Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Membuka Perniagaan Sendiri

1. Merancang Perniagaan

Perancangan yang menyeluruh adalah penting untuk memudahkan anda mengelak atau mengatasi masalah-masalah yang berkemungkinan timbul bila anda mula menjalankan perniagaan. Perancangan anda harus berkisar kepada satu kerangka asas yang merangkumi semua fasa operasi dan menyediakan jawapan kepada segala isu sebelum operasi bermula. Halaman ini menyediakan panduan bagi anda dalam merancang perniagaan anda. Anda akan melihat sepintas lalu iklim ekonomi dan persekitaran perniagaan di Malaysia serta maklumat asas yang anda perlu ketahui sebelum memulakan perniagaan.

1.1 Perniagaan di Malaysia

Perniagaan mungkin merupakan salah satu sumber rezeki yang paling mendatangkan kepuasan. Apatah lagi di sebuah negara seperti Malaysia yang rata-rata rakyatnya menikmati taraf kehidupan yang baik. Dengan ekonomi yang berkembang pesat, Malaysia menawarkan pulangan menarik kepada para usahawan dan peniaga.

Klik pada pautan-pautan di bawah untuk mengetahui sekilas pandang ekonomi Malaysia serta statistik-statistik perdagangan dan pelaburan:

Ekonomi Malaysia 2005
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (Bahasa Inggeris sahaja)
Statistik Perdagangan di Malaysia (Bahasa Inggeris sahaja)
Senarai Projek-projek Diluluskan dalam Sektor Pembuatan di Malaysia (Bahasa Inggeris sahaja)

1.1.1 Sebelum Memulakan Perniagaan

Kerajaan Malaysia menggalakkan penyertaan segenap lapisan masyarakat dalam pembangunan ekonomi, dan telah menyediakan struktur sokongan yang berupaya membantu para usahawan – dari membantu dalam penubuhan syarikat hingga menyediakan bantuan pembiayaan, pengurusan dan pembangunan perniagaan. Banyak syarikat di Malaysia yang besar dan berjaya hari ini bermula sebagai perniagaan kecil. Oleh itu jika anda telah membuat keputusan untuk membuka perniagaan, ini mungkin merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang penuh cabaran tetapi menyeronokkan. Sebelum anda memulakan perniagaan, ada beberapa persoalan penting yang anda perlu fikirkan, di antaranya adalah matlamat hidup anda sendiri, perancangan perniagaan dan matlamat kerjaya jangka panjang anda.

Agensi-agensi kerajaan berikut menyediakan bantuan dan panduan kepada para usahawan dan bakal usahawan:

Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) (Bahasa Inggeris sahaja)
Program Pembangunan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) oleh SMIDEC

MSC Technopreneur Development (Bahasa Inggeris sahaja)
Bahagian Latihan Keusahawanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kerja Raya
Bahagian Pembangunan Usahawan MARA
Pejabat MARA Negeri

1.2 Bentuk-bentuk perniagaan

Selepas menetapkan hala tuju dan menjalankan kajian serta perancangan berkaitan, anda mungkin mendapat gambaran yang lebih jelas tentang bentuk usaha niaga yang anda bakal jalankan. Di Malaysia, sesebuah perniagaan boleh beroperasi dalam tiga bentuk iaitu:

  • Keempunyaan tunggal
  • Perkongsian
  • Syarikat

1.2.1 Keempunyaan tunggal

Keempunyaan tunggal adalah bentuk perniagaan yang paling mudah. Ia dimiliki oleh seorang pemilik, tetapi tidak semestinya dijalankan oleh anda seorang. Malah, perniagaan Keempunyaan Tunggal boleh menggaji ramai kakitangan.

Kelebihan Keempunyaan Tunggal

  • Sebagai pemilik tunggal, anda adalah ketua yang mempunyai kebebasan mutlak dalam membuat keputusan. Sebarang kejayaan juga biasanya amat memberikan kepuasan.
  • Perniagaan Keempunyaan Tunggal boleh dimulakan dengan beberapa langkah yang mudah tanpa memerlukan modal yang besar.
  • Anda tidak perlu menyediakan laporan akaun, dan segala hal-ehwal operasi perniagaan adalah urusan peribadi anda.
  • Sebagai pemilik tunggal, anda boleh menjalin dan mengekalkan hubungan baik dengan para pelanggan tanpa terikat kepada had-had “perhubungan perniagaan”.

Keburukan Keempunyaan Tunggal

  • Anda memikul tanggungjawab penuh ke atas semua hutang dan risiko perniagaan.
  • Anda memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam banyak bidang, dan mungkin perlu mendapatkan nasihat dari pakar dalam bidang-bidang lain seperti pemasaran atau sistem komputer.
  • Dana anda mungkin terhad.
  • Anda mungkin terpaksa bekerja lebih masa dan mungkin tidak boleh mengambil cuti.
  • Perniagaan terpaksa ditutup jika anda meninggal dunia.

1.2.2 Perkongsian

Perniagaan secara Perkongsian adalah bila mana anda menggabungkan modal dan bekerjasama dengan sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi. Dalam usaha niaga bentuk ini, anda dan rakan kongsi anda adalah pemilik bersama yang akan berkongsi agihan keuntungan atau risiko.

Kebaikan perkongsian

  • Perkongsian bermakna anda berkongsi kerja dan mempunyai teman berbincang jika perniagaan melalui kesusahan atau masalah
  • Perkongsian bermakna mempunyai sumber kewangan yang lebih
  • Perkongsian bermakna gabungan pengetahuan, kemahiran, buah fikiran dan sumber-sumber daya yang lain.

Keburukan perkongsian

  • Anda bertanggungjawab ke atas hutang-hutang perniagaan sekalipun ia berpunca dari tindakan rakan kongsi anda. Dengan kewajipan tidak terhad, setiap rakan kongsi juga bertanggungjawab menggunakan sumber-sumber sendiri untuk melunaskan hutang-hutang rakan-rakan kongsinya.
  • Potensi perkembangan perniagaan terhad
  • Perselisihan faham dan pertikaian mungkin berlaku di kalangan rakan-rakan kongsi
  • Perkongsian berakhir bila salah seorang daripada rakan kongsi menarik diri atau meninggal dunia.

1.2.3 Syarikat

Satu lagi bentuk perniagaan ialah dengan menubuhkan syarikat. Syarikat adalah entiti berdaftar yang ditubuhkan oleh sekurang-kurangnya dua orang, yang boleh memiliki harta, merangka kontrak perjanjian dan menggaji kakitangan. Semua syarikat di Malaysia tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965.

Kebaikan Syarikat

  • Ahli-ahli (pemegang saham) syarikat tidak terikat kepada pemilik syarikat.
  • Pemegang saham tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan.
  • Sekiranya perniagaan gagal, pemegang saham dilindungi oleh tata perundangan.
  • Syarikat mempunyai potensi perkembangan yang lebih tinggi jika dibandingkan perniagaan Keempunyaan Tunggal atau Perkongsian.

Keburukan Syarikat

  • Proses penubuhan melibatkan tatacara perundangan yang panjang lebar dan perbelanjaan yang tinggi. Ini termasuk kos menerbitkan pelbagai laporan kewangan syarikat.
  • Syarikat kecil mempunyai liabiliti (tanggungjawab) terhad, maka bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan mungkin tidak dapat memulihkan dana sekiranya perniagaan gagal. Dengan itu syarikat mungkin sukar untuk meminjam sebanyak yang diinginkan.
  • Perkembangan syarikat Sendirian Berhad mungkin terhad kerana ia tidak boleh menjual saham kepada awam. Ini juga bermakna kerugian ditanggung sepenuhnya oleh pemilik syarikat.

1.3 Francais

Satu kaedah alternatif dalam memiliki perniagaan sendiri tanpa bermula dari bawah ialah dengan menyertai perniagaan secara francais. Francais bukanlah satu “bentuk” perniagaan, tetapi merupakan kaedah atau sistem usaha niaga di mana sesuatu perusahaan (francaisi) diberikan hak untuk menjalankan perniagaan menurut perjanjian khas dengan syarikat induk (francaisor). Oleh kerana francaisi menjalankan perniagaan di bawah nama atau cap dagang yang sudah dikenali, dan menggunakan kaedah atau konsep pemasaran yang telah terbukti, francais menjanjikan laluan yang lebih selamat bagi anda memulakan perniagaan sendiri – pada masa yang sama anda tidak berniaga bersendirian. Francais terkemuka termasuklah restoran-restoran makanan segera, rantaian hotel, kedai foto, stesen minyak, bengkel kereta dan pusat kecantikan, tetapi terdapat peluang francais dalam hampir semua bidang perniagaan di Malaysia.

Juga klik pada pautan-pautan di bawah untuk maklumat lanjut tentang memulakan perniagaan secara francais.

Program Pembangunan Francais dan Vendor

Franchise Investment and Financing Scheme (Bahasa Inggeris sahaja)

Malaysian Franchise Association (Bahasa Inggeris sahaja)

1.4 Membiayai Perniagaan Anda

Untuk membantu bakal-bakal usahawan memulakan perniagaan, kerajaan menyediakan pelbagai skim dan dana kewangan. Skim-skim dan dana-dana ini, yang ditawarkan dalam bentuk geran peruntukan, pinjaman dan insentif, disediakan untuk pelbagai sektor dan perusahaan.

Klik pada pautan-pautan di bawah untuk maklumat lanjut mengenai skim pembiayaan perniagaan:

Geran dan Insentif Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS)
Skim Pinjaman Institusi Kewangan Kerajaan
Pinjaman Bank Negara untuk EKS (Bahasa Inggeris)
Skim Kewangan bagi EKS dikendalikan MITI (Bahasa Inggeris)
Skim Pelaburan dan Pembiayaan Francais PNS (Bahasa Inggeris)
Skim Pembiayaan MARA untuk Usahawan Bumiputera

Pembiayaan juga boleh diperolehi daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti MARA dan Perbadanan Ekonomi Negeri.

