Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Perindustrian Negara

Latar Belakang

Di  dalam  dekad  50-an  dan 60-an, program perindustrian di negara ini dijalankan  sebagai  usaha  untuk  mempelbagaikan ekonomi  negara  yang  pada  masa itu amat bergantung kepada getah dan bijih timah. Memandangkan harga kedua-dua komoditi ini  tidak  stabil,  kerajaan  telah   melancarkan   program perindustrian  untuk  mencetuskan  perkembangan ekonomi yang lebih pesat dan stabil. Dasar pembangunan perindustrian pada masa  itu  adalah  tertumpu  kepada  industri-industri  yang bercorak gantian import.


Sejak   tahun  70-an,  kerajaan  di  samping  mempelbagaikan ekonomi  telah  menitikberatkan  pertumbuhan  industri  yang lebih  pesat  untuk  menampung keperluan pekerjaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam hal ini, tumpuan  telah  diberikan kepada   industri-industri   yang   berasaskan  eksport  dan industri yang mengunakan ramai buruh.

Mulai  tahun  80-an  pula,  program   perindustrian   negara mengalami   satu   lagi  perkembangan  menerusi  penggalakan industri berat. Ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara dan  menambahkan  kemahiran  rakyat  di bidang  teknologi yang lebih tinggi. Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses perindustrian. Kerajaan memainkan peranan  secara  langsung  di  dalam  merancang,  melaksana, membiayai  dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor  swasta  tidak  mampu  menanggung  perbelanjaan  atau menghadapi  risiko  dalam  mengendalikan  projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga  hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.

Walaupun  pada  keseluruhannya  perkembangan industri negara dalam  tahun-tahun  60-an,  70-an  dan  awal  80-an   adalah memuaskan tetapi banyak masalah dan kelemahan masih wujud di dalam  sektor  ini.  Misalnya,  pertumbuhan  sektor  eksport adalah  tidak  begitu  memuaskan  jika  dibandingkan  dengan sektor   dalam   negeri.   Eksport  barang-barang  pembuatan Malaysia  terlalu  bergantung  kepada  segelintir   industri sahaja  seperti  elektrik  dan  elektronik dan tekstil. Mutu keluaran juga pada keseluruhannya tidak begitu memuaskan dan tidak dapat bersaing dengan  keluaran  negara-negara  asing. Ini   disebabkan  tahap  teknologi  yang  masih  rendah  dan kurangnya kemahiran rakyat tempatan  untuk  mempertingkatkan atau  memperbaharui  teknologi yang diterima dari luar. Satu masalah besar ialah kurangnya hubungkait  di  antara  sektor perindustrian  dengan  sektor-sekctor lain menyebabkan tidak wujudnya integrasi ke hadapan dan ke belakang (back-ward and forward integration.)    Industri-industri  yang  ditubuhkan juga  kurang  mempunyai  nilai ditambah (value added) kerana banyak menumpukan kepada aktiviti  pemasangan  sahaja.  Oleh itu,   sekiranya   sektor  perindustrian  dikehendaki  terus memainkan peranan utama dalam pembangunan  negara,  perlulah diwujudkan  matlamat-  matlamat jangka panjang yang disokong dengan dasar dan strategi pembangunan yang baru.

Selaras  dengan   hasrat   untuk   mengenalpasti   kelemahan ciri-ciri   struktur   serta  mengatasinya,  kerajaan  telah melancarkan dua kajian utama pada tahun 1983,  iaitu  Kajian Dasar   Perindustrian   Malaysia   (KDPM)  dan  Pelan  Induk Perindustrian (PIP).    KDPM  benujuan  untuk  menyemak  dan mengubahsuai  dasar-dasar  perindustrian  negara  yang sedia ada  dan  mengkaji  semula  galakan-galakan  pelaburan   dan dasar-dasar  peningkatan eksport.   PIP pula bertujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am dalam mengenalpasti strategi-strategi  untuk  sektor-sektor  kecil yang  berpotensi  untuk  tumbuh  dengan  pesat.  Dasar utama perindustrian telah mengambil  kira  beberapa  prinsip  asas yang terkandung di dalam  perakuan-perakuan kedua-dua kajian ini.

Rasional

Pengguba!an dasar perindustrian negara melambangkan keazaman kerajaan  untuk  mempergiatkan  lagi  proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1985 - 1986 telah menunjukkan kelemahan dalam struktur industri negara.  Pengalaman dalam dekad 80-an di mana semua harga komoditi utama telah jatuh secara  serentak  mendorong kerajaan memikirkan strategi-strategi ekonomi jangka panjang untuk   mengenalpasti   dan   mengatasi  kelemahan-kelemahan struktur sektor pembuatan  ini.  Seandainya  masalah-masalah ini dapat diatasi, kerajaan yakin sektor ini boleh memainkan peranan  yang lebih dinamik lagi melalui sumbangan-sumbangan yang lebih besar  dari  segi  menambah  eksport,  mengadakan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan serta memperbanyakkan peluang-peluang latihan teknikal dan kemahiran.

