Posted on: 11/03/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia mencatatkan prestasi eksport getah yang lebih baik untuk tahun 2021 dengan jumlah eksport sektor getah dan produk getah mencapai rekod tertinggi sebanyak RM71 bilion, meningkat 46.3 peratus daripada RM48.5 bilion pada 2020, kata Majlis Getah Malaysia (MRC) .

Pada tahun 2021, barangan lateks menyumbang 91.8 peratus kepada jumlah eksport produk getah dengan sarung tangan getah menyumbang 88.9 peratus kepada jumlah eksport produk getah merekodkan RM54.8 bilion, melonjak 55.4 peratus daripada RM35.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020, katanya dalam satu kenyataan.

Ini diikuti oleh barangan getah industri (IRG) yang meningkat 40.7 peratus kepada RM1.3 bilion berbanding RM900 juta dalam tempoh yang sama pada 2020.

Eksport tayar turut mengukuh  30.7 peratus kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2020, manakala kasut dan barangan getah am masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 19.6 peratus dan 13 peratus.

Produk lateks (bukan sarung tangan) lain menunjukkan pertumbuhan yang rendah iaitu sebanyak 7.3 peratus kerana pengembangan kukuh benang lateks (47.4 peratus) telah diimbangi oleh penguncupan dalam produk kateter, kondom dan produk busa/buih.

Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun menguasai pasaran penggunaan produk getah, menyumbang kira-kira 50 peratus.

Tahun lepas, AS mengimport produk getah Malaysia bernilai RM22.8 bilion, meningkat 76.5 peratus, diikuti Jerman berjumlah RM3.79 bilion (57.9 peratus), Jepun RM3.2 bilion (40.5 peratus), Belanda RM1.76 bilion (57 peratus) dan Itali RM1.2 bilion (42.2 peratus) berbanding 2020 .

Import dari negara utama lain yang mengikuti di belakang ialah Kanada yang menunjukkan peningkatan sebanyak 70.1 peratus dan Brazil (52.8 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif MRC Nor Hizwan Ahmad berkata permintaan sebahagian besarnya didorong oleh penggunaan tahunan global untuk sarung tangan pemeriksaan perubatan dan pembedahan daripada industri penjagaan kesihatan, serta permintaan yang lebih besar terhadap sarung tangan cleanroom daripada industri pembuatan.

“Kami juga akan mencari peluang pasaran baharu di negara-negara  seperti India, Afrika dan Amerika Latin, kerana populasi mereka yang lebih besar serta prospek komersial yang cerah,” katanya.

Semasa berlangsungnya Pameran Kesihatan Arab bermula dari 24-27 Januari 2022, di Dubai, MRC berjaya memudah cara 98 padanan perniagaan dengan bakal pembeli, menyaksikan jumlah jualan sebanyak RM110.5 juta.

Sementara itu, Nor Hizwan berkata MRC juga sedang meninjau usaha niaga/penerokaan baharu berdasarkan permintaan pasaran, contohnya, produk kejuruteraan berasaskan getah (ERP) termasuk galas seismik yang boleh dipromosikan ke negara yang terjejas akibat gempa bumi seperti Indonesia, Turki dan Mesir.

Beliau berkata bahan celupan semula dan komponen automotif getah juga boleh dipromosikan ke negara  yang industri automotifnya berkembang seperti Vietnam dan Brazil.

Pakistan juga merupakan satu lagi pasaran yang berpotensi kerana industri penjagaan kesihatan negara itu menunjukkan pertumbuhan, justeru, terdapatnya peluang untuk Malaysia mempromosikan lagi peranti perubatan getah seperti sarung tangan perubatan dan kateter foley.

“Kita perlu berwaspada dengan arah aliran dan keperluan pasaran serta bersedia untuk menerima perubahan, terutamanya melalui inovasi dan penggunaan teknologi canggih. “Dengan sokongan kerajaan dan komitmen pemain industri, kita akan memastikan isu dan cabaran dalam industri getah ditangani dan rangkaian meluas produk getah Buatan Malaysia dikenali seluruh dunia,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA