Posted on: 04/04/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia masing-masing mencatatkan peningkatan positif dengan 2.1 peratus dan 1.3 peratus pada Februari 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan indeks nilai seunit eksport Februari 2022 berbanding bulan sebelumnya itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (8.0 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (2.2 peratus), dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.7 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 9.8 peratus pada bulan yang sama, berikutan kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (14.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (12.2 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (10.9 peratus),” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan Indeks Perdagangan Luar Negara (2010=100), Februari 2022 yang dikeluarkan pada Isnin.

Laporan itu memaparkan statistik indeks nilai seunit dan indeks volum mengikut seksyen bagi eksport dan import barangan.

Beliau berkata indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 2.8 peratus kepada 160.0 mata daripada 155.6 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan pula, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 16.4 peratus dan 0.3 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata bagi indeks nilai seunit import pula, kenaikannya didorong oleh indeks minyak galian (+9.0 peratus), minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+1.2 peratus) dan bahan kimia (+0.2 peratus).

Beliau berkata indeks volum import pula susut 12.0 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan sebelum, susulan penurunan yang dicatatkan barang-barang keluaran kilang (-16.3 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.1 peratus) dan bahan kimia (-10.4 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Februari 2022 meningkat 0.4 peratus daripada 169.7 mata kepada 170.3 mata.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 7.5 peratus dan 10.1 peratus,” katanya.

DOSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan kepada 109.9 mata pada Februari 2022.

Perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 8.3 peratus daripada 101.5 mata pada Februari 2021, jelasnya.

Sumber: BERNAMA