Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Pengurangan Beban Perbelanjaan Awam

Latarbelakang

Kemelesatan ekonomi dunia dalam tahun-tahun 1980 dan 1981 mula memberi kesan sepenuhnya kepada ekonomi negara dalam suku tahun pertama 1982. Dengan itu dasar-dasar ekonomi perlu digubal bagi menjamin kegiatan-kegiatan ekonomi berjalan lancar dan menyokong pertimbangan dalam konteks pasaran ekspot yang meleset. Satu daripada langkah-langkah tersebut ialah dasar mengurangkan perbelanjaan awam yang dilancarkan dalam pertengahan tahun 1982.
 
Rasional

Sektor awam berkembang dengan pesatnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua dan Rancangan Malaysia Ketiga. Perbelanjaan sektor awam meningkat daripada $3,468 juta dalam tahun 1971 kepada $16,998 juta dalam tahun 1980, iaitu kadar pertumbuhan sebanyak 19.3 peratus setahun. Sebagai nisbah daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) perbelanjaaan awam telah meningkat daripada 27.5 peratus dalam tahun 1971 kepada 33.2 peratus dalam tahun 1980. Perkembangan pesat ini adalah mencerminkan dasar Kerajaan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan pencapaian Dasar Ekonomi Baru.

Pertumbuhan sektor awam dalam dekad 1970'an berlaku dalam suasana kedudukan kewangan negara yang mantap. Meskipun terdapat kesan dua krisis  minyak kepada perdagangan antarabangsa dan keadaan inflasi yang tinggi (dalam linkungan 10 peratus setahun), ekonomi negara telah mencatitkan kadar pertumbuhan sebenar sebanyak 8 peratus setahun dan lebihan terus menerus dalam imbangan pembayaran disebabkan oleh adanya pengeluaran minyak, harga-harga barangan yang tinggi dan ekspot buatan yang kukuh.

Namun demikian, dalam tahun 1980'an pertumbuhan ekonomi negara  menjadi semakin lemah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang berpanjangan di samping kelemahan-kelemahan struktur ekonomi negara yang telah wujud setakat ini. Kadar pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 6.4 peratus setahun dalam tempoh 1981-1982 berbanding dengan 8.6 peratus dalam tempoh 1976-1980. Kedudukan ekonomi yang lembab ini telah menyebabkan defisit yang banyak dalam belanjawan Kerajaan dan dalam akaun semasa imbangan pembayaran. Jumlah defisit Kerajaan persekutuan meningkat daripada $7.1 billion atau 14 peratus KNK dalam tahun 1980 kepada $11.2 billion atau 18.9 peratus KNK dalam tahun 1982. Tindakan Kerajaan untuk mendapatkan pinjaman dari luar negeri bagi menampung kekurangan sumber kewangan negara telah menaikkan hutang awam, daripada $4.9 billion pada akhir tahun 1980 kepada $13.2 billion pada akhir tahun 1982. Jika dimasukkan hutang-hutang lain yang berunsur daripada pinjaman Kerajaan-kerajaan negeri dan badan-badan berkanun yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, jumlah hutang negara adalah semua sekali bernilai $24.3 billion dalam tahun 1982 atau 41.2 peratus KNK. Defisit akaun semasa imbangan pembayaran meningkat kepada $7,825 juta dalam tahun 1982 (iaitu 13.4 peratus daripada KNK) berbanding dengan $5,477 juta dalam tahun 1981 (iaitu  10.1 peratus daripada KNK).

Selepas mengambil kira kedudukan ekonomi negara, pengurangan perbelanjaan awam merupakan satu langkah yang mesti dibuat kerana dalam keadaan kemelesetan yang serius dan berpanjangan seperti yang terdapat pada masa ini, langkah-langkah 'counter-cyclical' adalah terhad dan tidak dapat dilakukan dengan berkesan selagi kelemahan-kelemahan dalam struktur ekonomi belum di atasi.

Objektif

Dalam konteks kedudukan ekonomi yang meruncing, dasar awam sewajarnya ditumpukan kepada mengukuhkan asas-asas ekonomi di samping mengawal kadar inflasi dan memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara. Dasar bagi mengurangkan perbelanjaan awam adalah dirangka dengan tujuan-tujuan seperti di bawah ini:-

(a)  Untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan selaras dengan 
       sumber-sumber yang ada;
(b)  Untuk mengurangkan defisit belanjawan Kerajaan ke tahap yang 
       selaras dengan pengurusan ekonomi yang berhati-hati;
(c)  Untuk mengawal pertumbuhan hutang awam supaya tidak menjejaskan 
      kedudukan imbangan pembayaran negara dan kadar pertukaran asing.


Strategi Pelaksanaan

Bagi melaksanakan dasar ini, Kerajaan telah mengkaji semula skop, kekesanan dan faedah-faedah perbelanjaan sektor awam meliputi bukan sahaja perbelanjaan Kerajaan Persekutuan tetapi juga Badan-Badan Berkanun dan Perbadanan-Perbadanan Awam yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri. Agensi-agensi adalah diminta untuk mengkaji balik keperluan-keperluan mereka, keutamaan dan faedah-faedah program-program selaras dengan kedudukan kewangan yang terhad, terutamanya projek-projek pembangunan yang lazimnya melibatkan kandungan impot yang tinggi. Hanya projek-projek yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pencapaian matlamat DEB sahaja akan dilaksanakan.

Lanjutan daripada strategi di atas, Kerajaan juga telah membekukan pengisian jawatan-jawatan kosong dan pengambilan kakitangan baru. Jawatan-jawatan awam yang sedia ada juga akan dikaji semula bagi memastikan tidak ada jawatan-jawatan yang bertindihkan dari segi bidang kerja. Jawatan-jawatan ini jika dimansuhkan tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Satu lagi langkah yang diambil untuk mengurangkan perbelanjaan awam ialah pengawalan ke atas agensi-agensi di luar belanjawan memandangkan agensi-agensi tersebut mempunyai pengaruh yang besar kepada kewangan Kerajaan.

Selain daripada itu, langkah-langkah bagi memperkemaskan operasi pentadbiran awam merupakan sebahagian daripada strategi perlaksanaan. Ini termasuk meningkatkan kekesanan sistem pengawalan belanjawan yang ada (iaitu Sistem Belanjawan Program Prestasi) dan pengenalan sistem-sistem baru seperti 'micro-accounting'.

Satu lagi langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan awam ialah untuk mengswastakan beberapa kegiatan Kerajaan di bawah dasar pengswastaan.
 
Penutup

Sungguhpun ekonomi negara pada masa ini tegap dan stabil, langkah-langkah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan awam dan imbangan pembayaran perlu diteruskan. Kawalan ketat ke atas perbelanjaan awam perlu ditekankan.