Api Bio Negara)

·        Menempatkan Sekolah Antarabangsa dan Universiti Luar Negara

·        bertaraf dunia (Hab Pendidikan)

·        Program Sekolah Angkat di kawasan luar bandar yang miskin

·        Pusat Kecemerlangan Barat dan Kolej Komuniti akan dibangunkan

 Wilayah Ekonomi Koridor Timur

 Wilayah Ekonomi Koridor Timur meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kawasan ini berpotensi untuk menjadi pusat pertumbuhan baru bagi industri petrokimia serta pelancongan. Pelan konsep pembangunan Wilayah Koridor Timur ini masih dalam peringkat perancangan dan pembangunan. Ia akan mengalami penyesuaian daripada semasa ke semasa.

·        Lebih banyak lagi kemudahan pendidikan teknikal akan dibina untuk menyokong bentuk perniagaan yang baru diperkenalkan.

·        Pembangunan rangkaian produk halal untuk dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah melalui program pembangunan sub-kontraktor.

·        Memperkenalkan teknik perladangan moden dengan meluas.

·        Fasa Kedua: Projek Lebuhraya Pantai Timur

·        Penambahbaikan Industri Kompleks Petroleum Petronas terbesar di

·        Pantai Timur.

Berlandaskan daripada lima teras yang digarap ini, dapatlah kita mengenal pasti apa yang telah dicapai, kelemahan yang perlu ditangani untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Misi Nasional adalah satu perspektif jangka panjang bagi menghasilkan prestasi yang lebih baik dan meningkatkan impak daripada gabungan usaha pembangunan negara.

Amatlah penting dipastikan pelaksanaan menepati jadual, supaya semua pihak mendapat pulangan sebenar daripada apa yang dibelanjakan. Mekanisme pelaksanaan, pemantauan dan penilaian perlu diperkukuhkan. Komitmen dan tindakan bersama semua pihak adalah perlu bagi memastikan kejayaan pelaksanaan RMK-9. Masyarakat sivil perlu berperanan sebagai rakan kongsi pembangunan. Sesungguhnya usaha bagi merealisasikan aspirasi menjadi sebuah negara maju memerlukan komitmen dan kesanggupan setiap rakyat untuk bekerja keras, meningkatkan jati diri dan sentiasa memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan.