Isnin 18 March 2019
A- A A+

Rancangan Malaysia Pertama

Rancangan Malaysia Pertama  (RMP: 1966-1970)

Sebelum pelaksanaan Rancangan Malaya Pertama terdapat dua Rancangan Pembangunan iaitu Rancangan Malaya Pertama (RM1: 1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (RM2: 1961-1965).

Rancangan Malaya Pertama (RM1: 1956 – 1960)

 

rmp2 

Penyertaan rakyat dalam aktiviti pertanian yang dirancang turut menjana pendapatan kepada negara

Perancangan pembangunan yang serius telah bermula pada tahun 1954 apabila satu perwakilan Bank Dunia membuat beberapa perakuan kepada kerajaan tentang pembangunan negara. Ini menghasilkan RM1 yang berisi dengan rancangan pelaburan sektor awam sebanyak RM1,100 juta. Matlamat utama rancangan pembangunan tersebut ialah untuk membangunkan ekonomi dengan memberikan penekanan yang lebih kepada sektor di luar bandar. Sebanyak RM478.2 juta (44.5%) daripada jumlah peruntukan pembangunan RM1 telah diperuntukan bagi membangunkan sektor luar bandar ini.

Penubuhan dua buah agensi Kerajaan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan FELDA (Federal Land Development Authority; 1956) dan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta pelaksanaan sistem Buku Merah merupakan inovasi penting dalam sejarah perancangan dan pembangunan negara sehingga ke masa kini. Dari segi pencapaian RM1, pelaburan sebenar sektor awam dalam tempoh 1956-60 hanyalah sebanyak RM978 juta. Ini kurang sebanyak 15% daripada jumlah pelaburan sektor awam yang telah dirancangkan bagi tempoh berkenaan.

Rancangan Malaya Kedua (RM2: 1961-1965)

RM2 telah mencapai beberapa kemajuan ke arah perancangan yang lebih menyeluruh. Pertamanya, rancangan ini telah disediakan oleh sebuah Jawatankuasa Kerja Antara Jabatan dengan bantuan sebuah Urusetia Ekonomi yang dibantu oleh pakar perunding Bank Dunia. Kedua, RM2 telah menggunakan kedua-dua strategi perancangan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas dengan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar serta penyertaan rakyat di dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

Peruntukan pembangunan telah ditambah sebanyak RM2,150 juta iaitu hampir dua kali ganda peruntukan RM1. Ketiga, beberapa perubahan telah dibuat di dalam RM2 ini, iaitu bagi pertama kalinya satu kajian yang menyeluruh telah dibuat terhadap perkembangan ekonomi negara untuk beberapa tahun sebelumnya. Satu analisis yang mendalam mengenai kedudukan ekonomi, mengenal pasti masalah yang timbul dan tindakantindakan untuk mengatasi masalah tersebut telah diadakan. Selanjutnya anggaran kasar pelaburan sektor awam terhadap pendapatan negara dan imbangan pembayaran juga telah dibuat.

Dari segi pencapaiannya, purata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh 1961-1965 ialah sebanyak 6.4% setahun. Daripada segi perbelanjaan pembangunan pula, sektor awam telah membelanjakan sebanyak RM2,650 juta yang telah diperuntukkan bagi tempoh RM2. Perbelanjaan pembangunan sebenar sektor swasta adalah RM2,900 juta, iaitu seperti yang telah dirancangkan.

Rancangan Malaysia Pertama (RMP: 1966-1970)

Di bawah Rancangan Malaysia Pertama (RMP), pembangunn negara telah diasaskan kepada suatu rancangan bersepdu berikutan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Rancangan Malaysia Pertama ini juga telah menentukan arah pembangunan dan matlmat-matlamat yang perlu dicapai dalm tempoh rancangan lima tahun. Pembaharuan lain yang terdapat dalam rancangan ini termasuklah program tenaga manusi dan penelitian yang lebih mendalam terhadap program-program ke atas tiap-tiap sektor ekonomi.

Di samping itu RMP, juga menekankan aspek integrasi di kalangan penduduk dan negeri-negeri di dalam Malaysia dengan menggubal satu rancangan pembangunan khusus bagi meningkatkan kebajikan semua rakyat. RMP melibatkn peruntukan pembangunan sebanyak RM10,500 juta iaitu RM4,550 juta daripada sektor awam dan RM5,950 juta daripada sektor swasta.

Pelaksanaan RMP pula lebih menjurus ke arah pembasmian kemiskinan di kalangan penduduk. Melihat kepada bancian penduduk tahun 1970 yang telah dijalankan, didapati bahawa 49.3% daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sejumlah 86% daripada keluarga miskin tersebut terdapat di kawasan luar bandar manakala 14% lagi di kawasan bandar.

rmpi2

Penanaman padi dia antara aktiviti ekonomi masyarakat dalam RMP

Pelaksanaan dan Pencapaian Program RMP

Dalam tempoh masa RMP ini, beberapa agensi baru telah ditubuhkan. Di antaranya Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA – Malaysian Industrial Development Authority, 1967) yang dulunya dikenali sebagai FIDA (Federal Investment Development Authority), Lembaga Penasihat Tarif, MARA (Majlis Amanah Rakyat, 1966), Bank Bumiputera (1966) dan juga PERNAS (Perbadanan Nasional Berhad, 1969). MIDA dan Lembaga Penasihat Tarif dibentuk dengan tujuan membantu pembangunan perindustrian negara seperti yang tercatat dalam Akta Galakan Pelaburan 1968. MARA, Bank Bumiputera dan PERNAS pula ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang perusahaan dan perdagangan.

 

 

 

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking