Posted on: 15/03/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sedang menerajui usaha sama dengan agensi berkaitan untuk merumus satu rangka kerja perundangan yang komprehensif bagi mengawal selia semua aktiviti kredit pengguna termasuk skim “Buy Now Pay Later” (BNPL).   

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata rangka kerja tersebut akan dilakukan melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) pada tahun ini. 

“Dengan penggubalan CCA, semua pemberi kredit termasuk BNPL akan tertakluk kepada peraturan yang sewajarnya.

“Peraturan ini juga termasuk pengawalan risiko dan perlindungan pengguna serta merangkumi peraturan pematuhan Syariah yang bersesuaian dalam menjalankan aktiviti BNPL,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (Sibuti-GPS) mengenai kaedah pembelian BNPL di platform perdagangan dalam talian.

Yamani berkata buat masa ini, aktiviti BNPL ini tidak tertakluk kepada bidang kuasa mana-mana agensi kawal selia dan kerajaan menjangka lebih banyak inovasi baharu diperkenalkan sejajar dengan pemesatan digital yang memerlukan inovasi ini dikawal dengan baik. 

Beliau menegaskan orang ramai perlu mengambil keputusan yang bijak dalam melakukan pembelian membabitkan skim BNPL.

“Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan untuk melaksanakan tiga perkara penting iaitu memahami terma dan syarat BNPL, memastikan bayaran ansuran dibuat secara penuh dan tepat pada masa serta sentiasa memantau komitmen BNPL yang dibuat supaya hutang peribadi kekal diurus,” katanya.  

Sumber: BERNAMA