Posted on: 01/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kesungguhan yang ditunjukkan masyarakat dalam membantu mangsa bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini jelas menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia yang luar biasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Katanya beliau melihat penglibatan, kerjasama, serta sumbangan orang perseorangan, sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pegawai-pegarai kerajaan yang amat baik, dan ia sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit kesan bencana itu.

“Ini satu semangat Keluarga Malaysia yang luar biasa. Semangat ini patut dikekalkan sebab ini satu kekuatan bagi negara kita kerana masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, agama, dalam kesusahan kita bantu satu sama lain.

“Itulah semangat sebenar Keluarga Malaysia, tiada protokol, prosedur, tiada banyak sangat kerenah birokrasi (untuk beri bantuan),” katanya selepas menyampaikan bantuan barangan dan tunai kepada sukarelawan Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di Bukit Changgang dekat sini hari ini.

Menurutnya bencana banjir secara relatifnya di Malaysia adalah berskala kecil kerana di negara lain memerlukan masa berbulan lamanya  untuk menyelesaikan masalah itu.

Annuar berkata Ops BAHIS hari ini memberikan tumpuan kepada penghantaran barangan bernilai RM500 meliputi antaranya periuk, kipas dan tilam serta wang tunai RM500 kepada setiap isi rumah yang terjejas di kawasan yang dibantu sukarelawan dalam operasi tersebut sebelum ini, selain proses disinfeksi.

Beliau berkata konsep yang digunakan adalah sukarelawan akan menghantar bantuan berkenaan kepada penerima kerana memahami mangsa sudah penat mengemas rumah selain mengalami kesukaran untuk bergerak.

Ops BAHIS yang merupakan cetusan idea beliau sendiri, berkonsepkan Keluarga Angkat dengan menempatkan sekurang-kurangnya lima sukarelawan bagi berganding bahu bersama mangsa membersihkan rumah dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.

Ia merangkumi kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam; Bukit Changgang di Kuala Langat dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, dengan menyasarkan 300 rumah sepanjang lima hari operasi berkenaan di ketiga-tiga lokasi itu yang bermula pada 29 Disember lepas.

Annuar turut tidak menolak kemungkinan Ops BAHIS diperluaskan ke kawasan lain, bergantung kepada permintaan kerana proses bantuan pasca banjir ketika ini sudah tiba ke penghujungnya, dan pihaknya masih mempunyai keupayaan untuk meneruskan operasi itu.

Turut menyertai Ops BAHIS di Bukit Changgang hari ini ialah Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid; Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Khairdzir Md Yunus; Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Roslan Ariffin; Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Jamaluddin Muhammad dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Harlina Samson.

Selain itu Annuar berkata pihaknya juga telah menghantar bantuan logistik ke Kelantan sebagai persiapan awal berdepan bencana banjir, selain sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia membantu sekiranya diperlukan.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menyebarkan berita palsu berkaitan bencana banjir kerana perkara itu akan hanya melemahkan jentera yang ingin memberi bantuan kepada mangsa.

“Masalah begini (tular berita palsu) akan sentiasa berlaku, kita sabar sahaja tetapi kita sentiasa buat susulan, verification (pengesahan) setiap berita yang ada,” katanya.

Sumber: BERNAMA