Posted on: 19/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sejumlah 74,285 atau 64.1  peratus Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir monsun timur laut (MTL) gelombang pertama telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini manakala 36,639 KIR lagi masih dalam proses pembayaran.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan semalam memaklumkan bagi banjir gelombang kedua, sejumlah RM5.792 juta (54.4 peratus) BWI telah diagihkan.

“Seramai 4,891 KIR yang terkesan bencana banjir gelombang kedua masih belum terima agihan BWI. Peruntukan sejumlah RM124,504,000 bagi agihan BWI juga telah disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” menurut NADMA.

Kenyataan itu turut memaklumkan sejumlah RM25 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Pembelian Keperluan Asas kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan setiap KIR akan menerima RM2,500.

Sementara itu, menurut NADMA satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di Sabah direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), menjadikan jumlah keseluruhan insiden itu sepanjang MTL 2021/2022 ialah 283.

Kenyataan itu memaklumkan tiada pertambahan kejadian cerun dan jalan runtuh dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjadikan jumlah keseluruhan kejadian kekal 47.

Sumber: BERNAMA