Posted on: 29/03/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia perlu bergerak pantas dan menerima teknologi Sistem Nama Domain (DNS) kerana ia menawarkan potensi luar biasa untuk mengukuhkan  pembangunan sosial dan ekonomi serta perlindungan alam sekitar, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata sebagai pemacu kritikal dalam transformasi digital, DNS akan mewujudkan rangkaian peluang baharu, produk dan perkhidmatan  digital untuk menyamakan kedudukan dengan negara lain.

“Sudah tiba masanya untuk negara kita bertindak pantas dan menerima evolusi digital baharu yang akan mengubah dan mempercepatkan keupayaan negara untuk bersaing dalam ekonomi digital global,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Forum Asia Pasifik (APAC) DNS 2022 di sini hari ini.

DNS adalah komponen yang mengikat rangkaian dan pelayan yang membentuk Internet.

Zahidi berkata DNS memainkan peranan kritikal di Internet untuk menyediakan kemudahan penggunaan dan penglihatan yang lebih baik serta mewujudkan jenama digital dan premis digital.

“Tanpa kecekapan dan keteguhan DNS, adalah mustahil untuk berbilion pengguna melayari Internet. DNS akan terus berkembang dan dijangka meningkatkan permintaan untuk seni bina rangkaian dan teknologi bagi menyambung ke rangkaian dengan selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Bagi menangani evolusi itu, Zahidi berkata organisasi harus memanfaatkan teknologi DNS yang diedarkan bagi membolehkan akses lancar kepada pengguna dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

“Ketika Malaysia maju dengan teguh ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, adalah penting untuk negara menjadi lebih tangkas dan responsif kepada pelbagai inovasi yang mengganggu dalam sektor komunikasi dan multimedia.

“Kami yakin Malaysia akan terus menyesuaikan diri dan berdaya tahan kepada landskap yang berubah dengan pantas untuk kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada perniagaan di seluruh dunia dan menyebabkan banyak syarikat dan organisasi mengikut trend transformasi digital untuk kekal relevan dan mampan.

“Negara ini menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam langganan nama domain di peringkat tempatan dan antarabangsa. Pandemik ini telah mempercepatkan kitaran pembelajaran dan pertumbuhan perniagaan yang memerlukan mereka menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah-ubah untuk kekal dan membina daya tahan,” katanya.

Forum  APAC DNS 2022 yang diadakan secara maya bermula hari ini hingga Jumaat ini dengan tema ‘Beyond Technology: The DNS Revolution’, dianjurkan oleh MyNic Bhd, pendaftaran rasmi domain .my di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan  Internet Corporated for Assigned Names and Numbers (ICANN).

Sumber: BERNAMA