Kerajaan juga telah mengumumkan penubuhan bank pembangunan khas bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada 2005 untuk membantu para usahawan PKS dalam menerima bantuan pembiayaan. Maklumat lanjut boleh didapati di sini tidak lama lagi.

1. 5 Undang-undang dan dasar

Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran dan ekonomi terbuka, dengan dasar-dasar pelaburan (Bahasa Inggeris) yang menarik dan pelbagai insentif bagi para pelabur.

1.6 Berurus Niaga dengan Kerajaan

Membekalkan barangan atau perkhidmatan kepada agensi-agensi kerajaan merupakan salah satu aktiviti paling selamat bagi perniagaan anda. Untuk berurus niaga dengan kerajaan, sama ada sebagai pembekal atau perunding, perusahaan anda mesti berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia. Perusahaan-perusahaan yang berminat untuk mendaftar dengan Kementerian Kewangan disyaratkan mendaftar secara dalam talian dengan ePerolehan, kemudahan sistem perolehan elektronik yang disediakan oleh Kerajaan.

1.7 Peluang Perniagaan

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber alam semua jadi dan sentiasa menawarkan peluang-peluang pelaburan dalam pelbagai bidang. Terdapat sekurang-kurangnya 15 sektor terpilih dengan pelbagai sub-sektor termasuk sektor peruncitan beraneka barangan, serta sektor perkhidmatan yang melibatkan banyak bidang kepakaran. Seiring dengan sistem perolehan elektronik ePerolehan, satu sistem pemakluman tender yang dipanggil Tender2U juga telah dilaksanakan. Dengan kemudahan ini anda boleh mencari tender-tender yang ditawarkan menurut pilihan anda (mengikut industri, lokasi atau bidang kerja), dan memilih untuk dimaklumkan melalui SMS, faksimili, e-mel atau melalui laman web.

Anda juga boleh merisik peluang-peluang perniagaan menerusi laman web kementerian-kementerian Kerajaan Persekutuan atau Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri. Kerajaan, melalui kementerian-kementerian dan pelbagai agensinya, juga menganjurkan ekspo perdagangan, persidangan dan lawatan perniagaan di mana para usahawan dapat bertemu dan meninjau peluang-peluang perniagaan atau usaha sama.

Kunjungi laman web agensi-agensi berikut untuk melihat kalendar aktiviti-aktiviti tersebut:

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) (Bahasa Inggeris)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Kementerian Pelancongan

Kementerian Kerja Raya

1. 8 Pelaburan Asing

Jika anda adalah seorang warga asing yang sedang mencari peluang pelaburan, anda sedang melihat salah sebuah pasaran yang terbaik di Asia. Malah, hari ini Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru paling menarik di dunia. Malaysia menawarkan pelbagai kelebihan (Bahasa Inggeris) sebagai lokasi pilihan bagi pelaburan terus asing.

Agensi kerajaan utama yang menyelaraskan aktiviti penggalakan pembangunan industri di Malaysia ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) (Bahasa Inggeris dan Jepun). Agensi ini bertindak sebagai pusat perhubungan pertama bagi para pelabur yang berminat memulakan aktiviti pelaburan di Malaysia dalam sektor pembuatan dan sektor-sektor khidmat sokongan yang berkaitan. Pelabur-pelabur asing boleh menghubungi MIDA untuk mendapatkan bantuan bagi mengadakan kunjungan mengumpul fakta ke Malaysia.

Para pelabur boleh mengunjungi Pusat Maklumat Perniagaan MIDA di mana terdapat maklumat bercetak mengenai peluang-peluang pelaburan, perdagangan, pembiayaan dan produktiviti di sektor pembuatan dan sektor-sektor khidmat sokongan yang berkaitan. Pelabur asing di Koridor Raya Multimedia (MSC) layak menerima pelepasan cukai dan pelbagai pengecualian sebagai pertukaran kepada pemindahan teknologi kepada pembangunan ekonomi tempatan.

Klik pada pautan-pautan di bawah untuk maklumat lanjut berkaitan membuat pelaburan di Malaysia:

Panduan Pelabur oleh MIDA (Bahasa Inggeris sahaja)

Panduan Pelabur (Laporan Ekonomi 2004-2005)

Insentif Pelaburan Mengikut Perundangan

2. Memulakan Perniagaan

Setelah melalui proses perancangan perniagaan, kini tiba masanya anda memulakan perniagaan. Sebelum memulakan perniagaan, anda perlulah memastikan bahawa perniagaan anda itu didaftarkan di samping memastikan segala lesen dan permit berkaitan diperolehi. Anda juga perlu mengenal pasti lokasi dan tapak perniagaan yang sesuai.

2.1 Mendaftarkan perniagaan

Anda dikehendaki mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengikut peruntukan perundangan yang digariskan iaitu Akta Syarikat 1965 (Bahasa Inggeris)