Posted on: 19/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Usahawan wanita Sabah disaran merebut peluang dengan menyertai program kepimpinan dan pameran keusahawanan bagi meningkatkan pengetahuan sekali gus membina keyakinan diri dalam mengharungi dunia perniagaan.

Isteri Ketua Menteri Sabah Datin Juliah Salag berkata program seumpama itu mampu menjadi platform untuk usahawan wanita di negeri itu meneroka lebih luas peluang perniagaan bersama rakan usahawan lain menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman.

“Selain dapat berkumpul  bagi mengeratkan silaturahim, mereka juga boleh  berkongsi ilmu terutama perkara baharu dalam dunia perniagaan,  merebut peluang bersesuaian seterusnya memanfaatkan fasiliti disediakan kerajaan dan agensi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  merasmikan  Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawanan Wanita  yang diadakan sempena  Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah 2022 di sini, semalam.

Juliah berkata program sehari itu dilihat mampu membantu usahawan wanita di negeri ini membangunkan dan memajukan perniagaan masing-masing, sekali gus menyokong inisiatif kerajaan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Dalam tempoh dua tahun ini kita telah melihat dan merasai kelembapan ekonomi kesan pandemik COVID-19. Golongan wanita turut terkesan secara langsung sama ada dalam bidang pekerjaan mahupun perniagaan,” katanya, sambil menambah wanita Sabah perlu terus cekal dan berkebolehan mengurus emosi dalam mendepani cabaran masa kini.

Sementara itu, Juliah turut menggalakkan wanita Sabah agar memanfaatkan sepenuhnya peruntukan  menerusi Belanjawan Negeri 2022 bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 termasuk golongan usahawan. 

Menerusi belanjawan Sabah 2022, kerajaan negeri memperuntukkan masing-masing sebanyak RM11.8 juta dan RM5.81 juta  kepada Yayasan Usaha Maju dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah bagi melaksanakan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita.

Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antara lain merangkumi program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita pada tahun ini.

Sumber: BERNAMA