Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Pakaian Kebangsaan

Pakaian Tradisi Malaysia Yang Menawan


Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.

Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.

Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.
 
Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala
Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang.

Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya
Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.

Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.

Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.

Orang Asli
Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak. 
 
 
Busana yang mempersonakan
Busana Kaum Cina
Sejarah kehadiran kaum Cina bermula dengan berkembangnya Melaka sebagi pusat perdagangan, diikuti Pulau Pinang dan Kula Lumpur. Kehadiran mereka ini membawa bersama bukan sahaja barangan dagangan untuk tukaran, tetapi jua adat resam, budaya dan corak pakaian tradisional mereka yang kemudiannya disesuaikan dengan suasana tempatan.

Busana klasik Cina yang asalnya berlapis-lapis, sarat dengan sulaman benang emas dan sutera, kini masih boleh dilihat dengan diubahsuai mengikut peredaran masa dan kesesuaian. Jubah Labuh, Cheongsam, Baju Shanghai dan Samfoo kekal dipakai di dalam majlis dan upacara. Kebanyakannya  dihasilkan dari negeri China menggunakan fabrik sutera dan broked yang berwarna terang dengan ragamhias benang emas dan perak.

Busana Kaum India
Kehadiran kaum India ke Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua India khususnya di kalangan Hindu-Ceylonese-Tamil juga keturunan Punjabi-Singhs. Pakaian kaum India lebih dikenali dengan warna-warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata.

Di hari perkahwinan lelaki India memakai dhoti dilengkapi dengan turban manakala wanitanya memakai sari yang digandingkan dengan choli ketat. Wanita remaja mengenakan skirt labuh 'Ihenga' juga dipadankan dengan baju pendek atau choli. Lelaki Punjabi menggayakan dhoti atau kurta dan wanitanya mengenakan salwar-khameez-dupatta iaitu seluar dengan baju labuh yang diperindah dengan sulaman benang emas dan labuci.

Busana Sarawak
Keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragamhias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragamhias pasa pakaian membentuk motif-motif etnik samada dari tenunan, jalian manik dan labuci. Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.

Baju Melayu Cekak Musang merupakan pakaian tradisional bagi lelaki Melayu. baju ini dipadankan dengan samping songket tenunan Sarawak. Wanita Melayu pula memakai Baju Kurung dan kain sarung songket serta tudung kerengkam. Lelaki Melanau pula memakai baju satin hitam yang digandingkan dengan samping broked dan hiasan kepala kopiah Jawa. Wanitanya memakai Bajau Baban lengan lebar berwarna hitam dan kain songket Sarawak serta hiasan diri dari emas dan perak juga.

Busana Sabah
Gelaran “Negeri di Bawah Bayu??? membayangkan kedudukan negeri Sabah bukan sahaja dari sudut geografi tetapi juga keindahan yang tersirat di sebalik negeri yang kaya dengan adat tradisi, budaya, sejarah dan rupa buminya yang kehijauan serta luas mata memandang.

Keluasan negeri Sabah seluas 73620 km persegi ini menghimpunkan lebih 23 suku etnik dan setiap etnik kaya dengan adat dan budaya tradisional masing-masing. Busana tradisional mereka menggambarkan kekayaan hasil tangan seperti tenunan bersulam ‘linangkit’ dan kreativiti manik dan labuci serta pelbagai hiasan seperti hiasan kepala ‘sarempak’, hiasan leher ‘mandapun’, penutup kuku ‘keku’, tali pinggang berserta pending ‘ingkot pangkat’ juga selendang.

Kemahiran menghias pakaian dan cara berpakaian yang kemas dan cantik menjadikan