Posted on: 06/04/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha membangunkan ibu negara sebagai ‘Bandar Untuk Semua’ dengan menyediakan mobiliti yang cekap dan mesra.

MoU itu bertujuan menyokong hala tuju strategi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) melalui pelaksanaan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata DBKL akan membantu MRT Corp menjadi pemudah cara antaranya  seperti perancangan, mengeluarkan permohonan dan kelulusan permit serta pembinaan bagi menjayakan pelaksanaan MRT3.

“DBKL tidak mahu ada sebarang masalah yang boleh mengganggu perjalanan pembinaan MRT3 dan berharap projek ini dapat diselesaikan mengikut jadual ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut di sini semalam.

MoU itu ditandatangani Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif  MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim serta disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurutnya kerjasama itu juga secara tidak langsung akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan pelepasan karbon sejajar dengan matlamat jangka panjang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2050.

Mahadi berkata ketika ini, kadar penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur adalah sangat rendah iaitu sekitar 25 peratus.

“Oleh itu, kami memberi sokongan padu kepada MRT Corp bertepatan dengan visi dan perancangan DBKL khususnya dalam PSKL2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040),” katanya.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata projek MRT3  amat penting dalam membolehkan hasrat PTKL2040 tercapai.

“Kami bukan hanya terlibat dalam pembinaan rel sebaliknya turut melibatkan penjanaan semula di kawasan kejiranan selain pembangunan kejiranan baharu dan rumah mampu milik di sepanjang jajaran di ibu kota,” katanya.

Sumber: BERNAMA