
Kerajaan Perak memperuntukkan sejumlah RM4 juta pada tahun ini di bawah Jawatankuasa Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melaksanakan program latihan kemahiran dalam memperkasakan agenda ke arah satu warga satu skil.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Khairul Shahril Mohamed berkata ia dilaksanakan melalui hubungan kerjasama dengan Sektariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku badan atau agensi pelaksana yang banyak merangka dan melaksana program usahawan dengan matlamat untuk membimbing dan membangunkan semula ekonomi anak muda yang terjejas.
“Antara tumpuan pelaksanaan latihan adalah dengan memperkasa latihan modular industri yang merupakan satu kaedah latihan berpandukan kepada acuan industri dan dikendalikan sepenuhnya melalui usaha sama syarikat, industri serta penyedia latihan bertauliah dalam negeri.
“Ia akan terus dipergiatkan melalui pelaksanaan latihan berbentuk jangka pendek (kemahiran semula dan peningkatan kemahiran).
Asas utama latihan ini adalah untuk membentuk dan menarik minat anak muda bagi memperoleh kemahiran yang sesuai dengan minat mereka sama ada meningkatkan peluang penembusan pasaran pekerjaan atau peluang perniagaan melalui kemahiran yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan sewaktu menjawab soalan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) yang ingin tahu langkah membantu golongan muda yang terkesan semasa COVID -19 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Khairul Shahril, Unit Hub Inovasi dan Multimedia turut menawarkan pelbagai latihan digital korporat profesional bagi memenuhi permintaan tenaga kerja mahir dengan menggabungkan faktor-faktor seperti program yang berkualiti dan cara penyampaian yang berkesan.
“Kerajaan negeri dalam melahirkan belia yang mempunyai kemahiran digital seiring ke arah transformasi digital di mana mencari bakat berkemahiran digital adalah keutamaan ketika ini. Transformasi digital tidak dapat dielakkan kerana pasaran tempatan bersifat lebih global dan seharusnya anak muda perlu menyahut cabaran ini,” tambahnya.
Sumber: BERNAMA