Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Akta Perihal Dagangan 1972

Terdapat dua Perintah yang diwujudkan di bawah Akta ini iaitu:

a) Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975

b) Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975



Kedua-dua Perintah ini dikuatkuasakan bersama-sama dengan Akta induknya, Akta Perihal Dagangan 1972.

2.1 Akta Perihal Dagangan

Menurut ‘Mukaddimah’ Akta ini, tujuan Akta Perihal Dagangan 1972 diwujudkan ialah:

“Suatu Akta bagi menyatukan dan meminda Undang-Undang berhubung dengan cap barang dagangan dengan peruntukan-peruntukan baharu yang melarang salah perihal mengenai barang-barang yang diadakan dalam perjalanan perdagangan dan penunjukkan-penunjukkan yang palsu atau mengelirukan tentang harga barang-barang, memberi kuasa untuk memberi erti apa-apa perbahasaan atau menunjukkan yang digunakan berhubung dengan harga barang-barang, bayaran atau kadar bagi perkhidmatan, tempat tinggal atau kemudahan dan untuk mengawalselia, mengawal atau melarang membuat pernyataan-pernyataan yang palsu atau mengelirukan tentang apa-apa perkhidmatan, tempat tinggal atau kemudahan-kemudahan yang diadakan dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan; memberi kuasa untuk menghendaki maklumat atau arahan-arahan berhubung dengan barang-barang yang dicap atau supaya disertakan dengan barang-barang itu atau supaya dimasukkan dalam iklan-iklan; dan bagi maksud-maksud yang berkaitan.”



Penjelasan:

Akta ini memberi perlindungan kepada pengguna dari segi amalan perdagangan atau perniagaan yang tidak sihat. Akta ini mengandungi peruntukan-peruntukan seperti berikut:

a. Melarang penggunaan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan.

b. Memberi peruntukan kuasa kepada Menteri untuk menghendaki maklumat-maklumat yang perlu sebelum barang-barang dibekalkan atau ditawar untuk dibekalkan dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan.

c. Peruntukan mengenai kesalahan serta penalti ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan serta kuasa-kuasa bertindak berhubung dengan kesalahan-kesalahan tersebut.






2.2 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan ‘Halal’) 1975



Perintah ini dibuat oleh Menteri melalui peruntukan Seksyen 10 Akta Perihal Dagangan 1972. Ia bertujuan memberikan takrif berhubung dengan perbahasaan “Halal”, “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” atau mana-mana perbahasaan yang membawa maksud sedemikian sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.



Seksyen 2 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 :



Dalam Perintah ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain - “ Hukum Syarak” ertinya Undang-undang Islam dan Mazhab Shafi’e atau undang-undang dalam mana satu Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi telah bersetuju oleh Yang Di Pertuan Agong dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri dikuatkuasakan dalam Negeri itu.



Seksyen 3 Perintah Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) 1975 :



Penjelasan:



Perbahasaan “Halal”, “Ditanggung Halal”, “Makanan Islam” atau apa-apa perbahasaan yang lain apabila digunakan ke atas makanan dalam apa-apa jua bentuk sekalipun maka perbahasaan itu hendaklah bermaksud bahawa makanan tersebut:

a. Bukanlah dan juga tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

i. Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak;

ii. tidaklah diselia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari apa-apa benda najis mengikut Hukum Syarak;

iii. tidaklah dalam masa menyediakan, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak perenggan (i), (ii) atau (iii) atau apa-apa benda yang difikirkan sebagai najis mengikut Hukum Syarak.




2.3 Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975

Perintah ini dibuat oleh Menteri melalui peruntukan kuasa di bawah Seksyen 11 Akta Perihal Dagangan 1972. Ia merupakan Perintah melarang pembekalan semua jenis makanan yang “Halal” mengikut Hukum Syarak melainkan makanan tersebut dilabel atau ditandakan dengan tanda yang menunjukkan makanan tersebut dilabel atau ditandakan dengan tanda yang menunjukkan makanan tersebut “Halal”, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perintah 2(1) Perintah berkenaan:

“Semua makanan yang dinyatakan dalam Jadual bersama-sama ini yang halal mengikut Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”), 1975 tidak dibenarkan dibekalkan melainkan ianya ditanda label, tag atau lain-lain bentuk tanda yang menunjukkan bahawa makanan itu “Halal”.



