Posted on: 11/03/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia bagi Januari 2022 berkembang 13.1 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM139 bilion berbanding bulan sama tahun pada 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Nilai jualan itu bagaimanapun susut 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya. Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan pertumbuhan nilai jualan pada bulan tersebut dipacu oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau  yang menokok 20.6 peratus terutama dalam industri pembuatan produk makanan.

“Pertumbuhan ini juga didorong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang naik 15.7 peratus, disokong oleh industri pembuatan produk kok dan produk petroleum bertapis serta subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (naik 10.6 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia Januari 2022, hari ini.

Selain itu, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 71.0 peratus dari jumlah nilai jualan, merekodkan peningkatan 14.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik mencatatkan kenaikan 10.1 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sama tahun lepas.

Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan pertumbuhan dua digit bagi eksport perdagangan luar negara serta faktor harga yang kekal memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merekodkan penurunan 4.9 peratus manakala industri berorientasikan domestik tumbuh 0.3 peratus, katanya. Mohd Uzir berkata jumlah pekerja sektor pembuatan pada Januari 2022 adalah seramai 2.27 juta orang iaitu kenaikan 2.2 peratus berbanding 2.23 juta orang pada Januari 2021.

Peningkatan itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (4.8 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan  percetakan (3.1 peratus)  dan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (1.8 peratus).

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah gaji dan upah yang dibayar pada Januari lepas adalah sebanyak RM7.87 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.1 peratus atau RM307.3 juta.

“Di samping itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 10.7 peratus kepada RM61,116 berbanding bulan sama tahun 2021 (RM55,213). “Selain itu, purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah sebanyak RM3,459 pada Januari 2022,” katanya.

Sumber: BERNAMA