Posted on: 07/04/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka telah membuat pembayaran faedah kepada orang berinsurans (OB) dan waris kira-kira RM8.78 juta yang melibatkan sebanyak 5,531 kes dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM5.14 juta dibayar kepada OB yang mengalami hilang upaya sementara, melibatkan 4,943 kes.

Beliau berkata sebanyak RM2.77 juta pula dibayar kepada OB yang mengalami hilang upaya kekal, melibatkan 160 kes manakala faedah pengurusan mayat (FPM) berjumlah RM465,040.58 dibayar kepada waris OB yang telah meninggal dunia akibat bencana kerja atau semasa menerima faedah hilang upaya kekal melibatkan 241 kes.

“Perkeso Melaka juga telah membayar pencen penakat sebanyak RM196,267.34 kepada waris OB yang telah meninggal dunia melibatkan 119 kes, manakala faedah ilat dibayar kepada pekerja yang layak dan disahkan menghidap keilatan berjumlah RM176,952.58 melibatkan 61 kes.

“Selain itu, faedah orang tanggungan (FOT) melibatkan pekerja atau pencarum yang meninggal dunia akibat bencana pekerjaan juga telah dibayar melibatkan RM22,022.81 membabitkan tujuh kes,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan faedah Perkeso kepada waris bekas pemain Melaka United Allahyarham Mohd Azizan Baba di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyampaikan cek Faedah Penakat berjumlah RM867.30 sebulan dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali beri kepada Yusriati Mohd Yunos, 42, yang merupakan balu kepada Allahyarham Mohd Azizan.

Mohd Azizan yang merupakan bekas pemain dan jurulatih pasukan Melaka United bawah 14 tahun meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat kanser di paha kiri pada 22 Mac lepas.

Sumber: BERNAMA