Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Isu Kenaikan Harga Barang

Kenapa Tidak Berterima Kasih Apabila Harga Petrol, Diesel Diturunkan?

Bagaikan satu rahmat apabila perkembangan harga minyak dunia yang turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini, membolehkan kerajaan menurunkan lagi harga runcit petrol dan diesel.

N.A.I.K    L.A.G.I........

Kita pasti ingat pada 5 Jun lalu - ungkapan "harga petrol naik lagi" diluahkan dengan emosi marah. Tetapi kenapa situasi hari ini, kita tidak menyambut pengumuman penurunan harga petrol dengan ungkapan "harga petrol turun lagi" bersama nada gembira?

Semua orang tahu, ini kali keempat kerajaan menurunkan harga runcit petrol dan diesel. Daripada kenaikan sebanyak 78 sen empat bulan lalu, kini harga runcit petrol misalnya sudah diturunkan sebanyak 55 sen menjadi RM2.15 manakala harga diesel dikurangkan kepada RM2.05 sekarang.

Sambutan dingin dan kurang memberangsangkan ini ada sebabnya. Hakikatnya masyarakat pengguna masih menunggu para peniaga menurunkan harga jualan ke paras yang munasabah atau kembali ke harga asal ketika harga petrol RM1.92 seliter .

Ketika harga minyak meningkat pada 5 Jun lalu, harga bagi hampir semua barangan naik antara 15 peratus dan 30 peratus. Kos operasi turut naik antara 30 dan 40 peratus.

Daripada barang makanan hingga kepada tambang pengangkutan, semuanya mengalami kenaikan harga atas alasan harga petrol dan diesel telah naik. Peniaga naikkan harga secepat kilat.

Tetapi kini, setelah harga petrol dan diesel diturunkan oleh kerajaan sejak lebih dua bulan lalu, terlalu banyak peniaga yang masih enggan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

Penurunan harga bahan api mungkin tidak disenangi oleh golongan peniaga. Mereka akan beri seribu satu alasan. Tetapi sikap tamak dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna mungkin sukar dinafikan jika peniaga terlalu mengira dari sudut untung rugi.

Apa yang pelik, kita langsung tidak mendengar ada peniaga yang menyokong Perdana Menteri ketika pengumuman kenaikan harga minyak dahulu. Begitu juga ucapan terima kasih, tidak pun dinyatakan ketika penurunan harga bahan api diumumkan.

Sikap degil dan tidak sensitif terhadap tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat cukup 'meletihkan' kita.

Sepatutnya kerajaan dan pengguna tidak perlu merayu kepada para peniaga. Mereka sendiri sepatutnya sedar dan mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang secara sukarela tanpa perlu menerima desakan daripada kerajaan dan orang ramai.

Oleh kerana kerajaan telah empat kali menurunkan harga bahan api, langkah itu diharap mampu mempengaruhi penurunan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Logiknya memang patut pun demikian.

Jika sebelum ini semua perniagaan yang berteraskan petroleum menaikkan harga barangan dan caj perkhidmatan mereka, maka sudah kena masanya sekarang, ia harus diteliti semula.

Bagaimanapun, penurunan harga minyak yang diumumkan kerajaan hari ini tidak memberi sebarang manfaat kepada pengguna jika harga barangan keperluan masih melambung tinggi.

Kepada pengguna, kita usah mengikut perangai peniaga yang tidak tahu berterima kasih.

Sebagai pengguna, memang ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petroleum dahulu.

Tetapi sebagai rakyat negara ini, kita amat berterima kasih dengan penurunan harga tersebut yang sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit perbelanjaan harian.

Pengurangan harga minyak ini, membolehkan kita merancang semula perbelanjaan harian. Pasti ramai yang melahirkan rasa lega dengan penurunan ini. Malah ramai yang berharap kerajaan akan mengkaji kadar harga baru itu dari semasa ke semasa bagi kepentingan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun akan ada segelintir rakyat menyuarakan pandangan bahawa penurunan ini terlalu kecil dan gagal menangani masalah inflasi, khususnya dalam menurunkan harga barangan, tetapi ia suatu langkah yang wajar diambil daripada tiada tindakan langsung.

Kalau mengikut firasat pakar ekonomi, ketika harga minyak mentah global turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini maka harga petrol sebaik-baiknya dikembalikan ke harga asalnya iaitu RM1.92 seliter bagi merangsangkan ekonomi negara.

