![]() |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menjangkakan sebarang kesan besar terhadap Belanjawan 2010 berikutan penyusutan keuntungan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tahun lalu. |
Perdana Menteri berkata, beliau yakin kerajaan masih mampu mencapai semua sasaran ditetapkan untuk rakyat dan negara, walaupun Petronas akan membayar royalti kurang kepada kerajaan.
Selain royalti, Petronas turut membayar dividen, cukai pendapatan, cukai pendapatan korporat dan duti eksport kepada kerajaan.
“Kita masih mampu mencapai sasaran melalui pengurangan perbelanjaan dan perbelanjaan berhemat.
“Kerajaan juga akan mengenal pasti sumber lain dan mengurangkan subsidi secara berperingkat dengan cara yang lebih terancang,” katanya semalam.
Najib juga menegaskan kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri bagi menjamin defisit belanjawan boleh dikurangkan kepada 5.6 peratus.
Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM52.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu, menurun hampir 14 peratus berbanding RM61 bilion pada 2008 disebabkan kos pengeluaran tinggi dan harga minyak yang rendah.
Harga minyak tidak stabil dengan minyak mentah negara dijual pada purata AS$125.45 setong dalam tempoh separuh tahun pertama sebelum menjunam pada paras AS$50.69 pada separuh tahun kedua.
Sementara itu, ketika ditanya perasaannya apabila digambarkan sebagai pejuang Islam serta pemimpin yang berani oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Perdana Menteri tidak dapat menyembunyikan rasa geli hatinya.
Kenyataan Nik Aziz itu dibuat selepas tiga minggu Menteri Besar Kelantan menggesa umat Islam di negara ini berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri dan Umno.
Ditanya kemungkinan ada lagi kenyataan yang akan dibuat Nik Aziz, Najib berkata: “Saya tidak tahu... ia kelihatan seperti hayunan pendulum (batu ladung).
“Kita tidak boleh mengharapkan apa-apa berita buruk daripada pemimpin... sekarang dia memuji saya, kata saya seorang pemimpin Islam yang berani.
“Dalam tempoh beberapa minggu, dia beralih ke pandangan lain dan memandang tinggi saya seperti itu (pemimpin Islam yang berani),” katanya sambil mengatakan Nik Aziz tidak pernah gagal untuk mengejutkannya dengan kata-kata dan teguran.
Mengulas lanjut, Presiden Umno berkata, baginya, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang kejadian malang atau bencana menimpa mana-mana pihak.
Nik Aziz menyifatkan Najib sebagai pejuang Islam serta pemimpin yang berani berikutan lawatan muhibah ke Narathiwat, selatan Thailand sedangkan ketika itu berlaku beberapa kejadian menembak dan pengeboman yang mengorbankan beberapa nyawa.
Najib dilaporkan berkata, beliau tidak bimbang mengenai lawatan pertamanya ke wilayah itu kerana mahu melihat sendiri pergolakan di selatan Thailand yang menyaksikan hampir 4,000 jiwa terkorban sejak Januari 2004.
Ketika memuji Najib yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama mengunjungi wilayah itu, Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tidak seberani Najib kerana bimbang ditembak.
Malah, Nik Aziz mengakui menolak pelawaan daripada wakil selatan Thailand yang datang ke pejabatnya untuk meminta beliau mengadakan ceramah agama di sana.
Sumber: Berita Harian















