Posted on: 06/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Polis akan memantau beberapa kawasan yang menjadi ‘hotspot’ pengemis jalanan meminta sedekah daripada orang awam khususnya di jalan raya yang sesak.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata polis di peringkat negeri dan daerah diarahkan untuk membuat pemantauan terutamanya di kawasan bandar raya.

Mereka (pengemis) biasanya dapat dilihat di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan selalunya di kawasan sesak seperti di lampu isyarat.

“Mereka yang meminta sedekah pula terdiri daripada golongan dewasa dan belasan tahun, jadi tidak dinafikan memang berlaku isu pengemis ini,” katanya ketika ditanya mengenai isu pengemis etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Razarudin berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah yang baharu di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap peminta sedekah  di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengganggu lalu lintas dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Undang-undang di Malaysia ini bukan tertakluk kepada warganegara Malaysia sahaja tetapi sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah atau kesalahan kecil boleh diambil tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada kegiatan mengemis dalam kalangan etnik Rohingya di jalanan didalangi sindiket, Razarudin berkata: “Sama ada ia aktiviti sindiket atau tidak, polis perlu buat siasatan dahulu”.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai isu pengemis kanak-kanak didakwa etnik Rohingya yang dikatakan berlagak samseng ketika meminta sedekah daripada orang awam.

Sumber: BERNAMA