Malah, lebih daripada itu, kita mengharapkan ekonomi kita akan berdaya saing dan pulih segera, walaupun kini berdepan dengan krisis kewangan global.

Reformasi Sektor Pertanian Tepis Tempias Krisis Makanan Global

kenaikan_harga_barang

JIKA ditanya apakah satu persamaan dihadapi umat manusia sejagat masa kini, jawabnya ialah kenaikan harga makanan. Pada 2007-2008 menyaksikan kenaikan dramatik harga makanan yang mencetuskan bukan sedikit ketidakstabilan politik dan ekonomi.

Pertubuhan Pertanian dan Makanan Sedunia (FAO), agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 852 juta penduduk dunia hidup dalam kebuluran, manakala lebih dua bilion penduduk dunia pula dalam keadaan kekurangan makanan kerana kemiskinan.

Jumlah penduduk dunia sekarang sudah mencecah 3.3 bilion dan ini bermakna lebih separuh penduduk dunia tidak cukup makan.

Statistik lain pula menunjukkan di negara kaya, mereka hanya membelanjakan 10 peratus daripada pendapatan untuk perbelanjaan makanan. Penduduk negara membangun membelanjakan 30 peratus, manakala di negara mundur 50 hingga 60 peratus digunakan untuk makanan.

Kenaikan harga makanan akan menjadikan lebih ramai manusia miskin dan lebih ramai akan kebuluran. Ini adalah krisis yang memberi impak besar kepada tamadun manusia. Jalan penyelesaian harus difikirkan dan dilaksanakan dengan segera.

Pelbagai pendapat dilontarkan mengenai sebab kenaikan harga makanan hari ini. Antaranya adalah kerana kenaikan harga minyak dunia. Ia memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran makanan, dari ladang dan harga baja berasas nitrogen, kepada pemprosesan hinggalah ke logistik.

Ini sekali gus menaikkan kos pengeluaran makanan yang memberi kesan kepada pengguna. Faktor ini tidak boleh dikawal selagi pemimpin dunia tidak boleh bersetuju untuk mengawal harga minyak. Dengan kata lain, satu mekanisme harus diwujudkan agar harga minyak tidak boleh dispekulasi oleh pelabur yang mahu mengaut untung cepat tanpa mengira keperitan hidup lebih dua bilion penduduk miskin dunia.

Selain itu, perubahan iklim juga dikatakan sebagai satu faktor. Bermula dengan pelepasan gas karbon dioksida yang berlebihan, akhirnya melarat kepada pengurangan hasil pertanian. Umum tahu perkara ini sudah banyak kali dibincangkan dan langkah segera mesti dilakukan untuk memastikan dunia kita masih boleh didiami. Konsep melestarikan alam sekitar adalah sesuatu yang penting untuk abad mendatang.

Ada pula yang mengatakan kerancakan dunia untuk menghasilkan ‘biofuel’ sebagai ganti bahan bakar daripada ‘fossil fuel’ (minyak yang digerudi) menjadi sebab kenaikan harga makanan. Makanan dijadikan minyak, stok makanan di pasaran menjadi kurang. Lantas menaikkan harga makanan.

Tetapi perkiraan menunjukkan penghasilan ‘biofuel’ hanya menyumbang sekitar dua hingga tiga peratus saja kepada kenaikan harga makanan. Tambahan pula, teknologi penghasilan ‘biofuel’ adalah teknologi strategik yang harus disokong dan dikembangkan untuk kita menghadapi krisis tenaga dunia.

Masyarakat dunia sudah melakukan perkara yang sama ketika krisis makanan 1972. Melalui ‘Revolusi Hijau’, hasil produk pertanian dunia ditingkatkan untuk menampung permintaan. Revolusi hijau berjaya menstabilkan harga pasaran.

Negara kita melalui Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sudah mengambil langkah untuk menambah import beras dari negara jiran, Thailand. Selain itu, inisiatif juga diambil oleh Bernas untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama dengan pekilang beras di Thailand. Syabas kita ucapkan. Langkah ini serba sedikit mengurangkan kegelisahan rakyat terhadap krisis makanan.

Tetapi harus diingat, langkah ini bukan penyelesaian jangka panjang. Bayangkan jika krisis makanan terus memuncak dan Thailand enggan menjual beras kepada kita, maka kelaparanlah rakyat Malaysia.

