Posted on: 10/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir akan bermula hari ini, dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terlibat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut. 

“Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima.

Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

“Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan…jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang.

Prinsip kita jangan ada kerenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini semalam. 

Sumber: BERNAMA