Posted on: 12/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat yang bakal berlangsung memberi peluang besar kepada Malaysia untuk memajukan agenda ekonominya melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Bendahari Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Dr AT Kumararajah berkata, Amerika Syarikat, sebagai sumber terbesar pelaburan langsung asing dalam blok 10 anggota itu, pastinya turut berminat untuk mengeksploitasi kelebihan yang diperoleh daripada perjanjian perdagangan besar itu.

“Malaysia adalah penerima manfaat terbesar perjanjian itu…,” katanya dalam program ‘The Nation’ Bernama TV bertajuk Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-ASEAN di sini, semalam.

RCEP  adalah perjanjian yang dicadangkan dalam kalangan negara anggota ASEAN  dan rakan kongsi perjanjian perdagangan bebas (FTA)  dengan perjanjian itu antara lain meliputi perdagangan barangan dan perkhidmatan serta harta intelek.

RCEP meletakkan rantau Asia-Pasifik sebagai pusat tumpuan baharu untuk perdagangan global, dengan jumlah perdagangan dijangka meningkat hampir US$42 bilion.

Dalam ASEAN, Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar manfaat melalui perjanjian itu daripada segi keuntungan dalam eksport yang diunjurkan akan meningkat US$200 juta.

Sidang kemuncak khas itu menandakan ulang tahun ke-45 dialog ASEAN-Amerika Syarikat dan  sidang kemuncak khas kedua yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat di Amerika Syarikat selepas presiden ketika itu Barack Obama menyambut kehadiran pemimpin ASEAN di California pada Februari 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C. dari 12 hingga 13 Mei.

Dr Kumararajah berkata kehadiran Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan pada sidang kemuncak itu akan memastikan agensi Amerika Syarikat lebih memahami komitmen yang dibuat Malaysia terhadap amalan buruh paksa.

“Malaysia akan pulang dengan hasil yang baik (daripada sidang kemuncak), harap akan ada keputusan segera yang baik mengenai buruh manusia, pemerdagangan manusia dan isu buruh paksa…,” katanya.

Sumber: BERNAMA