Malaysia harus menghasilkan beras sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana negara jiran. Justeru, saranan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang mahu kerajaan mengambil langkah drastik meningkatkan pendapatan dan perolehan makanan adalah saranan yang bijaksana dan bertepatan.

Baginda bertitah supaya menjadikan pertanian sebagai sektor utama di beberapa negeri. Jika kita lihat Jepun, mereka sudah lama peka mengenai perkara ini. Jepun adalah negara yang keluasannya hampir sama dengan Malaysia, tetapi penduduknya hampir lima kali ganda dari Malaysia.

Jepun tidak mempunyai tanah luas yang sesuai untuk tujuan pertanian, tetapi tidak mengimport beras dari mana-mana negara. Malaysia juga seharusnya memandang berat perkara ini dengan mengkaji semula dasar pertanian negara agar kita dapat mengurangkan pergantungan kepada negara asing.

Seperkara yang perlu diberi perhatian dalam menangani krisis makanan adalah bukan dengan tergesa-gesa memugar hutan di Sarawak untuk dijadikan jelapang padi. Sektor pertanian sangat bergantung kepada permintaan semasa kerana hasil pertanian tidak boleh disimpan lama.

Selain itu, kita juga tidak mahu dituduh oleh pihak Barat sebagai pemusnah alam hanya kerana memugar hutan. Kita harus berupaya untuk ‘menilik’ permintaan dalam negara untuk tahun-tahun akan datang dan menghasilkan produk pertanian sebanyak permintaan pasaran.

Sebagai contoh, krisis makanan dunia sekarang kerana penghasilan produk makanan meningkat sebanyak 1.1 peratus, manakala jumlah penduduk dunia meningkat sebanyak 1.2 peratus. Di sini, jika kita menganalisis data ini lebih awal lagi, sudah tentu kita dapat mengelak ditimpa krisis makanan.

Boleh kita fahami bahawa bukan mudah untuk menghasilkan produk pertanian sekadar permintaan pasaran. Industri pertanian sangat terdedah kepada risiko. Justeru, perancangan yang teliti pelbagai agensi kerajaan sangat diperlukan. Pertanian era ini bukan saja tanggungjawab Jabatan Pertanian, malah ia membabitkan seluruh jentera kerajaan.

Kerajaan sudah lama menubuhkan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk memartabatkan sektor pertanian. Kerajaan juga sudah menghantar puluhan pegawai ke Jepun dan serata dunia untuk mempelajari teknik pertanian moden.

Kita tidak memerlukan semua rakyat Malaysia menjadi petani. Misalnya pengeksport hasil pertanian, Amerika syarikat hanya mempunyai dua juta petani moden, kurang satu peratus daripada jumlah penduduk negaranya. Kita memerlukan modal insan yang komited dan teknologi tinggi untuk memajukan sektor pertanian.

Selain itu, kita mesti meningkatkan perbelanjaan penyelidikan untuk pertanian. Menghasilkan benih yang tahan penyakit melalui teknik pertanian konvensional atau pengubahsuaian genetik.

Mewujudkan sistem yang menyokong petani untuk memaksimumkan hasil pertanian mereka. Tanpa melakukan perkara ini, sektor pertanian akan menjadi tidak berdaya maju dan kompetitif.

Mungkin kita akan kehabisan tanah untuk bercucuk tanam apabila jumlah penduduk meningkat terlalu ramai. Halangannya terlalu banyak. Tetapi kita tidak ada pilihan selain memajukan sektor pertanian dan menanam padi sendiri.

Kita harus pantas bergerak sekarang, jika tidak kita bakal menjadi ‘pengemis dari negara bertanah subur’. Teringat ketika penulis masih kecil, dihiburkan oleh bonda dengan cerita Nabi Yusof AS mengumpul dan menyimpan gandum selama tujuh tahun untuk negaranya sebelum kedatangan musim kemarau panjang tujuh tahun.

Hasilnya, saudaranya yang dulu memusuhinya dan juga Ayahandanya Nabi Yaakub AS datang meminta bantuan. Juga teringat ketika bonda memberi peringatan, bertani adalah pekerjaan mulia, pekerjaan Nabi Daud AS, pekerjaan yang pasti membawa berkat. Sekarang selepas 20 tahun dihiburkan dengan cerita di atas, barulah terasa kepentingan sektor pertanian.

Malangnya, penulis bukanlah petani, hanya mampu berkongsi buah fikiran untuk tatapan dan renungan bersama. Semoga dengan berulangnya krisis makanan kali ini memberi pengajaran dan teladan kepada kita.

