
Malaysia telah menyerahkan laporan berkala keenam berhubung pelaksanaan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) kepada Jawatankuasa CEDAW pada 25 April lepas.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan semalam memaklumkan laporan itu meliputi kemajuan dicapai Malaysia dari 2017 hingga 2021 dengan kemas kini tentang dasar, inisiatif dan langkah konkrit bagi menghapuskan diskriminasi ke atas wanita.
Menurut kenyataan itu kementerian telah menyediakan laporan menerusi rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan temasuk beberapa kementerian dan masyarakat sivil bagi memastikan ia bertindak balas terhadap cadangan oleh Jawatankuasa CEDAW.
“Laporan ini adalah bukti komitmen Malaysia dalam melaksanakan peruntukan di bawah CEDAW, selain mendukung hak wanita selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, perundangan dan dasar negara,” menurut kenyataan itu.
Laporan tersebut boleh diperoleh menerusi pautan https://tbinternet.ohchr.org/_layouts/15/treatybodyexternal/Download.aspx? symbolno=CEDAW%2fC%2fMYS%2f6&Lang=en.
Menurut KPWKM Malaysia telah mencapai kemajuan dalam memperhalusi dasar domestiknya seiring dengan peruntukan konvensyen tersebut walaupun menghadapi banyak cabaran, seperti sedang pulih daripada pandemik yang melanda dunia pada 2020 dan 2021.
Ini termasuk langkah yang diambil bagi mencegah keganasan ke atas wanita, meningkatkan status wanita dan memberi sokongan kepada golongan itu semasa pandemik COVID-19.
“Kerajaan komited dalam menjalankan usaha bagi memastikan persekitaran kondusif untuk wanita maju dan mencapai potensi penuh mereka tanpa didiskriminasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPWKM sepanjang tempoh lima tahun, ia telah menerima pakai pendekatan bersepadu untuk mengarusperdanakan gender dengan memastikan sumbangan secara kolaboratif daripada masyarakat sivil dan orang ramai dalam penyediaan, pelaksanaan serta pemantauan semua dasar dan program kerajaan.
Sumber: BERNAMA