Posted on: 22/02/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia dan Indonesia mencapai persefahaman untuk terus mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam mengendalikan isu-isu berkaitan pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

Persefahaman itu dicapai dalam perbincangan susulan Kementerian Luar (Wisma Putra) dengan Duta Indonesia ke Malaysia Hermono semalam, bagi mendapatkan penjelasan lanjut susulan beberapa laporan media yang memetik kenyataan beliau berkenaan isu itu baru-baru ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan.

“Langkah sebegini adalah penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu. 

Pendekatan positif dan konstruktif dalam isu pengambilan dan perlindungan PDI dapat memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia.

Perbincangan kali ini turut menyentuh status rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan PDI di antara Malaysia dan Indonesia serta pendekatan dan hala tuju yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak ke arah memuktamadkan rundingan dan pemeteraian MoU berkenaan dalam masa terdekat. 

“Ini bagi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan mereka terus diberi perhatian utama mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA