Posted on: 10/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Dalam hantaran di Facebook malam ini beliau berkata Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei, setakat 31 Disember lepas Malaysia berada di kedudukan ke- 13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai di tempat paling atas dengan 82 mata, dikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Berdasarkan laman sesawang tersebut, Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google COVID-19 Community Mobility Reports, Oxford COVID-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Malaysia mencatatkan 2,714 kes sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan kes sembuh 2,714,614 direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia kini menduduki tempat keenam dalam Indeks COVID-19 Global (GCI). GCI dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan GCI, Malaysia berada di kedudukan keenam dengan penarafan pemulihan lima dengan  indeks pemulihan 78.74, manakala Singapura berada di kedudukan teratas dengan indeks pemulihan 82.88, diikuti Korea Selatan (82.71) dan Taiwan (80.49) yang kesemuanya berkongsi penarafan pemulihan sama iaitu lima.

Sumber: BERNAMA