![]() |
KUANTAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah mencadangkan subjek Pendidikan Moral dimansuhkan dan digantikan dengan subjek 1Malaysia |
yang menekankan aspek perpaduan, penghayatan Rukun Negara serta semangat patriotik. Katanya, sudah tiba masanya 1Malaysia yang yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diperkenalkan sebagai subjek dengan pengajaran dan pembelajarannya menerapkan nilai pengukuhan perpaduan kaum dalam negara diajar di peringkat sekolah rendah.
“Saya akan menulis surat kepada Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dan jika ia mendapat reaksi positif daripada pihak berkaitan maka saya harap subjek 1Malaysia boleh diperkenalkan bermula daripada murid sekolah rendah.
“Ia juga bertujuan memastikan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan wujud dalam jati diri generasi muda di negara ini,” katanya selepas pertandingan akhir Koir Lagu Patriotik 2009 antara Kelab Rukun Negara Sekolah Menengah peringkat kebangsaan, di Bukit Gambang Resort, di sini, malam kelmarin.
Murugiah berkata, pengajaran dan pembelajaran subjek itu perlu mengikut prinsip Rukun Negara dan berkonsepkan 1Malaysia.
“Perkara ini mungkin sudah lama diperkenalkan tetapi tidak diberi penekanan serius,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kajian teliti dan menyeluruh dalam semua aspek perlu dilakukan sebelum subjek 1Malaysia itu dapat diperkenalkan.
Beliau turut meminta pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikaji semula kerana berpendapat program berkenaan belum mencapai matlamatnya.
Terdahulu beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan dan juara disandang pasukan koir dari Sabah diikuti pasukan Kedah dan Johor.
Sementara itu, pada pada sidang media selepas melancarkan Ibu Pejabat Majlis Belia India Malaysia (MIYC) di Kuala Lumpur, Murugiah meminta kaum India jangan menyalahkan kerajaan jika masih mundur kerana kerajaan dipimpin Barisan Nasional (BN) menyediakan segala kemudahan termasuk bantuan modal bagi memulakan perniagaan.
Katanya, ikrar yang sama sudah disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mahu melihat ada mana-mana kaum ketinggalan dalam proses pembangunan negara.
“Negara tidak akan maju jika ada kaum yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Jika ada kaum yang mundur, sudah pasti kaum lain tidak akan merasa selamat kerana akan berlaku pelbagai kegiatan jenayah,” katanya.
“Sebab itu, adalah penting kaum India perlu keluar dari belenggu `kuli’ ketika kita mula-mula bekerja di ladang di negara ini suatu ketika dulu dan perlu bersaing merebut peluang yang disediakan,” katanya.
Sumber: Berita Harian