Perintah 2 (2):



“ Semua daging dan perkakas dalam yang mentah termasuk daging yang perkakas-perkakas dalam ayam-itik tidak dibenarkan dibekalkan melainkan ianya ditanda dengan label, tag atau lain-lain tanda yang menunjukkan bahawa daging atau perkakas-perkakas dalam itu telah atau tidak pernah didingin atau dibekukan.”



Penjelasan:

Tujuan dilabelkan makanan tersebut ialah bagi melindungi pengguna supaya tidak tertipu dengan sebarang penyelewengan yang dilakukan bagi tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan. Perbahasaan “Halal”, “Ditanggung Halal” atau “Makanan Islam” apabila ia digunakan ke atas makanan adalah merupakan suatu perihal dagangan bagi makanan tersebut.



2.4 Penggunaan Perihal Perdagangan



Seksyen 6 (1) APD 1972:



Seseorang adalah menggunakan suatu perihal dagangan bagi barang-barang, jika ia:

a. Menampalkan atau melampirkan pada atau dengan apa-apa cara mengecapkannya di atas atau menyatukannya dengan:

i. barang-barang itu sendiri;

ii. apa-apa benda yang di dalamnya, di atasnya atau dengannya mana barang-barang itu dibekalkan;

b. Meletakkan barang-barang itu di dalam, di atas atau dengan apa-apa benda yang perihal dagangan itu telah ditampal atau dilampirkan padanya atau dicapkan di atasnya atau disatukan dengannya, atau meletakkan mana-mana benda itu dengan barang-barang itu;

i. Menggunakan perihal dagangan itu dengan apa-apa cara yang mungkin dianggap sebagai berkenaan dengan barang-barang itu.



Seksyen 6 (2) APD 1972:



Sesuatu pernyataan lisan boleh terjumlah kepada penggunaan sesuatu perihal perdagangan.

Seksyen 6(3) APD 1972:



Jika barang-barang dibekalkan menurut permintaan dalam mana suatu perihal dagangan adalah digunakan dan hal keadaannya adalah sedemikian hingga membolehkan difahamkan dengan munasabah bahawa barang-barang itu adalah dibekalkan sebagai barang-barang yang bersamaan dengan perihal itu, maka orang yang membekalkan barang-barang itu hendaklah disifatkan sebagai telah menggunakan perihal dagangan itu bagi barang-barang itu.

Seksyen 28, 28A, 28B, 29 dan 30 APD 1972:



Seseorang Penolong Pengawal boleh pada bila-bila masa;



a.Bagi maksud memastikan wujudnya kesalahan di bawah Akta, boleh memasuki mana-mana premis tanpa waran melainkan premis yang diguna hanya untuk kediaman.

b.Boleh meminta sesiapa yang menjalankan perniagaan atau pekerjanya mengemukakan apa-apa buku atau dokumen yang berkaitan.

c.Boleh menyita dan menahan apa-apa barang dan dokumen yang ada bukti bagi sebarang kesalahan.

d.Setiap sitaan hendaklah dikeluarkan borang Akuan Penyitaan yang menyenaraikan setiap perkara yang disita.

e.Sekiranya apa-apa barang atau dokumen yang disita tidak munasabah untuk diangkat disebabkan saiz atau bentuk, bolehlah di seal.



2.5 Kesalahan-Kesalahan



Terdapat beberapa jenis kesalahan yang berkaitan dengan penandaan “Halal” iaitu:

Seksyen 11 (2) APD 1972, kesalahan kerana gagal mematuhi Perintah 2(1) dan 2 (2) Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975.

Seksyen 3 (1) (a) APD 1972, kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu.

Seksyen 3 (1) (b) APD 1972, membekalkan atau menawar untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya digunakan perihal dagangan palsu.

Seksyen 15 (1) APD 1972, pernyataan palsu mengenai bekalan/ produk/ perkhidmatan.

Seksyen 29 (1) APD 1972, menghalang Pegawai bertindak di bawah APD 1972.

Seksyen 29 (2) APD 1972, memberikan maklumat atau membuat suatu kenyataan yang diketahui sebagai palsu.