Posted on: 14/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Hampir sembilan juta dos penggalak telah diberikan setakat malam tadi (11.59 malam), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjangkakan jumlah itu akan melepasi 10 juta minggu depan kerana kerajaan sedang meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Hasil daripada program dos penggalak dipercepatkan, ditambah dengan prosedur operasi standard (SOP), kapasiti hospital kekal terkawal walaupun terdapat lonjakan kes import Omicron,” katanya dalam ciapan terkini di akaun Twitter beliau.

Mengambil contoh Sarawak, Khairy berkata negeri itu merekodkan kes harian melebihi 3,000 sebelum memulakan program suntikan dos penggalak pada Oktober lepas.

“Kes harian kini sudah menurun kepada dua angka, dengan setiap penunjuk turun melebihi 90 peratus sejak September. Dapatkan dos penggalak,” katanya.

Minggu lepas, Khairy berkata empat pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 mega di Lembah Klang akan mula beroperasi esok untuk menawarkan suntikan dos penggalak dalam usaha meningkatkan kadar pengambilan bagi dos ketiga itu.

Empat PPV mega itu adalah PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), PPV Axiata Arena Bukit Jalil, PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan PPV Soka Gakkal, Klang.

Sumber: BERNAMA