Pada jangka panjangnya, PIP diharapkan dapat meletakkan asas yang   kukuh   bagi   negara   ini   menjadi  sebuah  negara perindustrian   yang   maju.    Jelas    di    negara-negara perindustrian  yang ada sekarang, sektor perkilangan (selain daripada  sektor   perkhidmatan)   merupakan   sektor   yang terpenting  dalam  menggerakkan  jentera pembangunan negara. Banyak  negara  maju  dan  negara  perindustrian   dahulunya merupakan  negara- negara pertanian yang mundur, tetapi oleh kerana   mereka   memasuki   bidang   perindustrian   dengan bersungguh-sungguh, hari ini mereka telah maju. Walaupun   bidang   pertanian  di  Malaysia  merupakan  satu kegiatan ekonomi yang penting namun demikian pertanian tidak mungkin  dapat  mewujudkan  peluang-peluang  pekerjaan  bagi puluhan  ribu lulusan sekolah dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.

Objektif

Objektlf Pelan Induk Perindustrian (PIP) Pelan Induk Perindustrian yang telah diumumkan oleh  Menteri Perdagangan  dan  Perindustrian  pada 3 Februari, 1986 telah menggariskan tiga matlamat iaitu:

  1. Menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuh perindustrian negara.
  2. Menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber  asli  negara dan
  3. Meninggikan  tahap  penyelidikan dan pembangunan (R & D) teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

Strategi Pelaksanaan

Strategi Pelan Induk Perindustrian

Untuk  mencapai  matlamat-matlamat   tersebut,   PIP   telah mengenalpasti   12   sektor   industri   yang  patut  diberi penekanan.   Tujuh daripada sektor-sektor  ini  adalah  yang berasaskan  sumber  tempatan  iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia, logam bukan ferus dan keluaran- keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan  sumber  iaitu eletrik  dan  eletronik,  peralatan  pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan  tekstil  dan  pakaian.


Kesemua industri ini telah dipilih berasaskan kepada potensi untuk mencapai matlamat memperluaskan asas industri negara. PIP  juga telah mencadangkan langkah-langkah berikut diambil supaya  Malaysia  dapat   mencapai   taraf   sebuah   negara perindustrian:

  1. Melaksanakan  dasar  perindustrian yang berpandangan ke luar. Untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi,  Malaysia  harus  menumpukan  kepada   pengeksportan keluaran-keluaran  perkilangan secara besar-besaran. Masalah pasaran yang kecil telah menjadi satu faktor penghalang bagi industri-industri tempatan mencapai produktiviti yang  lebih tinggi dan lebih kompetitif;
  2. Memajukan  secara intensif industri-industri berasaskan sumber untuk  eksport  dan  mempelbagai  serta  meningkatkan industri-industri  bukan  berasaskan  sumber  untuk eksport. Dari   12   sektor   industri   yang   terpilih,    beberapa keluaran/industri       telah      dikenalpasti      sebagai keluaran/industri keutamaan untuk dimajukan;
  3. Memajukan  industri-industri   berat   terpilih   untuk menyokong  industri-industri  eksport.  Strategi ini dipilih memandangkan kerajaan sudahpun membuat pelaburan yang banyak dalam  beberapa  jenis  industri  berat.  Usaha-usaha  perlu ditumpukan  kepada  memastikan  kejayaan  projek-projek  itu dahulu sebelum menceburi bidang-bidang industri  berat  yang lain.
  4. Memaju  dan  menggunakan  sistem  perkhidmatan  maklumat yang  bersepadu;
  5. Membangunkan  teknologi  dan tenaga rakyat;
  6. Mengurangkan  perbelanjaan dalam pembinaan infrastruktur dengan  memberi  tumpuan  kepada  pertumbuhan  industri- industri di kawasan yang telah sedia mempunyai kemudahan infrastruktur   yang   diperlukan.  Penubuhan  industri-industri  diutamakan  di sepanjang  western  corridor di pantai barat Semenanjung  yang  mempunyai hampir 75 - 80 peratus  penduduk dan di mini corridor  di pantai timur. Semenanjung,  dengan  tumpuan  di  kawasan  sekitar Kota Bharu, Kuala  Terengganu  dan  Kuantan,  dan  di bandar-bandar  di Sabah   dan  Sarawak  seperti  Kota Kinabalu,Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Sibu dan Bintulu;
  7. Memoden  dan  menyusun  semula   struktur  perindustrian dengan  mempertingkatkan  pembangunan  industri-industri kecil dan  sederhana  kerana sektor ini merupakan tulang belakang proses  perindustrian  seperti yang ternyata di negara Taiwan  dan  menyusun  semula   industri-industri yang  kurang  berkesan  tetapi   penting  dalam  ekonomi negara;
  8. Memperkukuhkan institusi-institusi yang bertanggungjawab kepada pembangunan sektor pembuatan; dan
  9. Menyusun semula sistem galakan  perindustrian yang sedia ada untuk  memupuk  kecekapan  dan  daya  bersaing  yang lebih tinggi.

Penutup

 PIP  merangkumi  strategi-strategi  dan langkah-langkah yang boleh  membawa  Malaysia  ke   dalam   era   sebuah   negara perindustrian  dan  seterusnya  menjadi  teras kepada sebuah negara maju. Melaluinya, pertumbuhan ekonomi  Malaysia  akan lebih  diterajui  oleh pertumbuhan dalam sektor eksport yang berlandaskan strategi industrialisasi yang  outward-looking. Sejauh  mana  ini  akan  mencapai hasil yang baik bergantung kepada keupayaan  pekilang-pekilang  di  Malaysia  mengekal, jika  tidakpun  meningkatkan  lagi,  daya  saing  di pasaran antarabangsa yang penuh cabaran itu.