Penulis ialah Pensyarah, Kulliyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Industri Pertanian Atasi Krisis Makanan

Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM20 juta pada tahun ini sebagai pinjaman untuk membantu golongan belia yang ingin mengusahakan industri pertanian.Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob memberitahu, golongan tersebut boleh memohon pinjaman bermula RM15,000 hingga RM50,000 itu bagi menjayakan projek pertanian mereka.

''Seluruh dunia kini menghadapi masalah kekurangan makanan terutamanya bekalan makanan ruji seperti beras oleh kerana negara-negara pembekal seperti Thailand, Myanmar, Filipina dan Vietnam berhadapan dengan masalah cuaca dan bencana alam." katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31 Pertubuhan Peladang Daerah Bera di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi mengatasi masalah kekurangan beras, Malaysia terpaksa mengimport 200,000 hingga 300,000 tan setiap bulan dari negara jiran, Thailand dan India.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu dapat diatasi jika semua tanah-tanah terbiar di seluruh negara dapat dibangunkan semula dengan mengusahakan sawah padi.

Sehubungan itu, beliau berharap Pertubuhan Peladang Kawasan dan agensi pertanian mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan turut membabitkan golongan belia secara langsung bagi membangunkan tanah tersebut dengan penanaman padi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera yakin jika semua tanah terbiar dapat ditebusguna dengan mengusahakan tanaman makanan masalah krisis makanan yang melanda negara dapat diatasi.

Malah beliau yakin industri pertanian mampu menangani masalah pengangguran di kalangan belia sekali gus menghapuskan kemiskinan.

iks

Bahan Bakar Bio Punca Harga Makanan Naik

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan pada Forum Ekonomi Dunia Mengenai Asia Timur bersependapat mengenai peranan kerajaan dalam menangani peningkatan harga makanan dan memberi amaran lebih banyak protes akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.

Pengerusi Nestle Switzerland, Peter Brabeck-Letmathe, berkata dua pertiga daripada kenaikan harga makanan berpunca daripada keputusan diambil kerajaan.

"Kira-kira 10 peratus peningkatan harga makanan disebabkan peningkatan harga bahan bakar, 10 peratus disebabkan perubahan gaya hidup.

"Satu pertiga lagi disebabkan penggunaannya bagi bahan bakar bio, satu pertiga disebabkan keputusan untuk menghentikan eksport dan 10 peratus lagi adalah disebabkan spekulasi," katanya pada perbincangan forum bertajuk Kebimbangan Mengenai Makanan dan Bahan Bakar: Bolehkan Asia Menguruskan Kos Politik Inflasi' pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Timur di sini, semalam.

Ahli panel sependapat bahawa isu makanan adalah disebabkan pengaruh politik kerana harga pertanian sudah lama ditentukan menerusi subsidi kerajaan.

Brabeck Letmathe berkata, keputusan diambil negara seperti Argentina dan Kazakhstan untuk menghentikan eksport, selain tindakan Amerika Syarikat mempromosikan penggunaan bahan bakar bio menyumbang kepada ketidakseimbangan ketika ini.

"Satu pertiga daripada pengeluaran jagung di Amerika akan digunakan dalam bahan bakar bio," katanya.

Pengerusi Roux International Australia, Michael J Roux, berkata isu mengenai peningkatan harga makanan perlu ditangani secara berbeza daripada krisis bahan bakar, dengan menyatakan faktor menyokong peningkatan harga minyak adalah lebih sukar dikekalkan.

Beliau berkata, harga minyak akan melambung jika AS berdepan kemelesetan ekonomi.

"Kita sudah menyaksikan banyak tindakan diambil dalam pasaran dan kini perlu membayar harganya," katanya.

Beliau memberi contoh tindakan China mengawal harga diesel menjelang penganjuran Olimpik adalah antara tindakan jangka pendek yang menyebabkan lonjakan harga bahan bakar ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Sime Darby Bhd, Tun Musa Hitam, berkata faktor yang melonjakkan harga makanan adalah disebabkan pelaburan tidak seimbang dalam infrastruktur, terutama di negara membangun seperti Indonesia menyebabkan kos logistik lebih tinggi.

Beliau berkata, Asean juga perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian jangka panjang berbanding reaksi serta-merta yang pasti membawa kepada masalah lain pada masa depan.